Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) melantik diplomat veteran Kementerian Ehwal Luar (MFA), Cik Wu Ye-Min, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) barunya mulai 1 Julai ini, bagi menggantikan Cik Corrina Chan.

Menurut satu kenyataan SIF pada 8 Jun, pelantikan Cik Wu dibuat ketika pertubuhan itu terus memperkukuh kerjasama antarabangsa, memperdalam hubungan antara rakyat serta memperluas inisiatif dengan impak sosial di rantau ini.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang diplomasi, pembangunan mampan dan usaha membina keamanan, beliau akan menerajui usaha SIF membangun dunia yang lebih baik melalui pertukaran idea, kemahiran dan sumber antara rakyat Singapura dengan masyarakat sejagat.

Mengulas pelantikannya, Cik Wu berkata beliau amat terinspirasi dengan dedikasi sukarelawan SIF yang sanggup menyumbangkan masa dan kepakaran demi membawa perubahan bermakna kepada masyarakat di rantau ini.

“Mereka menunjukkan kepada saya erti sebenar menjadi Warga Sejagat yang bertanggungjawab.

“Sepanjang kerjaya saya, saya melihat sendiri apa yang boleh dicapai apabila masyarakat memilih untuk berhubung, bekerjasama dan bersama-sama mencipta perubahan positif. Keyakinan itulah yang membawa saya ke SIF,” katanya.

Beliau turut menyifatkan SIF sebagai pertubuhan yang sejak 35 tahun lalu, berjaya membina kepercayaan dan persahabatan merentas sempadan, walaupun dunia kini berdepan pelbagai pergolakan.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan kakitangan, sukarelawan, penderma, rakan kongsi dan masyarakat yang meraih khidmat kami demi memperkukuh impak SIF, dengan hubungan antara rakyat sebagai asas yang paling berkekalan,” katanya.

Sebelum menyertai SIF, Cik Wu berkhidmat di Pusat Dialog Kemanusiaan sebagai Pengarah Serantau (Asia Pasifik) yang mengawasi usaha menangani konflik dan mengurangkan penderitaan kemanusiaan.

Beliau juga mempunyai pengalaman luas di MFA, termasuk memegang jawatan diplomatik kanan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York serta Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Hak Cipta Intelektual Sedunia (WIPO) di Geneva.

Sepanjang kerjayanya, beliau terbabit dalam rundingan pelbagai hala, dasar perdagangan, pertubuhan antarabangsa dan hal ehwal serantau, selain mengasaskan bersama firma perunding yang tertumpu kepada latihan rundingan dan pengantaraan, Negotiation Resolution.

Cik Wu merupakan lulusan Universiti Oxford dan Universiti Johns Hopkins, selain memiliki ijazah Sarjana Dasar Awam Antarabangsa daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa Lanjutan Johns Hopkins.

Sementara itu, Pengerusi SIF, Encik Janadas Devan, berkata pelantikan Cik Wu bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-35 pertubuhan itu.

“Rekod prestasi serta pengalaman luas beliau dalam diplomasi pelbagai hala dan pembinaan keamanan amat selari dengan misi SIF. Kami yakin kepimpinan beliau akan memacu keutamaan strategik SIF ke tahap seterusnya,” katanya.

Dalam pada itu, SIF tidak menyatakan perancangan selanjutnya bagi Cik Chan, yang bakal melepaskan jawatannya setelah dua tahun bersama SIF sejak Februari 2024.

Sebelum menyertai SIF, beliau berkhidmat sebagai Ketua Program dan Impak inisiatif kedermawanan, Philanthropy Asia Alliance, di bawah sayap kedermawanan Temasek Holdings, Temasek Trust.

Di sana, beliau memimpin pasukannya membangunkan projek untuk memajukan usaha alam sekitar dan sosial.