Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dolar S’pura hadapi tekanan akibat tarif AS, perubahan dasar

Jul 21, 2025 | 6:23 PM
Dolar Singapura menghadapi tekanan baru akibat tarif Amerika Syarikat dan spekulasi mengenai pelonggaran dasar kadar pertukaran.
Dolar Singapura menghadapi tekanan baru akibat tarif Amerika Syarikat dan spekulasi mengenai pelonggaran dasar kadar pertukaran. - Foto fail

Dolar Singapura menghadapi tekanan baru kerana cabaran perdagangan dengan Amerika Syarikat dijangka bertambah buruk, dan ada spekulasi bahawa dasar kadar pertukaran akan dilonggarkan.

Dolar Singapura, yang sudah melemah akibat pemulihan dolar Amerika, berdepan ancaman tarif baru selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi amaran bahawa beliau mungkin mengenakan cukai terhadap farmaseutikal dan semikonduktor, dua eksport utama Singapura.

Ahli ekonomi dari firma seperti Barclays dan Asia Decoded jangkakan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) akan melonggarkan dasar pada Julai untuk menyokong ekonomi.

“Ketidaktentuan tarif, termasuk tarif lebih tinggi terhadap farmaseutikal mulai 1 Ogos, dijangka menambah cabaran pertumbuhan bagi Singapura pada separuh kedua tahun ini,” kata Encik Moh Siong Sim, seorang pakar strategi mata wang di Bank Singapura. 

Dolar tempatan mungkin akan terus melemah kepada $1.30 berbanding dolar Amerika dalam masa terdekat, terutama jika kenaikan tarif menyebabkan inflasi Amerika meningkat dan menangguhkan pemotongan kadar faedah oleh Lembaga Simpanan Federal (Fed), katanya.

Pada 21 Julai, dolar Singapura berada pada kadar 1.2846 berbanding dolar Amerika.

Setakat tahun ini, mata wang Singapura telah meningkat sebanyak 5.9 peratus berbanding dolar Amerika.

Sesetengah pakar strategi percaya bahawa MAS akan melonggarkan dasar apabila mesyuarat dijalankan pada akhir Julai, memandangkan inflasi kelihatan terkawal. 

Ahli ekonomi meramalkan data yang akan diumumkan pada 23 Julai menunjukkan inflasi teras hanya meningkat 0.7 peratus pada Jun.

MAS dijangka meratakan cerun jalur dasar kadar pertukaran efektif nominal dolar Singapura, atau S$Neer, sebanyak 50 mata asas kepada sifar pada Julai, kata ahli ekonomi Barclays.

Berbeza dengan bank pusat global, MAS mengawal inflasi dengan menyesuaikan jalur S$Neer, bukan kadar faedah.

Dengan S$Neer hampir sampai ke had atas, pelarasan ini akan menghadkan kekuatan dolar Singapura berbanding mata wang utama.

“Dengan MAS dijangka melonggarkan dasar dan meratakan kecuraman S$Neer pada Julai, kami jangka dolar Singapura akan terus lemah,” kata Cik Priyanka Kishore dari Asia Decoded.

Walaupun bank pusat Singapura dijangka melonggarkan dasar, spekulasi mengenai kenaikan kadar oleh Fed Amerika ditangguhkan kerana inflasi yang dipengaruhi tarif, yang menguatkan dolar Amerika. 

Penggunaan dolar Singapura dalam perdagangan ‘carry’, di mana wang dipinjam dengan kadar rendah dan dilaburkan dalam mata wang dengan pulangan lebih tinggi, juga memberi kesan kepada prospeknya. 

Bloomberg Intelligence melaporkan pada Julai bahawa tiga daripada empat model analisisnya menunjukkan kedudukan rupiah Indonesia lebih tinggi berbanding dolar Singapura. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg