Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Teo: S’pura hab perniagaan cekap, boleh dipercayai

Jul 24, 2024 | 7:19 PM
Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, menggariskan keupayaan Singapura menarik individu berbakat yang diperlukan selain keupayaannya menawarkan prasarana bertaraf dunia semasa berucap di Forum Perniagaan Serantau Singapura pada 24 Julai.
Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, menggariskan keupayaan Singapura menarik individu berbakat yang diperlukan selain keupayaannya menawarkan prasarana bertaraf dunia semasa berucap di Forum Perniagaan Serantau Singapura pada 24 Julai. - Foto FACEBOOK TEO CHEE HEAN

Singapura terus menjadi hab perniagaan yang cekap dan boleh dipercayai, kata Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean.

Ini boleh dilihat dalam keupayaan Singapura menarik individu berbakat yang diperlukan, keupayaan berhubung dengan nadi perkembangan terkini di rantau ini dan dunia, serta dalam keupayaan pengangkutan dan perhubungan.

Dalam ucapannya di Forum Perniagaan Serantau Singapura pada 24 Julai, Encik Teo berkata:

“Kami mengekalkan dan membina hubungan dengan semua orang.

“Jadi dalam masa kegawatan dan ketidaktentuan di dalam negara dan antara negara dan wilayah, kita kekal sebagai tempat yang tenang dan stabil, konsisten dan boleh dipercayai.

“Ini adalah aset besar bagi Singapura dan untuk perniagaan yang beroperasi dari Singapura.

“Ciri-ciri ini adalah genting apabila perniagaan mencari tempat yang selamat dan mengurangkan risiko mereka.”

Pada masa yang sama, Encik Teo akur terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan pemerintah pelbagai negara untuk membantu membentuk persekitaran perniagaan yang lebih berdaya tahan di peringkat serantau dan sejagat.

Di Singapura misalnya, hal tersebut dilakukan melalui tiga cara.

Pertama, terus menggalakkan kerjasama serantau dan sejagat ke arah dunia yang lebih bersepadu.

“Kami berbuat demikian dengan melengkapkan sistem perdagangan sejagat dengan perjanjian serantau dan merentas wilayah,” kata Encik Teo.

“Perjanjian serantau ini melengkapkan rangkaian 27 Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) dua hala kami yang sedia ada.

“Ia direka untuk bersifat terangkum dan terbuka.

“Ini adalah salah satu perkara utama yang kami lakukan apabila kami merundingkan FTA dan perjanjian secara dua hala dengan negara lain dan dengan pelbagai kumpulan serantau – kami mahu mereka menjadi terangkum dan terbuka, bukannya eksklusif dan menghalang pihak lain,” jelas beliau.

Kedua, Singapura mewujudkan perkongsian dalam domain baru yang mewakili masa depan perniagaan, seperti ekonomi digital dan hijau, yang mempunyai potensi pembangunan yang hebat.

Ketiga, Singapura berusaha membantu meletakkan asas bagi prasarana baru yang genting yang akan menyokong perdagangan dan daya tahan serantau.

Memberi contoh, Encik Teo berkata Singapura sedang membangunkan asas bagi pertubuhan grid kuasa Asean kerana ini akan “meningkatkan daya tahan serantau dalam bekalan kuasa, terutama kuasa hijau, yang banyak di rantau ini, tetapi tidak semestinya di kawasan yang permintaannya paling tinggi”.

Selain itu, Singapura juga sedang meluaskan prasarana pembayaran digital rentas sempadan yang akan semakin penting pada masa hadapan, ujar Encik Teo.

Buat masa ini, perkara sedemikian sudah wujud tetapi lebih bersifat dua hala.

Singapura mahu mengusahakan satu sistem yang sama dengan India, Malaysia, Thailand dan Filipina yang akan “memudahkan lebih banyak negara untuk turut serta”.

“Kami berharap dengan ini, kami akan mempunyai lebih banyak negara yang menyertainya, dan apabila anda menjalankan perniagaan di rantau kami, anda akan menikmati lebih banyak kemudahan dan mungkin dapat mencipta lebih banyak peluang perniagaan juga,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg