Walaupun pernah dibelenggu pelbagai keresahan dan diasak kebimbangan semasa tahun-tahun awal menuntut di Sekolah Menengah Spectra, Syafawati Jawidah Johanis, beralih menjadi pelajar teladan kerana keprihatinan yang ditunjukkan kepada rakan-rakan.
Ini memberi guru-gurunya keyakinan untuk mendorongnya menjadi pemimpin pelajar di sekolah di Woodlands Drive itu.
Melalui usahanya memimpin projek di peringkat sekolah, remaja berusia 16 tahun ini secara beransur-ansur keluar daripada kepompong hidupnya dan dikenali dalam kalangan rakan-rakannya sebagai seseorang yang boleh dijadikan rujukan untuk mendapatkan bantuan pelajaran.
Dia juga dilihat sebagai pemimpin pelajar yang mampu menggerakkan pelajar lain dan melibatkan mereka bagi mengambil bahagian dalam pelbagai inisiatif sekolah.
Pada 18 Disember, Syafawati, anak sulung dalam dua beradik, adalah antara 13,000 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘N’ dan menerima keputusan mereka.
Dia mendapat keputusan cemerlang dengan tiga gred A dalam Bahasa Inggeris, Aplikasi Web Mudah Alih dan Reka Bentuk Mekanikal dan Automasi.
Awal sebelum itu, dia sudah pun mendapat tempat bagi meneruskan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central bagi memburu Sijil Nitec Lanjutan dalam Aplikasi dan Permainan Imersif melalui laluan Latihan Kemasukan Awal ITE.
Menurutnya, inilah satu cara membanggakan bapanya, Encik Johanis Johari, 48 tahun, teknisyen perkhidmatan, dan ibunya, Cik Saraswati Biran, 47 tahun, suri rumah.
Pelajar yang mempyunyai nyala rasa dan kebolehan boleh memohon sebelum peperiksaan akhir tahun mereka dan menjalani sesi temuduga atau penilaian sebelum menerima tawaran tersebut, asal sahaja mereka memenuhi ketetapan kursus itu, selepas tamat GCE Peringkat ‘N’.
Ciri kepimpinan dan semangat membara Syafawati juga wujud dalam minatnya pada seni.
Sebagai Pengerusi Kelab Seniman Muda di sekolah dia mendorong rakan-rakannya untuk mempelajari perisian baharu dan menyertai acara peringkat sekolah di samping menyatukan mereka untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu usaha lebih besar, di luar jangkaan mereka sendiri.
“Bagi satu acara keharmonian kaum di sekolah, saya telah merealisasikan idea melukis potret rakan-rakan sekelas di sebuah reruai sementara atau ‘pop-up’.
“Saya juga mendapatkan anggota Kelab Seniman Muda untuk menyertainya kerana saya ingin memberikan platform kepada anggota pasukan mempamerkan bakat mereka dan menjadi sebahagian daripada sesuatu lebih bermakna di sekolah,” katanya.
Sikapnya yang membawa orang lain sama-sama menyertai sesuatu kegiatan turut dikongsi gurunya, Cik Liu Lijun.
“Bagi segala yang dilakukannya, dia akan memikirkan dahulu keperluan anggota dalam pasukan.
“Jadi kami dapat melihat ada pada Syafawati, sifat tidak mementingkan diri sendiri dan ingin sama-sama membangun dan maju bersama pasukannya,” jelas Cik Liu.
Kemampuannya menggerakkan rakan-rakannya jelas apabila dia juga memberi inspirasi dan membimbing anggota Kelab Seniman Muda untuk mempelajari sendiri perisian ‘Coohom’, alat reka bentuk berasaskan kecerdasan buatan (AI), yang membolehkan mereka menukar lakaran dua dimensi (2D) menjadi simulasi tiga dimensi (3D).
Melalui Program Pembangunan Bakat ITE atau Skills Subject Plus (ISS+), Syafawati turut memimpin rakan-rakannya menyiapkan projek kemuncak pencapaian tertinggi, dengan kerjasama Sekolah Persekutuan Palsi Cerebrum Singapura (CPAS).
Projek tersebut melibatkan penyediaan sistem rumah pintar untuk mengajar kemahiran hidup harian kepada pelajar berkeperluan khas.
Daripada pengalaman ini, Syafawati terdorong untuk memberi kembali kepada masyarakat di luar sekolah.
Dia bahkan telah menjadi sukarelawan di rumah jagaan warga emas, Man Fut Tong.
Ditanya mengenai masa hadapan dan cita-citanya, Syafawati berkata: “Pada masa hadapan, saya berharap dapat menjadi pembangun permainan supaya lukisan saya juga dapat dimanfaatkan dan wujud dalam permainan, di mana ia juga dapat menjadi wadah interaksi dengan orang lain dalam kehidupan sebenar.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg