Kedai runcit dari Jepun, Don Don Donki, akan menghentikan penjualan beg plastik di 16 cawangannya di Singapura mulai 1 Oktober.
Langkah itu diambil sebagai sebahagian daripada komitmen kemampanan berterusan francais tersebut, berikutan kempen Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) 2021 iaitu, ‘Katakan Tidak pada Beg Plastik’.
Sejak November 2021, kedai itu telah mengenakan bayaran 10 sen kepada pelanggan bagi setiap beg plastik ketika pembayaran dibuat, lapor The Straits Times (ST).
Berita mengenai perubahan tersebut tersebar selepas siaran Reddit memaparkan papan tanda yang diletakkan di pelbagai kedai Don Don Donki.
Notis itu menggesa pelanggan supaya membawa beg boleh guna semula dan menyokong masa depan yang lebih hijau berserta mesej ‘Terima kasih atas pemahaman dan sokongan anda’.
ST melakukan kajian ke atas 12 individu dan separuh daripada mereka berkata mereka tidak mempunyai masalah dengan penghentian penjualan beg plastik.
Ini kerana mereka sudah mempunyai tabiat membawa beg sendiri sejak pasar raya utama, seperti NTUC FairPrice dan Sheng Siong, mula mengenakan bayaran sekurang-kurangnya lima sen untuk beg plastik pada Julai 2023.
Seorang pelanggan tetap, Cik Adeline Low, 64 tahun, berkata: “Sudah menjadi rutin bagi saya untuk membawa beg kitar semula tambahan selama beberapa tahun, jadi saya tidak akan menjadi salah seorang daripada mereka yang terjejas.”
Seorang lagi pelanggan, Cik Shermaine Tan, merasakan perkara yang sama. Wanita berusia 30 tahun itu berkata beliau menggunakan begnya sendiri yang boleh diguna semula apabila beliau membeli barangan besar, seperti kotak minuman.
Namun, ada beberapa pelanggan lain mendapati dasar baru itu “hipokrit” dan “menyusahkan”.
Encik Daniel Quah, 27 tahun, berkata: “Apakah (maksud) komitmen kepada kemampanan? Kebanyakan barangan mereka seperti set bento dan sushi memiliki banyak bungkusan plastik.”
Penganalisis korporat itu berkata beliau melanggani Don Don Donki sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk membeli sayur-sayuran, buah-buahan dan daging segar.
Beliau biasanya membeli dua beg plastik dari kedai, dan membawa beg sejuknya sendiri untuk barang mudah rosak.
Beliau berkata adalah lebih baik jika rangkaian runcit masih boleh memberi pilihan kepada pelanggan untuk membeli beg plastik semasa pembayaran, walaupun harga boleh dinaikkan kepada 30 sen setiap satu untuk mengurangkan penggunaan.
Seorang lagi pelanggan, Cik Mel Chandan, berkata: “Saya rasa tidak masuk akal jika Don Don Donki menggunakan bahan plastik untuk pengiklanan (bahan) seperti brosur, dan kemudian mengenakan bayaran untuk beg plastik.
“Saya rasa perniagaan harus mengamalkan apa yang mereka kedepankan jika mereka cuba mempromosikan kemampanan,” kata pegawai perkhidmatan pelanggan berusia 25 tahun itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg