Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dormitori dengan 200,000 pekerja migran bakal terima geran naik taraf $100j

Jan 17, 2026 | 3:26 PM
dormitori, pekerja migran, geran, Dormitori NESST Tukang
Dormitori NESST Tukang yang dibina oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dibuka secara rasmi pada 17 Januari. Ia dapat menampung sehingga 2,400 pekerja migran merangkumi 210 bilik. - Foto ST

Pengendali dormitori yang menampung sekitar 200,000 pekerja migran dijangka menerima pembiayaan pemerintah bernilai lebih $100 juta bagi menampung kos penambahbaikan ruang yang boleh dihuni, bagi sekitar 900 dormitori sedia ada.

Ini bagi memenuhi keperluan yang lebih ketat. 

Pada 17 Januari, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, mendedahkan butiran geran Skim Peralihan Dormitori (DTS) bagi kerja naik taraf terpilih semasa acara pembukaan rasmi Dormitori NESST Tukang.

Ia merupakan dormitori pertama yang dibina Kementerian Tenaga Manusia (MOM), memenuhi keseluruhan Piawaian Dormitori Baru (NDS) yang diperkenalkan pada September 2021.

Keadaan hidup pekerja migran di dormitori mendapat perhatian selepas penularan jangkitan Covid-19 di kuarters pekerja asing pada 2020.

“Pekerja migran memainkan peranan penting dalam pembangunan Singapura, kerana mereka membina rumah dan prasarana kita serta menyumbang kepada ekonomi negara,” kata Dr Tan.

Namun, pendekatan Singapura terhadap perumahan pekerja migran selama bertahun lamanya hanya terhad kepada menyediakan kemudahan penginapan asas, jelas Dr Tan.

“Pandemik Covid-19 mengingatkan kita akan pentingnya memperkukuh ekosistem dormitori. 

“Ia juga menegaskan kepercayaan kita bahawa apabila pekerja hidup dengan selesa dan dijaga dengan baik, mereka lebih mampu melakukan kerja dengan cemerlang di tempat kerja dan masyarakat kita turut mendapat manfaat,” tambah Dr Tan.

Sejak pandemik Covid-19, pemerintah telah bekerjasama rapat dengan rakan industri untuk meningkatkan piawaian dormitori, kata Dr Tan.

Sebagai contoh, NDS mengatasi kelemahan sebelum ini dengan menetapkan had maksimum 12 penghuni setiap bilik.

Pada masa ini, had penghuni tidak ditetapkan dan kebanyakan dormitori menempatkan 16 atau lebih penghuni dalam satu bilik.

Sebagai permulaan, NDS memastikan tandas peribadi dan kemudahan pengasingan disediakan. 

Selain itu, ia turut menetapkan ruang minimum 3.6 meter persegi bagi setiap penghuni.

Dormitori sedia ada diberi masa sehingga 2030 untuk memenuhi sebahagian daripada piawai NDS, yang juga merangkumi langkah penambahbaikan bagi memperkukuh kawalan jangkitan.

Para pengendali diberi tempoh sehingga 2040 untuk mematuhi keseluruhan NDS, yang turut menetapkan ruang minimum 4.2 meter persegi bagi setiap penghuni dan jarak sekurang-kurangnya satu meter antara katil.

“Pendekatan berperingkat ini akan mengurangkan gangguan kepada industri dormitori, sambil beralih ke piawaian lebih tinggi secepat mungkin demi kesihatan awam,” kata Dr Tan.

Memperincikan geran pemerintah bagi kos penambahbaikan dormitori, Dr Tan berkata pengendali dormitori yang layak akan menerima antara $3,000 dengan $8,800 bagi setiap jenis kerja naik taraf yang disiapkan bagi setiap unit.

Jumlah pembiayaan bagi setiap dormitori akan ditentukan oleh jenis dan skala kerja naik taraf yang diperlukan.

Bagi menggalakkan dormitori membuat peralihan lebih awal dan mengelak kekurangan katil akibat terlalu banyak dormitori menjalani kerja naik taraf secara serentak, pengendali yang menyiapkan kerja penambahbaikan menjelang akhir 2028, akan layak menerima geran lebih tinggi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg