Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dari kekeliruan ke keyakinan: Perjalanan Melayu/Islam S’pura dari kaca mata Alami

Bakal lancar buku ‘Ascent Towards Pinnacle’ yang menelusuri perjalanan masyarakat Melayu/Islam atasi cabaran bersama untuk menuju kecemerlangan
Oct 11, 2025 | 10:30 AM
Perjalanan Melayu/Islam S’pura, buku tulisan Alami Musa, mantan Presiden Muis
Encik Alami berharap bukunya ‘Ascent Towards Pinnacle’ dapat menambah nilai kepada usaha generasi muda untuk terus membangunkan masyarakat ke arah kecemerlangan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Perjalanan masyarakat Melayu/Islam Singapura daripada golongan minoriti yang ‘keliru dengan hala tuju dan identiti’ pasca merdeka pada 1965 kepada sebuah komuniti yang maju, yakin dan berdaya saing bukanlah satu perjalanan yang mudah.

Aktivis masyarakat mapan, Encik Mohammad Alami Musa, bukan hanya menjadi saksi pembangunan masyarakat itu, bahkan merupakan antara ‘pemain’ penting kemajuan tersebut.

Encik Alami, yang kini Felo Kanan Adjung di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), berkata pembangunan masyarakat sejak kemerdekaan melalui pelbagai pengalaman getir dari krisis pendidikan yang mencabar harga diri bangsa, sehinggalah pergolakan identiti; namun ia juga ditaburi dengan pelbagai aspek positif, antaranya lahirnya institusi seperti Mendaki yang menyalakan obor harapan kolektif.

Awal yang berliku: Kesedaran sosio-politik sejak remaja

Dalam podcast BHerbual terbitan akhbar ini, Encik Alami, yang juga mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan kini Duta Tidak Bermastautin Singapura ke Algeria, menceritakan benih aktivisme dalam dirinya sudah mula bercambah sejak usianya 13 tahun.

Podcast tersebut dirakam sempena pelancaran buku Encik Alami, Ascent Towards Pinnacle, pada 16 Oktober ini.

Rumah keluarganya sering menjadi tempat persinggahan pemimpin masyarakat. Bapa beliau, Allahyarham Haji Musa Yusof, merupakan setiausaha pertama Muis, yang jawatannya kini dikenali sebagai Ketua Eksekutif (CE).

“Saya duduk di lantai, di belakang ayah, mendengar mereka berbincang dengan penuh emosi... kadang ada ketegangan dalam perbincangan mereka.

“Dari situlah saya menyedari bahawa masyarakat kita berdepan cabaran besar yang menuntut kejelasan fikiran dan keberanian,” kenang beliau.

Encik Alami juga rasa dirinya ‘beruntung’ berjiran dengan seorang guru yang kritikal terhadap usaha yang dilakukan para pemimpin Melayu/Islam ketika itu.

“Guru Bahasa Melayu saya ketika itu tinggal di Jalan Kuda, saya di Jalan Jaafar. Dua jalan ini terletak di satu lorong yang sama, dan setiap pagi beliau akan tumpangkan saya ke sekolah.

“Dalam keretanya, kerana beliau mengenali siapa bapa saya, macam-macamlah beliau kritik bapa saya dan para pemimpin Melayu yang lain.

“Dia bilang, apabila Singapura berpisah dengan Malaysia, kita mendapat satu tawaran yang tidak baik untuk Melayu Singapura.

“Jadi, saya sebagai anak, saya melihat sendiri bagaimana abah saya dan rakan-rakannya bekerja keras untuk masyarakat... saya rasa saya perlu mempertahankan abah saya,” ujarnya.

Encik Alami melakukan demikian dengan sentiasa berbincang dengan bapanya mengenai isu-isu masyarakat. Malah, beliau mengaku – tanpa pengetahuan bapanya – sering membaca fail kerja yang dibawa pulang ayahnya ketika itu.

Beliau ‘menghadam’ catatan-catatan tokoh seperti mendiang Perdana Menteri pengasas, Encik Lee Kuan Yew, dan mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Allahyarham Othman Wok, untuk dijadikan hujah apabila ‘berdebat’ dengan gurunya yang lantang.

“Itu pendidikan politik pertama saya,” akur beliau.

‘Dicekup’ pihak berkuasa, disoal sepanjang malam

Penglibatan aktivisme beliau di universiti membawa risiko besar.

Pada awal 1970-an, Encik Alami bersama rakan-rakan mahasiswa menulis petisyen membantah pengecualian belia Melayu daripada Perkhidmatan Negara (NS). Petisyen itu diserahkan kepada Menteri Pertahanan ketika itu, mendiang Encik Goh Keng Swee.

“Malam itu saya diambil dari rumah, dibawa ke (stesen polis) Telok Kurau, dan disoal siasat sepanjang malam. Bilik saya di rumah pun digeledah.

“Ini kerana ketika itu terdapat ancaman dari pihak komunis yang mengancam keselamatan negara. Polis mahu memastikan saya dan rakan-rakan tidak dipergunakan pihak komunis untuk kepentingan mereka.

“Namun, polis tidak menjumpai apa-apa, dan saya dibebaskan,” ujar beliau, yang merupakan graduan kejuruteraan Universiti Singapura dan memiliki ijazah sarjana kejuruteraan dari universiti yang sama.

Insiden tersebut bukan satu intimidasi bagi Encik Alami.

Bahkan, ia menguatkan semangatnya untuk memperjuangkan dasar yang disifatkan beliau “melukakan masyarakat”.

Dalam satu mesyuarat pelajar Islam serantau di Indonesia, delegasi Singapura yang dianggotai beliau mengusulkan resolusi menamatkan pengecualian NS untuk orang Melayu.

Pihak berkuasa di Singapura mengingatkan delegasi tersebut supaya tidak menyebarkan dokumen resolusi itu.

“Tapi kami langgar saja... kami buat salinan dan kami sebarkan,” cerita Encik Alami.

Sekali lagi beliau disoal polis, malah hampir dituduh menyebarkan ‘bahan tidak diingini’.

“Insiden-insiden ini tidak melemahkan semangat saya, malah saya semakin bertekad. Saya sedar memperjuangkan isu masyarakat memerlukan kesanggupan menanggung risiko peribadi,” ujarnya.

Encik Alami menambah: “Alhamdulillah, belia Melayu kemudian diterima ke dalam NS, dan hari ini kita lihat ramai anggota masyarakat kita yang memegang jawatan tinggi di SAF (Angkatan Bersenjata Singapura) termasuk juruterbang jet pejuang di RSAF (Angkatan Udara Republik Singapura). 

Dekad 1980-an: ‘Detik terendah’ masyarakat dan lahirnya Mendaki

Bagi Encik Alami, dekad 1980-an merupakan detik paling getir dalam sejarah Melayu/Islam Singapura.

Antaranya ialah statistik pendidikan yang amat membimbangkan – sekitar 60 peratus gagal Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), dan hanya segelintir berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Lebih daripada angka, yang membimbangkan ialah imej bangsa kita. Orang lain mungkin melihat Melay/Islam sebagai bangsa yang lemah. Itu sangat berbahaya kerana boleh menimbulkan sentimen perkauman,” tegas beliau.

Namun, di tengah keresahan itu, lahirlah keputusan bersejarah: penubuhan Yayasan Mendaki pada 1982.

“Kalau tidak ada Mendaki, masyarakat Melayu/Islam hari ini tidak sama. Ia simbol muafakat, gotong-royong dan harapan baru. Lebih 200 persatuan bergabung. Pembentukan Mendaki itu satu detik mercu tanda masyarakat kita,” katanya penuh semangat.

“Hasilnya hari ini, statistik 1980-an itu sudah diterbalikkan... 90 peratus anak Melayu kita lulus pos menengah,” ujar Encik Alami.

Beliau menegaskan, Mendaki bukan sahaja menyediakan bantuan pendidikan, tetapi lebih penting lagi mengubah psikologi masyarakat daripada putus asa kepada keyakinan bahawa masa depan yang cerah boleh dibina bersama.

Tahun 1990-an: Bangkitnya golongan karyawan

Menjelang 1990-an, hasil usaha berterusan dan penuh sabar masyarakat sejak lebih dua dekad mula membuahkan hasil dengan kemunculan generasi kelas pertengahan Melayu/Islam yang berpendidikan, berkeyakinan dan sanggup tampil ke hadapan.

Dekad ini jugalah Encik Alami menjadi pengerusi Angkatan Karyawan Islam, yang kini dinamakan sebagai AMP sahaja, dari 1995 hingga 2003.

AMP sendiri lahir daripada Konvensyen Kebangsaan Karyawan Melayu/Islam 1990 yang menghimpunkan lebih 500 karyawan muda.

“Buat pertama kali sejak merdeka, golongan karyawan tampil memikirkan masa depan masyarakat. Malah Perdana Menteri (ketika itu, Encik) Lee Kuan Yew hadir memberi sokongan,” kata Encik Alami.

Bagi Encik Alami, konvensyen itu melahirkan konsep critical collaboration atau kolaborasi kritikal: “Kita bekerjasama dengan dan menyokong pemerintah, tetapi tetap berani mengkritik dasar yang menjejas masyarakat,” jelasnya.

Pasca 9/11: Lahirnya Identiti Muslim Singapura

Tragedi serangan pengganas 11 September 2001 di Amerika Syarikat mencabar imej Islam di seluruh dunia, dan Singapura tidak terkecuali dengan kecurigaan terhadap Muslim meningkat.

Dua tahun selepas kejadian tersebut, pada 2003, Encik Alami dilantik Presiden Muis, mengikut jejak langkah arwah bapanya.

Setelah undang-undang kemudian diubah untuk menjadikan jawatan tersebut sebagai Ketua Eksekutif, Encik Alami dilantik presiden bukan-eksekutif pada 2013 hinggalah peletakan jawatannya pada 2021.

Sebagai presiden, Encik Alami berdepan persoalan besar: Apakah identiti kita sebagai Muslim di Singapura?

Jawapannya lahir dalam bentuk gerakan Identiti Muslim Singapura (SMI), sebuah kerangka yang menggariskan bahawa Muslim di Singapura ialah seseorang yang kekal taat beragama sambil hidup harmoni dalam negara majmuk dan sekular.

Beliau mengimbas perbualan dengan mendiang Encik Lee Kuan Yew dalam satu dialog:

“Selepas 35 tahun, beliau tanya adakah orang Melayu ingin jadi sebahagian daripada masyarakat Singapura atau terpisah dari masyarakat Singapura?

“Saya jawab: Kami mahu menjadi sebahagian daripada masyarakat Singapura, dan terus memberikan hujah-hujah saya.

“Beliau balas: Baik, buktikan dalam tingkah laku. Kata-kata itu saya simpan sampai hari ini,” ujarnya.

Walaupun awalnya dikritik sebagai sesuatu yang abstrak, SMI akhirnya diiktiraf.

Bahkan menteri yang bertanggungjawab bagi penyelarasan keselamatan negara ketika itu, Dr Tony Tan, menyifatkannya sebagai jawapan kepada menangani ancaman ideologi radikal dalam mengekang ekstremisme di Singapura.

Melebihi toleransi: Membina jambatan silang agama

Melangkah ke dekad 2010-an, Encik Alami menekankan bahawa ‘toleransi’ tidak mencukupi dalam usaha negara ini terus memperkukuh keharmonian kaum di tengah-tengah dunia yang semakin berpecah-belah.

“Toleransi itu perkataan buruk sebenarnya. Ia hanya bermaksud kita bertahan sampai tahap tertentu. Kita mesti melangkaui itu,” katanya.

Beliau memperkenalkan konsep Beyond Tolerance atau Melangkaui Toleransi – di mana umat Islam dan penganut agama lain bukan sahaja hidup bersama, tetapi saling memperkaya.

“Contohnya, ada ‘permata’ dalam setiap agama. Kita boleh belajar dan mengambil ‘permata’ itu bagi kegunaan kehidupan beragama kita tanpa menjejaskan akidah, sambil berkongsi yang terbaik daripada agama Islam dengan yang lain,” jelasnya.

Sehubungan itu, dalam bukunya, Ascent Towards Pinnacle, beliau menyarankan beberapa definasi semula kepada teras Singapura – antaranya Sacred Secularism, Polymorphic Meritocracy dan Enclave-less Multiculturalism

Sacred Secularism adalah sekularisme yang tidak menolak agama tetapi menjadikannya sumber penyelesaian masalah moden manakala Polymorphic Meritocracy adalah meritokrasi pelbagai bentuk yang mengiktiraf bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga bakat dalam bidang seperti kulinari, seni atau teknologi digital.

Terakhir, Enclave-less Multiculturalism pula adalah kepelbagaian budaya tanpa sempadan yang benar-benar menyatukan masyarakat.

“Idea-idea seperti secularism, multiculturalism dan meritocracy adalah konsep Barat yang kita ambil sepenuhnya. Sudah tiba masa kita memperkayakan idea Barat dengan realiti kita. Kita tidak tolak, tapi kita menyesuaikannya,” katanya.

Pesanan untuk Generasi Baru: Berani dengan ‘Idea Besar’

Pada usia 69 tahun dan selepas hampir lima dekad berkecimpung dalam sektor masyarakat – sama ada sebagai aktivis mahupun pemimpin pertubuhan seperti AMP dan Muis – Encik Alami berkata tugas membangunkan masyarakat bersama masih belum selesai.

Lantaran itulah beliau menggunakan perkataan ascent dalam tajuk bukunya yang bermakna ‘mendaki’.

Ini menurutnya bagi mencerminkan bahawa masyarakat masih lagi mendaki tangga kejayaan, dan juga sebagai penghormatan kepada Mendaki yang disifatkan beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat sejak pembentukannya.

Nasihat beliau kepada golongan muda ialah: “Kita mesti ada idea yang besar atau bold ideas. Jangan berfikiran kecil. Kita perlukan visi, ideologi yang mantap, kajian yang kukuh dan rangkaian luas. Networking itu kunci untuk masyarakat kecil seperti kita meluaskan footprint di pentas global,” katanya penuh semangat.

Nota: Ascent Towards Pinnacle boleh didapatkan di tokoh-tokoh buku setempat atau menerusi laman web World Scientific selepas pelancarannya. Hasil penjualan buku itu akan didermakan kepada amal.

-
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg