Sektor perkhidmatan kewangan Singapura pada 2024 mencatat kadar pertumbuhan lebih seganda berbanding 2023.
Namun, Penguasa Kewangan Singapura (MAS), memberi amaran kadar pertumbuhan tinggi sebelum ini mungkin tidak berterusan kerana industri bersiap sedia menghadapi pertumbuhan sejagat yang lebih perlahan akibat ketidaktentuan tarif, lapor The Straits Times (ST).
Sektor perkhidmatan kewangan tumbuh 6.8 peratus pada 2024, berbanding 3.1 peratus pada 2023.
Ia menyumbang sekitar 14 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Singapura, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi MAS, Encik Gan Kim Yong, dalam laporan tahunan bank pusat bagi 2024/2025 yang dikeluarkan pada 15 Julai.
Pertumbuhan itu meliputi aspek perbankan, pengurusan dana, insurans dan kegiatan sokongan seperti syarikat pembayaran, tambah beliau.
Pengarah Urusan MAS, Encik Chia Der Jiun, pada 15 Julai berkata sektor kewangan mencatat purata pertumbuhan 4.7 peratus dari 2021 hingga 2024, selaras dengan sasaran Perancangan Perubahan Industri (ITM) 2025 iaitu 4 hingga 5 peratus setahun.
Penciptaan pekerjaan melebihi sasaran ITM 2025, dengan purata 4,400 pekerjaan bersih setahun, dari 2021 hingga 2024, lebih 90 peratus diisi pekerja tempatan.
Timbalan Pengarah Urusan MAS, Encik Leong Sing Chiong, berkata pekerjaan baru diwujudkan dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi serta bidang bukan teknologi seperti pengurusan perniagaan, portfolio dan hubungan pelanggan.
Sektor perbankan kekal kukuh dengan jumlah aset meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun 6.8 peratus, antara 2021 dengan 2024.
Industri insurans berkembang dengan jumlah aset meningkat 3.6 peratus pada 2024, berbanding 2023 kepada $456.4 bilion.
Jumlah dagangan harian purata dalam pasaran tukaran asing melepasi $1.5 trilion pada 2024.
Pasaran hutang korporat mencatat pertumbuhan kukuh pada 2024, dengan jumlah penerbitan meningkat lebih 30 peratus berbanding tahun sebelumnya, melebihi $300 bilion.
Aset di bawah pengurusan (AUM) di Singapura meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun kepada $6.07 trilion.
Ini menandakan kali pertama AUM Singapura melepasi $6 trilion, kata Encik Chia.
Pertumbuhan itu disumbangkan sektor tradisional dan alternatif, termasuk ekuiti persendirian, modal teroka, dana lindung nilai dan Dana Amanah Pelaburan Hartanah (Reit).
Aliran masuk bersih ke Singapura meningkat 50 peratus pada 2024 berbanding 2023, seiring dengan pemulihan kegiatan pengumpulan dana dalam suasana sentimen pelaburan yang semakin baik.
Bilangan syarikat pengurusan dana mencapai 1,298 pada penghujung 2024.
Sektor pengurusan kekayaan turut mencatat pertumbuhan kukuh, kerana negara ini terus menjadi “pusat pengurusan kekayaan yang dipercayai dan menarik yang disokong oleh piawaian kawal selia yang tinggi”.
Menurut Encik Chia, pertumbuhan sektor kewangan mungkin tidak akan setinggi beberapa tahun lalu kerana banyak ketidaktentuan, termasuk perjanjian perdagangan, tarif dan konflik perdagangan.
Kejutan perdagangan April lalu selepas Amerika mengenakan tarif meluas, memberi kesan kompleks kepada inflasi dan pertumbuhan sejagat yang berbeza mengikut negara, tambah beliau.
Walaupun tarikh akhir tarif ditangguh dan perniagaan buat pesanan awal, langkah ini sementara dan akan melambatkan penggunaan serta pelaburan akan datang.
Pertumbuhan GDP Singapura bagi 2025 dijangka merosot kepada antara sifar dengan 2 peratus susulan ketidaktentuan sejagat yang meningkat, berbanding pengembangan 4.4 peratus pada 2024.
Encik Chia berkata mandat MAS untuk memastikan kestabilan harga jangka sederhana akan menyediakan penstabil ekonomi Singapura pada masa ketidaktentuan dan perubahan asas.
Beliau memberi amaran bahawa pasaran kewangan boleh jatuh mendadak dan menjadi tidak stabil jika risiko sejagat yang belum dicerminkan sepenuhnya benar-benar berlaku.
Antara pencetusnya termasuk konflik perdagangan, ketegangan geopolitik dan kebimbangan pelabur terhadap dasar kewangan dan fiskal.
MAS sentiasa berwaspada terhadap risiko sejagat yang boleh menular ke Singapura, tambah Encik Chia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg