Konsep menampilkan laluan penghubung yang menyatukan ruang runcit, kawasan hijau dan ruang masyarakat bagi melambangkan perpaduan yang diusulkan firma Jun Jie Development Pte Ltd telah menyebabkan mereka memenangi tender bagi projek penaiktarafan Tanjong Katong Complex (TKC).
Mengumumkan demikian, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata firma itu menyerlah dengan cadangannya untuk menjadikan TKC sebagai sebuah nadi masyarakat yang menjunjung tradisi dan warisan Melayu di samping menjadi sebuah ruang inklusif.
Tender itu dimenangi firma tersebut dengan harga bidaan $90,000,888, berikutan proses tender Konsep dan Hasil Harga, menurut kenyataan oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) yang berasingan.
Bercakap di acara sulung Festival Dikir Singapura 2025 di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 28 Jun, Dr Faishal berkata:
“Usul Jun Jie Development Pte Ltd menyerlah dengan cadangannya untuk menjadikan TKC sebagai sebuah nadi masyarakat, di mana tradisi dan warisan Melayu dijunjung dan pada masa yang sama, menjadi sebuah ruang inklusif yang boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Satu ciri utama TKC dalam usaha penambahbaikkan ini adalah laluan yang menghubungkan ruang runcit, ruang hijau dan ruang masyarakat, sebagai simbol kesatuan dan keterangkuman dalam masyarakat kita.
“TKC akan menjadi ruang untuk meraikan seni, memperkukuh jati diri, serta mencipta memori untuk generasi akan datang.”
Menurut kenyataan SLA lagi, ibu pejabat Yayasan Mendaki, sebuah pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), serta Perpustakaan Awam Geylang East juga akan ditempatkan di TKC yang akan dibuka semula pada 2029.
“Hubungan TKC yang baik dengan rangkaian pengangkutan serta kemudahan lain turut memberikan kemudahan dan aksesibiliti yang lebih baik kepada para pengguna yang mengunjungi organisasi dan kemudahan komuniti ini, sekali gus mengukuhkan peranan TKC sebagai tunjang budaya dan sosial utama bagi masyarakat yang lebih luas,” kata SLA.
Dalam pada itu, festival anjuran WGS dengan kerjasama Serumpun DK SG, menandakan satu detik bersejarah bagi masyarakat Dikir Barat di Singapura.
Dr Faishal berkongsi festival tersebut bertujuan untuk memperdalam penghayatan terhadap dikir di Singapura serta mengukuhkan kedudukannya dalam landskap ilmu dan seni warisan Melayu.
Turut hadir di festival itu ialah Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, yang turut mengunjungi reruai cabang audiens muda Berita Harian (BH), OMGxBH.
BH dan OMGxBH rakan media rasmi.
Festival tersebut turut disokong oleh kumpulan dikir barat, Andika Kencana dan Mak Besar bagi menyokong inisiatif ‘SG60 Bersama.
“Melalui penglibatan segenap lapisan masyarakat seperti para penggiat seni, pendidik, dan pelajar, festival ini berharap dapat memberikan pengiktirafan yang sewajarnya, bukan hanya sebagai ekspresi seni dan budaya, tetapi juga sebagai satu penekanan terhadap dimensi sejarah, sosial, dan intelektual.
“Ini amat penting dalam usaha melestarikan seni Dikir Barat, melangkaui aspek persembahan dan pertandingan semata, lebih-lebih lagi dalam masyarakat kontemporari dan majmuk seperti Singapura,” kata Dr Faishal yang juga penasihat WGS.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg