Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dipecat SingPost: Bekas eksekutif kanan ketiga bakal turut cabar tindakan

Dec 26, 2024 | 3:09 PM
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) unit perniagaan antarabangsa SingPost, Encik Li Yu, akan mencabar tindakan memecatnya. 
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) unit perniagaan antarabangsa SingPost, Encik Li Yu, akan mencabar tindakan memecatnya.  - Foto SINGPOST

Bekas eksekutif kanan ketiga yang dipecat Singapore Post (SingPost), akan mencabar tindakan itu, kerana menyifatkannya sebagai “tidak berasas”.

Dalam satu hantaran di LinkedIn pada 24 Disember, Encik Li Yu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) unit perniagaan antarabangsa SingPost, berkata:

“Saya sangat kecewa dengan keputusan syarikat dan terkilan syarikat itu berasa wajar membuat dakwaan seperti itu terhadap saya, yang sebenarnya tidak perlu sama sekali.”

Mengulas mengenai pendiriannya kepada The Business Times (BT) pada 26 Disember, Encik Yu berkata: “Pada masa ini, tiada apa yang boleh saya katakan selain kenyataan yang telah saya keluarkan itu.”

Penyedia perkhidmatan pos Singapura itu mengumumkan pada 22 Disember bahawa ia telah menamatkan perkhidmatan CEO Kumpulan, Encik Vincent Phang; Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan, Encik Vincent Yik; dan Encik Yu pada 21 Disember.

Menurut SingPost, ia mendapati ketiga-tiga individu itu “amat cuai” dalam mengendalikan siasatan dalaman berhubung laporan pemberi maklumat yang diterima oleh syarikat itu pada awal 2024.

Encik Yu berkata beliau dengan tegas menolak semua kenyataan mengenai kelakuan sedemikian dan akan mencabar alasan pemecatannya dan menambah bahawa beliau akan mempertahankan haknya di sisi undang-undang dan membersihkan nama baiknya.

“Memandangkan syarikat itu telah membesarkan perkara ini walaupun saya berhasrat menyelesaikannya secara baik, saya tiada pilihan lain selain mengambil langkah tegas untuk mencabar pemecatan saya dan alasan yang dinyatakan, serta prosiding tatatertib yang didakwa, yang tidak wajar mahupun adil,” tambahnya.

Encik Phang dan Encik Yik berkata mereka akan “mencabar dengan penuh semangat” keputusan itu dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 22 Disember.

Pengumuman pemecatan mengejut itu menyebabkan saham SingPost jatuh 10.7 peratus pada 23 Disember, namun ia naik 3 peratus semula pada 24 Disember.

Skandal yang dikenali sebagai Parcelgate itu dan pemecatan mendadak ketiga-tiga bekas eksekutif tersebut juga menimbulkan tanda tanya mengenai sama ada rancangan SingPost untuk menjual perniagaannya di Australia akan terjejas. 

Pembeli perniagaan tersebut, dana ekuiti swasta berpangkalan di Australia, Pacific Equity Partners, memberitahu BT pada 24 Disember bahawa perjanjian tersebut “mengikut jadual”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg