Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Peribahasa yang memberi erti sesuatu keinginan hanya akan dapat dicapai dengan usaha yang setimpal kerana kejayaan tidak datang dengan sendiri merupakan prinsip yang dipegang teguh Afrin Alyssa Mohamed Aidil, 13 tahun.
Sungguhpun dilahirkan dengan masalah kurang daya penglihatan, dengan kedua-dua mata kini hanya dapat mengecam warna, ia tidak menjadi penghalang untuk murid Darjah 5 di Sekolah Lighthouse itu melakar hala tuju sendiri dan melakukan yang terbaik dalam apa jua yang diceburinya.
Antara lain ia termasuk kegiatan dalam dan luar bilik darjah seperti olahraga, koir dan goalball.
Malah dalam bidang olahraga, dia menjuarai Pertandingan Antarabangsa PACER Para Olahraga (Singapura) pada September 2023 dalam acara lompat jauh kategori perempuan, 13 tahun ke bawah (golongan kurang daya penglihatan), apabila menyertai pertandingan itu buat julung-julung kalinya.
Atas sikap optimis dan prinsip yang dipegangnya, anak kedua tiga beradik itu menerima Anugerah Pelajar Teladan Lee Kuan Yew (LKY-ESA) semasa Majlis Anugerah Istimewa di Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Nasional Singapura (NUS), pada 27 Ogos.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan (MOE), Afrin Alyssa merupakan antara 29 penerima LKY-ESA, diberikan kepada pelajar sekolah khas yang dibiayai pemerintah, dalam majlis tahunan itu.
Majlis kali ini menyaksikan 208 Anugerah Istimewa disampaikan kepada 199 pelajar daripada 89 institut pendidikan, tambah MOE.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH) melalui panggilan telefon, Afrin Alyssa, berkata:
“Harus lakukan (setiap sesuatu) mengikut rentak sendiri. Yang penting mesti cuba.”
Ibunya, Cik Herlina Senan, 41 tahun, berkongsi bahawa anaknya itu pemalu dan tidak banyak bertutur – sesuatu yang diakui Afrin Alyssa sendiri kerana dia mendapati amat mencabar untuk “berbual dengan orang ramai”.
Sungguhpun demikian, Cik Herlina menyifatkan perwatakan anaknya sebagai seorang yang bercita-cita tinggi, cekal dan berdikari.
Memberi contoh, Afrin Alyssa berkata apabila mula-mula terlibat dan mencuba acara lompat jauh, dia menghadapi kesukaran belajar dan memperbaiki teknik lompatannya.
Malah, ketika bertanding dalam olahraga para pada September 2023, dia pernah tersungkur.
“Semasa latihan, saya tidak pernah tersungkur. Saya rasa saya ghairah (semasa pertandingan itu) tetapi saya berikan segalanya,” tambahnya.
Oleh itu, baginya, anugerah LKY-ESA ini sesuatu yang tidak dijangka sama sekali kerana apa yang dia lakukan selama ini adalah atas kudratnya seperti biasa.
Cik Herlina berkata beliau juga tidak menjangkakannya kerana mereka dimaklumkan tentang pencalonan Afrin Alyssa sekitar dua minggu sebelum ini.
Namun, beliau tetap berbangga dan tumpang gembira dengan pencapaian anaknya itu.
Beliau menggesa belia di luar sana, tidak kira tahap kemampuan atau keadaan peribadi, supaya “cuba sesuatu di luar zon keselesaan” kerana ia adalah salah satu cara bagi mereka mengetahui dan menguji kebolehan masing-masing.
Khususnya bagi Afrin Alyssa, beliau berkata cara ini memberikan anaknya peluang belajar berdikari dan sedikit sebanyak mengurangkan kebergantungan kepada masyarakat pada masa hadapan.
Dengan nada amat segan, Afrin Alyssa berkata: “Kalau saya kurang jelas atau tidak pasti sesuatu, tidak kira dalam pelajaran atau kegiatan, saya akan bertanya kepada guru atau yang lebih mahir. Yang penting, jangan pernah putus asa dan teruskan mencuba.”
“
Harus lakukan (setiap sesuatu) mengikut rentak sendiri. Yang penting mesti cuba. ... Kalau saya kurang jelas atau tidak pasti sesuatu, tidak kira dalam pelajaran atau kegiatan, saya akan bertanya kepada guru atau yang lebih mahir. Yang penting, jangan pernah putus asa dan teruskan mencuba.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg