Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Doktor dijel 4 bulan palsukan sijil kecekapan prosedur estetik

Jul 29, 2025 | 4:33 PM
Bernard Tan Wen Sheng, court, jail, doctor
Bernard Tan Wen Sheng mengaku bersalah atas dua pertuduhan memalsukan dokumen dan satu pertuduhan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam. - Foto ST

Seorang doktor yang pakar dalam perkhidmatan estetik dijatuhi hukuman penjara empat bulan pada 29 Julai setelah didapati bersalah memalsukan empat sijil kecekapan (COC) dan menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan (MOH).

Bernard Tan Wen Sheng melakukan kesalahan itu untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan klinik perubatannya, walaupun dua daripada sijil tersebut melibatkan bengkel yang belum dihadirinya.

Pada 30 Jun, Tan, 35 tahun mengaku bersalah atas dua tuduhan memalsukan dokumen dan satu tuduhan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.

Dua lagi tuduhan pemalsuan turut diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Dalam penghakimannya, Hakim Daerah James Elisha Lee menegaskan bahawa rangka kerja kawal selia MOH adalah penting bagi menjaga keselamatan dan kesihatan awam. 

Beliau turut menyatakan bahawa Tan dengan sengaja melakukan kesalahan terhadap institusi awam dan menunjukkan sikap tidak menghormati proses kawal selia kementerian.

Mahkamah sebelum ini dimaklumkan bahawa COC merupakan komponen penting dalam proses permohonan lesen klinik.

Untuk mendapatkan COC, pemohon perlu menghadiri bengkel berkaitan prosedur estetik tertentu dan lulus peperiksaan yang ditetapkan.

Sijil tersebut kemudiannya akan dikeluarkan oleh Kumpulan Pendidikan Dermatologi Estetik (Adeg).

Timbalan Pendakwa Raya Ariel Tan memberitahu mahkamah bahawa Tan telah merancang untuk membuka klinik perubatannya sendiri, Bay Aesthetics Clinic, di Marina Bay Link Mall, sekitar Februari 2023 dan telah mengemukakan permohonan lesen kepada MOH.

Pada 20 Februari 2023, seorang pengurus daripada Jabatan Kawal Selia Penjagaan Pesakit Luar dan Penyelidikan MOH telah menjalankan pemeriksaan melalui pautan video ke atas klinik Tan.

Keesokan harinya, pegawai itu menghantar e-mel kepada Tan untuk meminta COC berkaitan tiga perkhidmatan – suntikan toksin botulinum, rawatan pengisi (filler) dan kupasan kimia (chemical peel).

Tan kemudian menyedari bahawa beliau tidak memiliki sebahagian sijil tersebut dan memutuskan untuk mengubah COC milik isterinya menjadi miliknya.

Isterinya telah lulus peperiksaan berkaitan dan menerima sijil tersebut pada 2017.

Tan meniru empat sijil itu – bagi prosedur kupasan kimia, rawatan cahaya padat (IPL), rawatan pengisi dan suntikan toksin botulinum – dengan mencetak namanya menggunakan saiz fon yang serupa dengan butiran pada sijil isterinya dan menampalnya di atas nama asal sijil tersebut.

Dia kemudian mengimbas setiap sijil yang telah diubah itu dan menyerahkannya kepada MOH sebagai sebahagian daripada permohonan lesen kliniknya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg