Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mantan Presiden Muis lancar buku kehidupan Muslim dalam masyarakat majmuk

Oct 16, 2025 | 7:34 PM
Alami Musa, buku, Presiden, Halimah
Mantan Presiden, Puan Halimah Yaacob, semasa majlis pelancaran buku hasil karya mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohammad Alami Musa, di Perpustakaan Negara pada 16 Oktober. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Masyarakat Melayu/Islam Singapura telah meraih manfaat dan ilmu dengan kewujudan bersama dalam kalangan masyarakat majmuk di sini.

Ini menjadikan masyarakat Melayu/Islam lebih optimistik, yakin dan terlibat dalam masyarakat aliran utama Singapura, kata mantan Presiden, Puan Halimah Yaacob.

Beliau berkata dari aspek ini, masyarakat Melayu/Islam sebenarnya menyumbang kepada cara kehidupan Singapura, termasuk keamanan sosial dan hubungan berbilang agama lebih kukuh.

“Kewujudan bersama masyarakat Melayu/Islam dengan komuniti lain… dapat mendidik mereka untuk belajar daripada budaya lain dalam konteks masyarakat kita yang majmuk.

“Sama seperti komuniti lain meraih manfaat daripada penglibatan mereka bersama kami, masyarakat Melayu/Islam juga telah meraih manfaat daripada proses hibrid budaya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran buku, Ascent Towards Pinnacle atau mendaki puncak kecemerlangan, karya mantan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohammad Alami Musa.

Majlis yang diadakan di The Pod, Perpustakaan Negara, pada 16 Oktober itu menyaksikan kehadiran sekitar 100 hadirin, termasuk keluarga terdekat, aktivis dan pemimpin pertubuhan masyarakat Melayu/Islam.

Puan Halimah menambah kejayaan masyarakat Melayu/Islam dalam menyepadukan agama, budaya dan tradisi dengan kemodenan menunjukkan menjadi seorang Muslim dan warganegara yang baik tidak bertentangan antara satu sama lain.

Ini sesuatu yang dirakam dalam buku tersebut, dengan beliau menyifatkan aspek menjadi seorang Muslim dan warganegara Singapura “membentuk sebahagian daripada identiti gabungan Melayu/Islam Singapura”.

Beliau berkata: “Ia (identiti) bukan isu yang hanya membimbangkan orang Melayu/Islam di Singapura, tetapi adalah sesuatu yang mekar di benak ramai golongan minoriti Muslim yang tinggal di negara bukan majoriti Muslim.

“Masyarakat Islam minoriti di Singapura telah menemui ruang pengkhususan atau tukikan untuk diri mereka tanpa kerapuhan nilai atau budaya.”

Sungguhpun demikian, beliau berkata usaha masih perlu dipergiat, apatah lagi sedang masyarakat lain memacu ke hadapan dalam aspek pendidikan dan pekerjaan.

Beliau berkata wujudnya cabaran sedemikian “memerlukan usaha yang koheren, diselaraskan dan berterusan untuk menanganinya”.

Sehubungan itu, Encik Alami dalam kata-kata aluannya, menjelaskan buku itu diterbitkan sebagai hadiah sempena hari lahirnya yang ke-69 tahun.

Lebih daripada itu, ia satu penghormatan buat beliau kepada masyarakat Melayu/Islam kerana menurutnya, terdapat persamaan antara Kisah Singapura dengan Kisah Masyarakat Melayu/Islam di sini.

Felow Kanan Adjung di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) dan Duta Tidak Bermastautin Singapura ke Algeria itu berkata:

“Kedua-dua (kisah ini) mempunyai sejarah awal yang sangat mencabar pasca kemerdekaan.

“Masyarakat Melayu/Islam secara khususnya, berhadapan dengan cabaran dan masalah yang menimbulkan keresahan, kerisauan dan kebimbangan.

“Namun, kita tidak putus harapan. Kita tidak putus keyakinan. Kita bekerja keras dengan segala sumber terhad yang ada.”

Buku tersebut mengetengahkan cebisan kisah masyarakat Melayu/Islam sejurus selepas kemerdekaan Singapura pada 1965 hingga kini.

Beliau berkata sasarannya adalah bagi mengumpulkan $20,000 daripada hasil kutipan jualan buku itu, yang kemudian akan didermakan kepada amal.

Ascent Towards Pinnacle boleh didapatkan di toko-toko buku setempat atau menerusi laman web, World Scientific.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg