Hampir $100 juta akan disalurkan ke dalam penyelidikan dan pembangunan penyelesaian air untuk bandar dan industri, termasuk menubuhkan kemudahan penyelidikan untuk rawatan air terpakai.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, mendedahkan perkara ini pada 16 Jun sempena pembukaan Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) di mana beliau juga mengumumkan bahawa takungan perkhidmatan terbaharu negara ini di Tengah telah siap, walaupun sebelum bandar itu sendiri dibangunkan sepenuhnya.

Edisi ke-11 acara huraian air yang gah itu menghimpunkan kira-kira 2,000 perwakilan, termasuk 700 pemimpin global dan 500 firma pameran.

Menekankan tentang cabaran air di Singapura, Encik Gan berkata bahawa perubahan iklim akan membawa lebih banyak cuaca amat kering dan hujan lebat, manakala dalam jangka panjang – jika tiada apa-apa dilakukan – hampir satu pertiga daripada Singapura akan menghadapi risiko banjir pantai apabila paras laut meningkat.

Pada masa yang sama, ekonomi memerlukan peningkatan jumlah air untuk disalur kepada industri intensif air.

“Jadi, kita mesti bertindak dengan segera. Tetapi kita juga mesti merancang dengan pandangan jauh,” katanya di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.

Pendekatan Singapura terhadap cabaran air adalah melalui pelaburan jangka panjang, memanfaatkan inovasi dan kerjasama antarabangsa.

Di bawah rancangan Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2030, sebanyak $85 juta akan diberikan kepada agensi air nasional PUB untuk mengukuhkan keselamatan dan kemampanan air Singapura, dengan memajukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam bidang seperti penyahgaraman dan pengurusan bahan cemar yang menjadi kebimbangan yang timbul.

“Matlamat kami bukan sahaja untuk memenuhi keperluan Singapura sendiri. Kami juga mahu membangunkan penyelesaian yang boleh digunakan di bandar dan industri di seluruh dunia,” kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

“Jika kami boleh membantu pengguna industri mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula air dengan lebih berkesan, ini akan menyokong pertumbuhan ekonomi dan kemampanan alam sekitar.”

PUB dalam satu kenyataan berkata bahawa sebahagian daripada pembiayaan akan disalurkan kepada kemudahan penyelidikan baharu yang memanfaatkan air terpakai untuk menjana lebih banyak tenaga daripada yang digunakan, supaya ia boleh menjana elektrik.

Dijangka dibangunkan pada 2027, kilang itu akan menyediakan peluang kepada institut penyelidikan dan rakan kongsi industri untuk membangunkan penyelesaian mengenai rawatan air terpakai dengan agensi itu.

Lagi $12 juta yang diberikan kepada PUB diperuntukkan untuk membangunkan penyelesaian yang meningkatkan kecekapan air dan memudahkan kitar semula air untuk sektor fabrikasi wafer dan pusat data.

Kedua-dua sektor itu dipilih kerana ia penting kepada ekonomi Singapura dan merupakan antara yang paling banyak memerlukan air, kata Encik Gan.

Secara berasingan, Takungan Perkhidmatan Air Tengah atau Tengah Service Reservoir (TSR) bakal mula beroperasi menjelang hujung 2026 bagi memenuhi keperluan air sekitar 42,000 isi rumah serta pembangunan perindustrian di Tengah.

Kemudahan bernilai sekitar $120 juta itu adalah tambahan terbaharu kepada rangkaian prasarana air Singapura bagi memastikan bekalan air negara ini kekal andal dan berdaya tahan, kata Encik Gan.

Encik Gan menjelaskan keselamatan bekalan air memerlukan pelaburan berterusan dan perancangan jangka panjang, dan tidak boleh hanya dibangunkan apabila krisis berlaku.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa acara pelancaran Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 16 Jun.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa acara pelancaran Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 16 Jun. - Foto ST

“Strategi ini telah memberi manfaat kepada Singapura selama ini, namun kita tidak boleh berasa selesa. Kita perlu terus melabur dalam prasarana air bagi menyokong pertumbuhan penduduk dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian sedang dunia berdepan cabaran air yang semakin meruncing.

Pada Januari 2026, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan amaran bahawa dunia sedang berdepan krisis sumber air global, dengan sekitar empat bilion penduduk mengalami kekurangan air yang teruk sekurang-kurangnya sebulan setiap tahun.

Menggunakan pembinaan TSR sebagai contoh, takungan perkhidmatan air itu menstabilkan bekalan air dengan bertindak sebagai penampan terhadap turun naik penggunaan harian, khususnya ketika waktu puncak atau semasa gangguan tidak dijangka, kata PUB.

TSR, yang selesai dibina pada November 2025, dan dibangunkan hasil kerjasama antara PUB dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Ia terletak sekitar 40 meter di atas paras laut di Bukit Batok, iaitu kawasan tertinggi di kawasan itu.

Kedudukan tersebut membolehkan air disalurkan ke kawasan perumahan dan perniagaan secara semulajadi, tanpa memerlukan pam tambahan, kata PUB.

Seperti sebuah “botol air” gergasi, TSR menyimpan air minuman yang telah dirawat sebelum disalurkan kepada pengguna.

Perkara ini berbeza daripada takungan tadahan air seperti MacRitchie dan Bedok yang mengumpul air hujan sebelum dirawat.

Sebaliknya, takungan perkhidmatan menyimpan air yang telah dirawat dan sedia untuk diagihkan.

Kini terdapat lebih 10 takungan perkhidmatan air di serata Singapura, dengan yang terbaharu terletak di Bidadari yang mula beroperasi pada 2024 di tapak bekas Kolumbarium Mount Vernon.

TSR dilengkapi dua tangki dengan kapasiti gabungan bersamaan kira-kira 22 kolam renang Olimpik.

Operasi TSR dipantau sepanjang masa menerusi sistem pusat yang mampu mengesan perubahan dalam permintaan atau bekalan secara masa nyata.

Sistem itu turut mengeluarkan amaran automatik bagi membolehkan tindakan segera diambil apabila diperlukan, tambah PUB.

Dari segi pembinaan, TSR menjadi takungan perkhidmatan air pertama di Singapura yang dibina menggunakan kaedah “slipform”, iaitu proses menuang konkrit secara berterusan selama 24 jam sehari bagi membentuk dinding tangki bulat tanpa sambungan.

Kaedah itu membantu mengurangkan risiko kebocoran dan meningkatkan prestasi keseluruhan kemudahan tersebut, kata PUB.

Selaras dengan identiti Tengah sebagai “bandar hutan”, dinding luar tangki dilengkapi sirip aluminium berwarna coklat gelap yang membolehkan struktur itu menyatu dengan landskap sekeliling.

Sepanjang pembinaannya, PUB berkata mereka melaksanakan pelbagai langkah perlindungan alam sekitar termasuk pemindahan hidupan liar sebelum kerja pembersihan tapak, pemeriksaan kawasan sarang burung serta pelan pengurusan pencahayaan bagi mengurangkan gangguan terhadap biodiversiti setempat.

PUB menjangkakan permintaan air Singapura akan terus meningkat sejajar dengan pertumbuhan penduduk, pembangunan bandar dan peluasan sektor perindustrian.

Justeru, agensi itu akan terus melabur dalam prasarana bekalan air bagi memastikan sistem bekalan negara kekal andal dan berdaya tahan untuk memenuhi keperluan jangka panjang.

Menurut Encik Gan, Singapura bukan sahaja mahu memenuhi keperluan domestiknya, malah berhasrat membangunkan penyelesaian yang boleh dimanfaatkan oleh bandar dan industri di seluruh dunia.

“Jika kita dapat membantu sektor perindustrian mengurangkan penggunaan, menggunakan semula dan mengitar semula air dengan lebih berkesan, ia bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah menggalakkan kelestarian alam sekitar,” katanya.