Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy turun padang, solat Jumaat pertama selaku Pemangku Menteri baharu
Zaqy turun padang, solat Jumaat pertama selaku Pemangku Menteri baharu
Beliau turut luangkan masa temui jemaah, kongsi perbualan.
Zaqy turun padang, solat Jumaat pertama selaku Pemangku Menteri baharu
Menteri Negara Kanan (Pertahanan) Encik Zaqy Mohamad telah menunaikan solat Jumaat pertamanya sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baharu di Masjid Darul Aman di Jalan Eunos pada 24 Julai.
Encik Zaqy, yang diumumkan pada 20 Julai mengambil alih peranan tersebut daripada Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut disertai oleh Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Kadir Maideen, dan para pemimpin masjid.
Dalam catatan Facebooknya pada 24 Julai, Encik Zaqy berkata beliau gembira dapat bertanya khabar dan beramah mesra bersama jemaah semasa solat Jumaat di Masjid Darul Aman.
“Saya amat menghargai setiap kesempatan untuk mendengar dan bertukar-tukar pandangan. InsyaAllah, semoga usaha kecil yang kita lakukan bersama membawa manfaat kepada masyarakat kita,” katanya.
Encik Zaqy mengambil alih sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam selepas Dr Faishal mengundurkan diri berikutan satu “kesilapan pertimbangan” dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita.
Semasa ditemui media pada 20 Julai, Encik Zaqy memberi jaminan beliau akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dan pemimpin masyarakat untuk meneruskan usaha mendampingi dan mendengar dengan lebih dekat aspirasi masyarakat, selain berusaha memenuhi amanah yang telah diberikan.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa sidang media bagi mengumumkan perubahan Kabinet pada 22 Julai, telah memberi jaminan bahawa aspirasi dan kemajuan masyarakat Melayu/Islam kekal menjadi keutamaan baginya dan pemerintah.
Di sidang media yang sama juga, beliau turut mengulangi jaminannya bahawa usaha untuk mendekati dan menjalin hubungan lebih mendalam dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam akan diteruskan.