Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar Madrasah Aljunied raih keputusan cemerlang IB berkat disiplin ketat

Pikul pelbagai tanggungjawab dorong urus masa dengan teliti
Dec 18, 2025 | 7:03 PM
pelajar IB, madrasah aljunied al-islamiah, sumayyah jumadi
Pelajar Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP) di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Sumayyah Jumadi, sering bersengkang mata hingga larut malam demi memastikan komitmen akademik dan kepimpinan dapat dilaksanakan. Hasil usahanya, Sumayyah muncul sebagai antara lima pelajar terbaik dalam kohortnya semasa menerima keputusan peperiksaan pada 18 Disember. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Kalau diselongkar makna di sebalik namanya ‘Sumayyah’, ia bererti kekuatan dan ketabahan dalam bahasa Arab.

Ia ibarat cerminan kepada perjalanan hidup pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Sumayyah Jumadi, 18 tahun, sepanjang 2025 yang disifatkan sebagai tahun yang mencabar.

Kerana memikirkan peperiksaan besar, Program Diploma Baccalaureate Antarabangsa (IBDP), yang didudukinya, Sumayyah sering bersengkang mata mengulang kaji pelajarannya hingga larut malam.

Di samping bidang akademik, Sumayyah turut memikul pelbagai tanggungjawab lain.

Sebagai Bendahari Majlis Pelajar di sekolahnya, beliau memegang amanah kepimpinan yang memerlukan disiplin, kesabaran dan cara pengurusan masa yang baik.

Ketekunannya membuahkan hasil apabila beliau merupakan antara 15 pelajar yang menerima keputusan peperiksaan IBDP di Madrasah Aljunied pada 18 Disember.

Sumayyah, bahkan, muncul sebagai antara lima pelajar terbaik dalam kohortnya – satu pencapaian yang disifatkan sebagai rezeki, hasil kesabaran serta sokongan berterusan daripada orang sekeliling.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), beliau berkata: “Dengan tanggungjawab yang digalas, saya perlu mengurus masa dengan lebih teliti, termasuk mengorbankan masa untuk diri sendiri.

“Cabaran utama adalah mencari masa yang sesuai untuk belajar bagi peperiksaan sambil mengimbangi pelbagai amanah yang dipikul.”

Dengan keputusan cemerlang yang diraih, pelbagai laluan pendidikan kini terbuka buatnya, termasuk ke Universiti Al-Azhar di Mesir, di mana beliau berazam mendalami bidang Tafsir atau Syariah.

“Ia bukan perjalanan yang mudah, tetapi saya percaya setiap usaha yang ikhlas pasti ada ganjarannya,” kata beliau.

Dalam pada itu, beliau melahirkan penghargaan kepada keluarganya yang telah menjadi tunjang kekuatan dan sokongan sepanjang kesibukan mengejar kecemerlangan akademik.

“Ibu bapa saya sentiasa berada di sisi saya walaupun saya belajar sampai lewat malam di ruang tamu rumah kami,” katanya.

Ibunya, Cik Nadira Samsir, 42 tahun, seorang jurulatih renang, sering menghidangkan makanan kegemaran Sumayyah demi menyuntik semangat anak sulungnya itu.

Ayahnya, Encik Jumadi Mohamed Yosope, 52 tahun, pengurus di Jabatan Pembangunan Korporat (Kewangan) di Kementerian Pembangunan Negara (MND) pula tidak pernah teragak-agak menemani puterinya itu belajar meskipun hingga larut malam.

Sebagai anak sulung lima beradik, Sumayyah menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab besar untuk membalas pengorbanan ibu bapanya dengan menjadi contoh terbaik kepada adik-adiknya, sama ada dari segi akhlak mahupun pencapaian akademik.

“Sebagai kakak sulung, saya meletakkan jangkaan tinggi ke atas diri sendiri, sama ada dari segi akhlak mahupun akademik,” ujarnya.

Ia adalah satu harapan yang beliau letakkan pada dirinya sendiri dan bukan disebabkan tekanan daripada orang luar.

Apabila ditanya jika jangkaan tingginya dan tanggungjawab yang dipikul pernah menjejas semangatnya, remaja itu berkata:

“Saya pelajari adalah penting untuk berasa syukur kerana ia memastikan kita membuat yang terbaik meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

“Jadi dengan perasaan syukur atas kedudukan kita ini, kita akan sentiasa memastikan kita berada di tempat yang baik dan juga membuat yang terbaik untuk orang lain,” kata Sumayyah.

Melangkah ke hadapan, Sumayyah bercita-cita menceburi bidang akademik dengan menggalas amanah sebagai pensyarah suatu hari nanti.

“Saya suka belajar, malah lebih gemar lagi mengajar supaya ilmu yang saya peroleh dapat dimanfaatkan oleh orang lain,” katanya.

Sentiasa bersyukur

Saya pelajari adalah penting untuk berasa syukur kerana ia memastikan kita membuat yang terbaik meskipun menghadapi pelbagai cabaran. Jadi dengan perasaan syukur atas kedudukan kita ini, kita akan sentiasa memastikan kita berada di tempat yang baik dan juga membuat yang terbaik untuk orang lain.
Sumayyah Jumadi.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg