Untuk mengelak hukuman di sekatan jalan raya, dua rakan yang telah bertukar tempat duduk dalam kereta kerana pemandu ketika itu tidak mempunyai lesen memandu.
Pemandu tanpa lesen, Estella Sun Weilin, 32 tahun, memandu kereta tersebut dengan Fong Yoke Mun, 29 tahun, pada awal pagi 23 Disember 2023, lapor The Straits Times (ST).
Apabila Sun melihat sekatan polis di hadapan, dia mengundurkan kereta dan membelok ke jalan berdekatan, lalu bertukar tempat duduk dengan Fong.
Pegawai polis mengejar wanita itu dan kededuanya ditangkap pada hari yang sama.
Pada 6 Ogos, Sun dijatuhi hukuman penjara enam minggu, manakala Fong dihukum penjara lima minggu. Kededua wanita itu juga tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama dua tahun.
Sun dan Fong mengaku bersalah pada Julai atas tuduhan menghalang proses keadilan. Sun juga mengaku memandu tanpa lesen, sementara Fong mengaku membenarkan tindakan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Pei Wei memberitahu mahkamah bahawa sebelum melakukan kesalahan tersebut, kededua wanita itu telah ke sebuah kelab malam di Circular Road dan meninggalkannya sekitar 3 pagi pada 23 Disember 2023.
Selepas meminum, mereka memutuskan untuk pergi ke kawasan Chinatown atau Outram dan masuk ke dalam kereta Fong.
Sun menawarkan diri untuk memandu selepas Fong mengadu sakit kepala, walaupun Fong tahu Sun tiada lesen sah.
Sun memandu di Upper Cross Street dan berhenti di kotak kuning apabila melihat sekatan polis 100 meter di hadapan.
Dia kemudian mengundurkan kereta dan membelok ke Eu Tong Sen Street, di mana polis menyuruhnya berhenti.
DPP Tan berkata: “Sun terus memandu walaupun mereka sedar dikejar polis. Apabila kereta berhenti kerana lampu isyarat merah, Sun dan Fong cepat-cepat bertukar tempat duduk. Mereka berbuat demikian supaya Sun tidak ditangkap oleh pegawai polis.”
Pegawai polis menghampiri kereta dan menyuruh Fong memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.
Mereka juga menyedari wanita itu yang berbau alkohol telah bertukar tempat duduk.
Kededua wanita mengaku perbuatan mereka dan gagal ujian pernafasan alkohol. Mereka kemudian dibawa ke ibu pejabat Polis Trafik di Ubi Avenue 3.
Pada sekitar 6.40 pagi, Fong didapati mempunyai 46 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas, manakala Sun mempunyai 19 mikrogram. Had dibenarkan adalah 35 mikrogram .
Kededua wanita itu kemudiannya didakwa di mahkamah pada 2025.
Peguam bela, Encik S.S. Dhillon, yang mewakili mereka memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara lima hingga enam minggu kepada Sun.
Encik Dhillon berkata: “Estella mengakui kesalahannya, memandu tanpa lesen dan memohon maaf atas kecuaiannya.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg