Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: Asean titik terang dalam dunia bergolak

Pertumbuhan berterusan Asean bawa manfaat bagi S’pura
Aug 29, 2024 | 7:47 PM
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa berucap pada Persidangan Asean 2024 pada 29 Ogos.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa berucap pada Persidangan Asean 2024 pada 29 Ogos. - Foto PERSEKUTUAN PERNIAGAAN SINGAPURA

Asean kini lebih relevan untuk ekonomi di seluruh dunia berbanding sebelum ini, dan pertumbuhan berterusan rantau ini akan membawa manfaat besar kepada Singapura.

Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa berucap pada Persidangan Asean 2024 pada 29 Ogos.

Menurut Encik Gan, dunia kini menjadi tempat lebih sukar bagi pelabur disebabkan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China, peperangan di Ukraine dan Timur Tengah, ketegangan di Selat Taiwan, serta perlindungan perdagangan yang kian meningkat.

“Di tengah-tengah semua ini, Asean adalah titik terang. Ia kian menjadi lebih penting untuk masa hadapan,” ujar beliau.

Negara-negara Asean berpeluang menunjukkan kepada dunia cara mengurus pelbagai cabaran ini dengan bekerjasama antara satu sama lain, tambahnya.

Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) nominal bagi 10 negara Asean ialah sekitar AS$3.6 trilion ($4.68 trilion), lapor The Straits Times (ST).

Ini dijangka mencecah AS$4.5 trilion menjelang 2030 dengan penggunaan domestik yang meningkat, pengilangan yang didorong eksport, dan tenaga kerja muda.

Ini menjadikan Asean ekonomi keempat terbesar di dunia.

Untuk menikmati pencapaian itu, Asean perlu memperkukuh lagi penyepaduan ekonominya, menggalak kemampanan dan pendigitalan, serta meluaskan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan rakan kongsi negara bukan Asean, kata Encik Gan.

Beliau menyatakan bahawa cadangan mengenai pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bertujuan meningkatkan hubungan ekonomi rentas sempadan antara Singapura dengan Malaysia, adalah satu contoh penyepaduan ekonomi Asean.

Satu lagi projek yang beliau sebut ialah Grid Kuasa Asean yang membolehkan kuasa elektrik didagangkan secara dua hala sebagai permulaan, dan kemudiannya secara beransur-ansur pada sistem grid kuasa serantau bersepadu.

“Terdapat banyak bidang yang membolehkan kita bersatu dan meneroka peluang.

“Asean boleh menjadi contoh sangat baik mengenai cara bekerjasama secara dalaman, dan juga memperkukuh kerjasama Asean Campur Satu bersama rakan dagangan kita yang lain.

“Malah, kita boleh menunjukkan kepada dunia mengenai cara kita bersatu untuk melindungi kepentingan kita, dan pada masa yang sama, mewujudkan ruang kerjasama dan penyepaduan,” jelas Encik Gan.

Nasib negara Asean terikat bersama, walaupun setiap negara berada pada tahap pembangunan berbeza.

“Saya sentiasa percaya Singapura akan berjaya hanya apabila Asean berjaya,” katanya.

Persidangan Asean 2024 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands itu dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Menurut Pengerusi SBF, Encik Lim Ming Yan, walaupun prospek sedunia terus mencabar, Asia Tenggara mempunyai sebab untuk bersikap optimistik.

“Pertumbuhan rantau ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, di samping eksport barangan dan perkhidmatan yang meningkat,” tambahnya.

“Kepelbagaian rantaian pengilangan dan bekalan yang didorong oleh pertimbangan geopolitik juga akan menyokong aliran masuk (pelaburan asing secara langsung) yang kukuh dan berterusan ke rantau ini,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg