Satu pameran tetap yang baru, memaparkan butiran rundingan dan perbincangan yang membawa kepada perpisahan Singapura dari Malaysia pada Ogos 1965, akan dibuka di Bangunan Perpustakaan Negara pada 7 Disember.
Menurut kenyataan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 24 Oktober, sebahagian besar daripada artifak dalam pameran itu akan ditonjolkan kepada umum buat kali pertama.
Ini sejajar dengan pengumuman pemerintah dalam Sidang Parlimen pada Februari 2023 untuk mendedahkan kandungan penuh dokumen itu, yang sebelum ini merupakan rahsia negara, kepada umum.
Berjudul ‘Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura Didedahkan Rahsianya’, pameran itu akan menampilkan kertas Kabinet, nota bertulis dan artifak asal daripada mantan Timbalan Perdana Menteri Singapura, mendiang Dr Goh Keng Swee, kata NLB.
Beliau merupakan salah seorang pemimpin perintis dan antara tulang belakang dalam rundingan Singapura dengan Malaysia pada waktu itu, bersama-sama mantan Perdana Menteri, mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata dokumen itu merakamkan detik penting sejarah kemerdekaan Singapura.
“Fail Albatross merupakan koleksi yang penting kerana ia merakam secara terperinci perbincangan dan rundingan yang membawa kepada perpisahan Singapura dari Malaysia pada 1965.
“Ia merupakan detik penting dalam sejarah yang mengubah haluan negara kita yang sekecil titik merah, dan mendorong kita melakar nasib (dan haluan) sendiri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap kepada hadirin dalam satu majlis bagi meraikan penderma NLB di The Pod@NLB pada 24 Oktober.
Orang ramai juga dapat mendengar sejarah lisan Dr Goh, mendiang Encik Lee dan isteri, Cik Kwa Geok Choo, di pameran itu – kesemuanya belum pernah didedahkan kepada umum, tambah Cik Teo.
“Kami berharap pameran ini dapat memberikan rakyat Singapura pemahaman lebih mendalam mengenai perjalanan negara kita dalam menuju kemerdekaan, dan menerapkan penghargaan lebih kukuh terhadap identiti dan masa depan kita bersama,” katanya.
Beliau menambah pameran itu berlandaskan buku bertajuk ‘Fail Albatross: Kisah Perpisahan Dari Sudut Dalaman’ (The Albatross File: Inside Separation), yang bakal diterbitkan seiringan dengan pelancaran pameran itu.
Buku setebal 488 halaman itu dibahagikan kepada tiga bahagian.
Ia merangkumi pengenalan sejarah daripada pakar sejarah, 23 dokumen daripada Fail Albatross dan bibit-bibit daripada pemimpin Singapura ketika itu, termasuk Dr Goh dan Encik Lee, ujar Cik Teo.
Majlis tersebut turut meraikan ulang tahun ke-30 NLB sebagai lembaga berkanun, dengan NLB dan Arkib Negara (NAS) mengumpulkan lebih 3,300 artifak sumbangan 94 penderma dari April 2024 hingga Mac 2025, kata NLB.
Sebahagian koleksi sumbangan yang dipaparkan dalam majlis tersebut termasuk dokumen ihsan tokoh muzik, Encik Indra Shahrir Ismail, mengenai arwah ibunya, Allahyarhamha Nona Asiah, biduanita tersohor Singapura sekitar 1950-an dan penerima Pingat Kebudayaan, pengiktirafan tertinggi Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada 2016.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg