Meskipun ramai pelajar tahun akhir di sekolah menengah akan memilih untuk mengikuti laluan pendidikan am, Encik Muhammad Daiyan Ong Abu Ahmad, 18 tahun, telah memilih laluan “bebas tekanan” untuk memasuki Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
Menerusi Skim Kemasukan Langsung ke Program Politeknik (DPP), Encik Daiyan berjaya meraih kecemerlangan dalam pelajaran dan kegiatan kokurikulum (CCA) di ITE, yang juga membuka matanya pada dunia penciptaan kandungan.
Pada 27 Ogos, Encik Daiyan menerima Biasiswa Lee Kuan Yew Bagi Menggalak Peningkatan (LKY-STEP) daripada Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, di Majlis Penyampaian Anugerah Khas yang diadakan di Pusat Budaya Universiti (UCC) di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Anugerah tersebut, yang bertujuan menggalak peningkatan dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pelajar, disampaikan kepada lulusan ITE dan politeknik yang cemerlang yang telah mencapai prestasi akademik yang baik dan mencapai rekod CCA yang baik.
Encik Daiyan merupakan antara 199 pelajar daripada 89 institusi pendidikan yang menerima pelbagai Anugerah Khas yang mengiktiraf pencapaian mereka dalam bidang akademik dan bukan akademik.
“Biasanya sebagai pelajar, saya tidak mendapat pengiktirafan untuk sebarang anugerah. Justeru, ini sebenarnya pencapaian terbesar saya dalam hidup sebagai seorang pelajar.
“Mendapat anugerah ini adalah detik yang mengubah hidup saya. Ia mendorong saya melakukan yang lebih baik, dan diharapkan saya akan dapat mencapai lebih banyak lagi pada masa hadapan juga,” kata Encik Daiyan.
Melalui DPP, Encik Daiyan berjaya ke ITE Kolej West selepas sekolah menengah untuk menjalani pengajian Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Perkhidmatan, yang membolehkan beliau belajar mengasah daya kreatifnya dengan meneroka dunia pemasaran digital.
Malah, menerusi penciptaan animasi bagi tugasan kelas yang mencetuskan minatnya dalam penciptaan kandungan dan menyalakan impiannya untuk menjadi pencipta kandungan pada masa hadapan.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Encik Daiyan berkata beliau berharap untuk menjadi seorang pencipta kandungan atau penstrim langsung (livestreamer) pada masa hadapan dengan membuka perniagaannya sendiri dan mencipta kandungan untuk orang lain.
“Saya mula melakukan penstriman langsung bagi permainan dalam talian di sekolah menengah, semasa Covid-19, kerana ia cool ketika itu dan kami tidak mempunyai banyak tugasan sekolah yang perlu dilakukan.
“Seluruh kumpulan saya memulakan penstriman langsung dan satu demi satu, mereka menjadi ahli gabungan atau affiliate dan berjaya memperoleh wang daripada penstriman langsung jika mereka mencapai syarat tertentu.
“Malangnya, pada masa itu, saya tidak mencapai syarat itu tetapi ia memberi saya batu loncatan bagaimana saya boleh melakukan lebih banyak siaran langsung di wadah seperti Twitch, pada masa hadapan dan memperoleh wang,” kata Encik Daiyan.
Ketika ditanya siapa yang mendorongnya untuk berjaya di sekolah, Encik Daiyan memuji penasihat Kelas ITE-nya, yang juga Pensyarah Kanan, Cik Nur Afni Zakaria, atas sokongan dan bimbingan berterusan beliau untuk dirinya keluar dari zon selesa dan menggalas peranan kepimpinan.
Selain menjadi pengerusi kelas, Encik Daiyan juga merupakan Pengerusi untuk Jawatankuasa CCA dan Pengayaan dalam Majlis Pelajar, Pemenang Pingat Kursus Emas dan mencapai Sijil Merit pada tamat pengajian.
Encik Daiyan, yang kini mengikuti pengajian Program Perniagaan Bersama di Politeknik Ngee Ann, berharap kursus tersebut akan membantunya mempelajari pengetahuan teknikal dalam menjalankan perniagaan supaya dirinya akan dapat membuka dan menjalankan perniagaan penciptaan kandungannya sendiri pada masa hadapan.
“Saya sebenarnya mahu menjadi seorang pencipta kandungan dan mempunyai perniagaan sendiri... saya membuat kandungan untuk orang lain dan berseronok melakukannya juga.
“Saya berasa melakukan perniagaan adalah sesuatu yang memerlukan disiplin, dan saya ingin mengajar diri saya sendiri. Menerusi laluan ini, saya rasa saya boleh belajar lebih banyak tentang diri saya dan memperbaiki diri.
“Saya telah pun mempelajari beberapa program penyuntingan kreatif seperti Adobe Photoshop dan Illustrator.
“Saya kini sedang belajar menyunting video. Dengan kursus ini, saya berharap dapat menambahkan lagi pengetahuan saya dalam bidang perniagaan penciptaan kandungan,” kata Encik Daiyan.
“
Biasanya sebagai pelajar, saya tidak mendapat pengiktirafan untuk sebarang anugerah. Justeru, ini sebenarnya pencapaian terbesar saya dalam hidup sebagai seorang pelajar. Mendapat anugerah ini adalah detik yang mengubah hidup saya. Ia mendorong saya untuk melakukan yang lebih baik dan diharapkan, saya akan dapat mencapai lebih banyak lagi pada masa hadapan juga.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg