Menyaksikan sendiri bagaimana pegawai agensi air negara, PUB mengisi baldi dan beg dengan air untuk diberikan kepada penduduk menimbulkan sedikit rasa bangga dalam diri Encik Muhammad Syafiee Abdul Halim.
Beliau, seorang pelajar jurutera mekanikal berusia 27 tahun, berkata adegan itu memberinya keyakinan akan persediaan yang diambil pemerintah untuk menjaga kesejahteraan penduduk apabila sesuatu krisis berlaku.
Ia juga menunjukkan peri penting persediaan awal, kata Encik Syafiee.
“Melihat bagaimana sistem-sistem ini berfungsi apabila gangguan bekalan air berlaku membuat saya faham bagaimana untuk menyediakan diri dan kini saya juga faham betapa pentingnya persediaan.
“Ia benar-benar membuat saya memahami apa yang akan berlaku jika kecemasan sedemikian terjadi,” kata Encik Syafiee, yang telah melihat cara beg air diisi sebelum dibahagi-bahagikan.
Demonstrasi membahagikan beg air di Safra Choa Chu Kang pada 15 Februari itu antara acara yang telah dianjurkan Kementerian Pertahanan (Mindef) sempena kempen Pertahanan Mutlak SG Ready.
Acara-acara tersebut menekankan pentingnya peranan Pertahanan Mutlak sebagai tindak balas terhadap ancaman yang dihadapi Singapura.
Edisi kedua Latihan SG Ready itu telah secara rasmi dimulakan oleh Timbalan Perdana Menteri (DPM) merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, di acara Peringatan Pertahanan Mutlak (TDDCE) yang diadakan di Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).
Dalam mesej Hari Pertahanan Mutlak, Encik Gan menekankan bagaimana rakyat Singapura perlu bersedia menghadapi ancaman dan menekankan peranan penting yang dimainkan setiap individu dalam Pertahanan Mutlak.
“Memandangkan cabaran yang kita hadapi semakin rumit, adalah lebih penting untuk kita mengukuhkan respons keseluruhan negara kita —Ekonomi, Sosial, Sivil, Digital, Psikologi, dan Tentera — untuk menjadi lebih berjaga-jaga, dan bersedia apabila gangguan berlaku; dan saling menyokong antara satu sama lain supaya kita dapat kekal bersatu dan pulih dengan lebih cepat serta lebih kuat,” kata beliau.
Semasa TDDCE, Encik Gan menunjukkan beberapa sorotan dari latihan SG Ready tahun ini, termasuk latihan pancingan data yang diterajui Nexus dan SBF, serta pameran Pasukan Pertahanan Awam Singapura, SP Group dan SFA-SATS untuk mempamerkan keupayaan negara menghadapi gangguan bekalan elektrik.
Latihan tahun ini dianjurkan bersama Mindef dan Penguasa Pasaran Tenaga (EMA), dengan fokus untuk memperkukuh kesiapsediaan rakyat Singapura untuk gangguan bekalan kuasa.
Semasa acara tersebut, Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara Nexus, Mindef dan SBF untuk memperkukuh ketahanan organisasi perniagaan terhadap ancaman siber.
Latihan SG Ready diadakan di pelbagai lokasi dari 15 Februari hingga 28 Februari 2025 sebagai sebahagian daripada kempen Pertahanan Mutlak.
Hujung minggu ini, beberapa latihan penting akan diadakan, termasuk latihan melibatkan anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan latihan menentang pengganasan dan persediaan kecemasan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).
Masyarakat juga akan mempelajari langkah-langkah keselamatan semasa gangguan, termasuk usaha keselamatan siber untuk sukarelawan Keat Hong. Selain itu, lebih 30 bangunan utama akan mematikan lampu luar bagi mensimulasikan gangguan kuasa akibat serangan siber.
Selain itu, terdapat aktiviti lain seperti bantuan pernafasan kecemasan (CPR) beramai-ramai, pensijilan (Defibrilator Luaran Automatik) AED, dan latihan pertolongan cemas untuk sukarelawan Team Nila.
Sekolah-sekolah juga digalakkan menyertai latihan SG Ready dengan simulasi gangguan kuasa dan bekalan asas. Kira-kira 200 perniagaan akan mengambil bahagian dalam latihan keselamatan siber dan menyemak Pelan Kesinambungan Perniagaan mereka.
Lebih 1,000 organisasi yang terdiri daripada sekolah, perniagaan, dan agensi pemerintah akan melaksanakan pelbagai aktiviti gangguan atau kesiapsiagaan sepanjang tempoh latihan dua minggu ini untuk mengukuhkan pelan kesinambungan perniagaan mereka bagi gangguan kuasa atau serangan pancingan data.
Butiran lanjut mengenai acara SG Ready 2025 boleh ke laman web SGReadyGoWhere.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg