Minat membaca dan berdwibahasa bagi pelajar tahun pertama Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Pearl Insyirah Mohd Mubbin, 19 tahun, mula tersemai sejak kecil lagi.
Bak melentur buluh biarlah dari rebungnya, cintanya terhadap bahasa Melayu dan Inggeris, lebih-lebih lagi dalam bidang sastera, terputik pada usia lebih muda dek dorongan ibunya yang setiap minggu tidak lelah membawanya ke perpustakaan.
Berkat kesungguhan dan kecemerlangannya dalam mata pelajaran Bahasa dan Sastera Melayu dan kegiatan kokurikulumnya (CCA) semasa di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC), beliau telah dianugerahkan dengan Hadiah Buku Perdana Menteri (Peringkat A) pada 27 Ogos.
Beliau merupakan antara 199 pelajar yang menerima Anugerah Khas Kementerian Pendidikan (MOE) daripada Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, di Majlis Penyampaian Anugerah Khas yang diadakan di Pusat Budaya Universiti (UCC) di NUS.
“Saya terhutang semangat dan minat saya dalam bahasa kepada ibu kerana mendedahkan saya kepada dunia dwibahasa. Sejak kecil lagi, beliau yang membawa saya setiap minggu ke perpustakaan, yang merupakan perjalanan pembelajaran yang menarik bagi saya.
“Beliau juga orang yang pertama memupuk cinta dan dedikasi saya untuk kedua-dua bahasa dan memberi inspirasi kepada saya untuk terus berusaha dan cemerlang dalam akademik dan menyumbang kembali kepada masyarakat,” kata Cik Pearl.
Hadiah Buku Perdana Menteri adalah anugerah tahunan untuk dwibahasa yang diberikan kepada pelajar rendah, menengah dan prauniversiti.
Pada 2024, seramai 38 pelajar menerima Hadiah Buku Perdana Menteri – 11 daripada kategori sekolah rendah, 16 daripada kategori sekolah menengah dan 11 lagi daripada kategori prauniversiti.
Bercakap dengan Berita Harian (BH), Cik Pearl, yang kini sedang menjalani kursus Pengajian Melayu di NUS, berkata minatnya dalam bahasa dan budaya Melayu mula berkembang setelah menonton filem P. Ramlee sejak kecil.
Malah, kecenderungannya dalam filem-filem tersebut mendorongnya untuk melakukan kerja penyelidikan berkenaan karya P. Ramlee sebagai sebahagian daripada Program Penyelidikan Kemanusiaan dan Sains Sosial NUS-MOE semasa di NJC.
Dalam penyelidikannya, beliau menumpukan perhatian kepada perwakilan, peranan dan stereotaip wanita dalam filem Melayu dan meneroka perbezaan dalam dinamik kuasa dalam rumah tangga patriarki.
“Sejak muda lagi, saya telah mula menjadi peminat tegar filem P. Ramlee.
“Saya rasa menonton filem-filem ini membuatkan saya lebih tertarik dan ingin tahu tentang budaya Melayu, dunia Melayu, dunia sosial masyarakat Melayu dan isu-isu yang dibincangkan dalam filem P. Ramlee.
“Pendedahan kepada filem-filem ini telah membuatkan saya sangat berminat dengan dwibahasa, dan bagaimana saya dapat mentafsirkan dan membandingkan idea yang berbeza dalam kedua-dua bahasa,” kata Cik Pearl.
Cik Pearl juga telah dianugerahkan Biasiswa Elektif Bahasa Melayu MOE semasa di sekolah menengah, yang diteruskan lagi apabila beliau memasuki NJC.
Di NJC, penyertaan aktif beliau semasa di dalam kelas H2 Bahasa dan Kesusasteraan Melayu apabila kelasnya membincangkan punca radikalisasi diri dalam kalangan belia turut diiktiraf oleh Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menerusi hantaran di Instagram.
Beliau turut mengimbangi pembelajarannya dan CCA dengan mengambil bahagian secara aktif dalam Pertandingan Debat Bahasa Melayu Antara Institusi, Pertandingan Terjemahan Antara Menengah dan bengkel bimbingan untuk pelajar mempertajam penguasaan Bahasa Melayu.
“Mengimbangi pelbagai subjek selain sejarah, bahasa dan kesusasteraan kadangkala agak rumit dan saya fikir ada juga masa apabila saya berasa tertekan untuk berjaya, bukan sahaja dari segi akademik, malah melalui penglibatan dalam CCA.
“Bagaimanapun, saya mengimbangi ini semua dengan sering mengingatkan diri saya tentang sebab saya melakukan apa yang saya lakukan, iaitu cinta dan minat saya terhadap bahasa.
“Jadi, dalam erti kata lain, untuk menyesuaikan diri dalam perjuangan ini, saya memastikan saya benar-benar menikmati apa yang saya pelajari dan memilih untuk melibatkan diri dalam kegiatan yang saya minati,” kata Cik Pearl.
Apabila ditanya sama ada beliau mempunyai sebarang nasihat untuk pelajar lain yang bergelut untuk menguasai dwibahasa, Cik Pearl, yang bercita-cita untuk menjadi seorang guru Bahasa Melayu pada masa hadapan, berkata:
“Jangan takut untuk melibatkan diri dengan budaya dan mestilah konsisten dalam mengasah keupayaan dwibahasa anda. Teruskan melibatkan diri dalam kegiatan yang berkaitan dengan bahasa dan budaya, dan menyelami warisan anda secara menyeluruh.
“Sentiasa berfikiran terbuka. Belajar untuk mencintai apa yang anda pelajari dan lakukan apa yang anda lakukan dengan bangga,” kata Cik Pearl.
“
“Jangan takut untuk melibatkan diri dengan budaya dan mestilah konsisten dalam mengasah keupayaan dwibahasa anda. Teruskan melibatkan diri dalam kegiatan yang berkaitan dengan bahasa dan budaya, dan menyelami warisan anda secara menyeluruh. Sentiasa berfikiran terbuka. Belajar untuk mencintai apa yang anda pelajari dan lakukan apa yang anda lakukan dengan bangga.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg