Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dokumen PUB untuk diaudit mungkin ada penyelewengan

Sep 9, 2025 | 5:37 PM
PUB, ago
Badan pemantau akaun awam Singapura mengesan kelemahan dan kemungkinan penyelewengan dalam audit tahunan agensi pemerintah, termasuk kes dokumen PUB yang dipalsukan bernilai $7.95 juta. - Foto ST

Badan pemantau akaun awam Singapura telah mengesan kelemahan dan kemungkinan adanya penyelewengan dalam audit tahunan kementerian dan agensi pemerintah, termasuk kes di mana dokumen kontrak agensi air negara, PUB, telah diubah untuk memberi gambaran palsu bahawa pemeriksaan yang diperlukan telah dijalankan.

Satu kes dokumen yang dipalsukan itu melibatkan kontrak PUB bernilai $7.95 juta, bagi membekal biosid kawalan serangga, kata Pejabat Juruaudit Negara (AGO) dalam laporan tahun kewangan 2024 hingga 2025 yang dikeluarkan pada 9 September.

Di bawah kontrak itu, kontraktor perlu menyediakan sijil analisis dari makmal bertauliah untuk menunjukkan bahawa biosid memenuhi spesifikasi yang diperlukan.

AGO mendapati terdapat tanda kemungkinan berlaku penyelewengan dalam salinan kesemua enam sijil yang PUB serahkan untuk diaudit.

Salinan dokumen elektronik yang bermasalah itu mempunyai nombor versi, format dan maklumat yang berbeza daripada salinan cetak asal yang disediakan oleh kontraktor.

Ia “cuba memberi tanggapan palsu kononnya semakan pada tahap bahan aktif telah dilakukan... dan PUB telah menerima barangan yang memenuhi keperluan kontraknya”, kata AGO.

“AGO memandang serius terhadap sebarang pemberian maklumat palsu.

“Tindakan sedemikian menimbulkan keraguan terhadap kesahihan dokumen lain yang diberikan untuk diaudit dan menghalang tugas AGO,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kewangan (MOF) berkata PUB telah melancarkan siasatan dalaman mengenai perkara itu dan “akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk merujuk kes itu kepada polis”.

PUB membuat laporan polis mengenai kemungkinan penyelewengan dalam sebut harga bagi kontrak berasingan bernilai $6.75 juta untuk kerja landskap air.

AGO mendapati penyelewengan dalam sebut harga bagi 23 daripada 25 “barangan berkadar bintang” atau star rate items, yang kadarnya tidak disenaraikan dalam kontrak.

Nilai barangan itu mencecah $148,900, atau 94 peratus daripada jumlah nilai barangan yang disemak.

Memandangkan penyelewengan itu, AGO berkata ia bimbang sama ada sebut harga tersebut sahih dan sama ada ia berbaloi.

Kedua-dua kes itu adalah antara 25 daripada 132 kesilapan yang ditampilkan AGO dalam laporannya.

Yang lain mempunyai kaitan dengan pengurusan kontrak dan perolehan; pengurusan operasi, hasil dan geran; kelemahan dalam kawalan teknologi maklumat; serta pengendalian geran penyelidikan dan pengembangan (R&D).

Dalam laporannya, AGO berkata sektor awam perlu memberi lebih perhatian kepada tiga bidang iaitu pengurusan dan perolehan kontrak, pengurusan hasil dan penyelewengan dalam rekod untuk diaudit.

Mengenai pengurusan kontrak, AGO menggesa agensi sektor awam supaya memastikan barangan dan perkhidmatan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan kontrak sebelum pembayaran dibuat, katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg