Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Baru 6 bulan, bayi sudah lalui pelbagai pembedahan jantung

Ibu kuatkan semangat walau bayi lahir ada penyakit; antara penerima bantuan bawah program 4PM
Jul 10, 2025 | 1:18 PM
bayi, penerima bantuan, 4PM, Fatin Shazwani Mohammad Ali
Cik Fatin Shazwani Mohammad Ali, bersama bayinya, Muhammad Aafi Fahryan Mohammad Mustaqim, yang dilahirkan dengan penyakit jantung. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila anak dalam kandungan, Cik Fatin Shazwani Mohammad Ali, mencecah usia 26 minggu, doktor mengesan degupan jantung luar biasa pada janin itu.

Bayi dalam kandungannya disyaki mempunyai penyakit jantung.

Meskipun pihak doktor menyarankan agar Cik Fatin, 36 tahun, menggugurkan kandungan itu, beliau dan suaminya, Encik Muhammad Mustaqim Mohd Shafirr, 41 tahun, enggan berbuat demikian.

Apabila dilahirkan, anak kelima mereka itu disahkan menghidap penyakit jantung kongenital yang kompleks, iaitu Sindrom Jantung Kiri Hipoplastik, (HLHS) dan Ventrikel Kanan yang mempunyai Dua Saluran Keluar, atau Double Outlet Right Ventricle (DORV).

Penyakit itu menjejas aliran darah di jantung dan di seluruh tubuh.

“Doktor suruh saya gugurkan kandungan, tapi hati saya tidak sanggup. Kalau Tuhan nak beri anak ini, saya reda dan akan jaga dia sebaik mungkin,” luah Cik Fatin.

“Mereka kata 70 ke 80 daripada 100 orang dalam situasi saya akan gugurkan. Tapi saya tidak sampai hati. Saya percaya, kalau Tuhan nak beri rezeki ini, pasti ada hikmah,” katanya.

Bayinya, Muhammad Aafi Fahryan Mohammad Mustaqim, terpaksa menjalani pelbagai prosedur perubatan sejak lahir.

Ia termasuk pembedahan pemasangan perentak jantung atau pacemaker; ballooning (prosedur meningkatkan aliran darah) dan penyuapan melalui tiub.

“Waktu usia dia baru seminggu, dia sudah jalani prosedur ballooning.

“Selepas beberapa bulan, dia perlu jalani pembedahan kecemasan kerana kadar degupan jantung terlalu rendah,” singkap Cik Fatin.

Aafi yang kini berusia enam bulan, perlu mencapai berat badan enam kilogram bagi membolehkannya menjalani dua atau tiga lagi pembedahan jantung.

Cik Fatin mengakui, kehidupan seharian berubah sepenuhnya sejak kelahiran anak bongsunya.

Beliau terpaksa berehat seketika daripada bekerja sebagai pegawai pentadbiran di sebuah syarikat dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penjagaan anak.

Ia termasuk mempelajari teknik pernafasan kecemasan (CPR) dan penyuapan melalui tiub.

Walaupun menerima sokongan moral daripada suaminya, Encik Mustaqim, yang bekerja sebagai penjaga stor, serta anak-anak yang lain, tugas menjaga si kecil yang memerlukan perhatian dan penjagaan rapi tetap merupakan tanggungjawab amat mencabar dan memerlukan ketabahan yang tinggi.

Aafi perlu bergantung kepada alat perentak jantung sepanjang hayatnya, namun masih berpeluang menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Namun begitu, Aafi perlu mengelakkan kegiatan yang terlalu lasak demi menjaga kesihatannya.

Cik Fatin merupakan salah seorang penerima bantuan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) yang aktif menyantuni golongan berpendapatan rendah dan berisiko sejak beberapa tahun lalu.

Bantuan termasuk barangan asas, baucar dan sokongan sosial turut diberikan sepanjang Ramadan dan kini diperluas sepanjang tahun.

“Program penggabungan sosial ini membantu kami memahami cabaran sebenar yang dihadapi keluarga seperti Cik Fatin.

“Kisahnya kini dikongsi dengan Pejabat Khidmat Sosial untuk tindakan lanjut,” kongsi Pengarah Eksekutif 4PM, Encik Didicazli Ismail.

Pengarah Eksekutif, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Ismail.
Pengarah Eksekutif, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Didicazli Ismail. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Melalui pendekatan Rangka Kerja Pembangunan Keluarga yang diperkenal baru-baru ini, bantuan kini diberikan sepanjang tahun, meliputi aspek kewangan, logistik dan sokongan emosi.

Fasa pertama bermula dengan pengagihan bantuan Ramadan yang bertujuan mengenal pasti keluarga memerlukan.

Fasa Kedua pula melibatkan penilaian lebih mendalam serta usaha mendapatkan bantuan lanjutan daripada agensi nasional seperti Pejabat Khidmat Sosial (SSO) termasuk bantuan ComCare.

4PM turut mengamalkan konsep befriending. Pegawai atau sukarelawan akan sentiasa berhubung dengan keluarga itu untuk memantau keadaan dan memastikan keperluan mereka dikemas kini serta disalurkan kepada agensi relevan.

Jumlah penerima bantuan 4PM telah meningkat dengan ketara – daripada 300 keluarga kepada lebih 800 keluarga dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini mencerminkan peningkatan keperluan dalam kalangan masyarakat, terutama bagi keluarga yang menjaga anak-anak dengan keperluan perubatan yang kompleks seperti Cik Fatin.

Kerjasama rapat antara 4PM dengan SSO membolehkan kes gentingn seperti itu mendapat perhatian segera dan sewajarnya tanpa menunggu terlalu lama.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga seperti Cik Fatin boleh menghubungi pihak 4PM secara langsung bagi menyalurkan sumbangan atau menyertai program sokongan masyarakat.

Untuk maklumat lanjut atau menyumbang, layari pautan, www.4pm.org.sg.

Program bantu badan fahami cabaran

“Program penggabungan sosial ini membantu kami memahami cabaran sebenar yang dihadapi keluarga seperti Cik Fatin. Kisahnya kini dikongsi dengan Pejabat Khidmat Sosial untuk tindakan lanjut.”
Encik Didicazli Ismail, Pengarah Eksekutif, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

“Doktor suruh saya gugurkan kandungan, tapi hati saya tidak sanggup. Kalau Tuhan nak beri anak ini, saya reda dan akan jaga dia sebaik mungkin. Mereka kata 70 ke 80 daripada 100 orang dalam situasi saya akan gugurkan. Tapi saya tidak sampai hati. Saya percaya, kalau Tuhan nak beri rezeki ini, pasti ada hikmah.”
Cik Fatin Shazwani Mohammad Ali, penerima bantuan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg