Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, yang sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Singapura, menerima sambutan istiadat di Istana pada 18 Jun.
Semasa lawatannya, Encik Hun Manet bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam, dan kedua-dua pemimpin mengesahkan hubungan mesra dan lama antara Singapura dengan Kemboja.
Lawatan itu adalah yang pertama bagi Encik Hun Manet sejak beliau menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2023, dan menjelang ulang tahun ke-60 sejak penubuhan hubungan diplomatik antara dua negara itu pada 2025.
“Mereka membincangkan pengukuhan kerjasama dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, ketelusan kewangan, dan keselamatan makanan dan air,” kata Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Encik Hun Manet juga mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang turut menganjurkan majlis jamuan malam rasmi bagi menghormati Encik Hun Manet.
Sejenis anggerik hibrid baru telah dinamakan sempena Encik Hun Manet, Vanchoanthe Hun Manet, sebagai satu penghormatan buat beliau.
“Encik Wong dan Encik Hun Manet mengalu-alukan hubungan ekonomi yang semakin meningkat antara Singapura dengan Kemboja.
“Dua pemimpin itu membincangkan cara memperdalam kerjasama dalam bidang baru dan baru muncul, seperti tenaga boleh diperbaharui dan kredit karbon.
“Kedua-dua Perdana Menteri mengesahkan kemajuan baik yang dicapai sejak pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai Kerjasama Kredit Karbon yang sejajar dengan Artikel 6 Perjanjian Paris pada April 2023, dan menantikan pemeteraian Perjanjian Pelaksanaan yang mengikat secara sah secepat mungkin,” kata MFA.
Encik Wong dan Encik Hun Manet turut mengalu-alukan penubuhan Kumpulan Kerja Lao PDR-Kemboja-Singapura mengenai Perdagangan Elektrik Rentas Sempadan, yang bertujuan menjadi mangkin pembangunan projek untuk memacu Grid Kuasa Asean.
Encik Wong juga menyatakan sokongan berterusan Singapura untuk pembangunan sumber manusia dan pembinaan kapasiti Kemboja.
“Kedua-dua Perdana Menteri saling bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa.
“Mereka menekankan kepentingan menegakkan kepusatan dan perpaduan Asean, memperdalam penyepaduan ekonomi serantau, dan membangun seni bina serantau yang terbuka dan inklusif,” kata MFA
Encik Wong dan Encik Hun Manet turut menyaksikan pertukaran istiadat MOU mengenai Kerjasama Pemerintah Digital antara Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura dengan Kementerian Pos dan Telekomunikasi Kemboja.
Sempena lawatan Encik Hun Manet, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Bank Negara Kemboja mengumumkan permulaan Inisiatif Koridor Ketelusan Kewangan.
“Daya usaha ini bertujuan mewujudkan prasarana digital sokongan untuk memudahkan perdagangan dan perkhidmatan kewangan rentas sempadan untuk perusahaan kecil dan sederhana di Singapura dan Kemboja,” kata MFA.
Pada 19 Jun, Encik Hun Manet akan bertemu Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan menghadiri Forum Perniagaan Kemboja-Singapura sebagai tetamu kehormat.
Beliau juga akan melawat Politeknik Nanyang dan Keppel Infrastructure@Changi sebelum mengakhiri lawatannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg