Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Heng: Jerman, S’pura boleh manfaat kekuatan bersama, teroka pasaran baru

Jan 28, 2025 | 4:21 PM
Semasa berucap di Sidang Puncak Ekonomi Welt di Berlin, Jerman, pada 27 Januari, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, berkongsi bahawa ekonomi maju dan terbuka seperti Jerman dan Singapura boleh memanfaatkan kekuatan sedia ada ke arah pasaran baru.
Semasa berucap di Sidang Puncak Ekonomi Welt di Berlin, Jerman, pada 27 Januari, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, berkongsi bahawa ekonomi maju dan terbuka seperti Jerman dan Singapura boleh memanfaatkan kekuatan sedia ada ke arah pasaran baru. - Foto FACEBOOK/HENG SWEE KEAT

Ekonomi maju dan terbuka seperti Jerman dan Singapura boleh meneruskan pendekatan berbilang cabang secara bersama dengan memanfaatkan kekuatan sedia ada ke arah pasaran baru dan melaksanakan pembaharuan struktur dalam mengembangkan hasil pengeluaran, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.

Berucap di edisi ke-16 Sidang Puncak Ekonomi Welt di Berlin, Jerman, pada 27 Januari, beliau berkata manfaatkan kekuatan sedia ada ke arah pasaran baru akan membolehkan penyebaran proses yang lebih produktif.

Ini di samping mewujudkan perkhidmatan yang saling melengkapi, terutama terhadap ekonomi membangun, lebih-lebih lagi bagi Jerman memandangkan ekonominya berteraskan eksport.

Encik Heng merupakan pemimpin Asia Pasifik pertama untuk berucap di sidang itu, acara tahunan yang menghimpunkan pemimpin perniagaan dan pemerintah di Jerman – ekonomi terbesar dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berkata: “Adalah menjadi kepentingan ekonomi maju untuk mendukung perdagangan bebas dan penyepaduan ekonomi… banyak ekonomi membangun di rantau Asia masih mempercayai nilai perdagangan dan pelaburan bebas.

“Di samping Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) EU-Singapura, EU boleh menimbangkan perjanjian perdagangan bebas serantau seperti FTA EU-Asean.”

Encik Heng menjelaskan ekonomi Asean – merangkumi ekonomi membangun seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Kemboja – dijangka tumbuh sekitar 4 hingga 5 peratus menjelang abad seterusnya.

Ditambah pula dengan golongan kelas pertengahan yang semakin berkembang dan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) gabungan sekitar 3.6 trilion euro ($5.8 trilion), FTA EU-Asean dapat membantu perniagaan Jerman menembusi pasaran Asean, sekali gus memperkukuh pertumbuhan Asean dan Jerman, jelasnya.

Beliau berkata FTA EU-Singapura, yang telah berkuatkuasa sejak 2019, telah meningkatkan perdagangan perkhidmatan dan barangan antara kedua-dua negara kepada lebih 20 peratus.

Menyentuh berkenaan pelaksanaan pembaharuan struktur, beliau berkata ini diperlukan jika negara maju ingin terus berkembang dan kekal berdaya saing.

Pembaharuan struktur itu, jelas Encik Heng, melibatkan sekurang-kurangnya empat elemen utama.

Ia meliputi pelaburan dalam penyelidikan dan pengembangan (R&D), mencipta kebolehan baru bersandarkan R&D, membina sistem peraturan yang memudahkan inovasi dan amalan perniagaan serta melabur dalam pendidikan, khususnya pelajaran sepanjang hayat.

Namun untuk merealisasikan pembaharuan struktur dan penebaran sayap ke arah pasaran baru, pihak pemerintah, perniagaan dan kesatuan perlu bekerjasama.

“Untuk memenuhi cabaran struktur, kita telah bekerja keras untuk mentransformasikan ekonomi Singapura sepanjang lapan tahun yang lalu.

“Hasilnya amat memberangsangkan. Antara 2016 dengan 2023, Singapura mencapai pertumbuhan 2.8 peratus secara tahunan, mendahului banyak ekonomi kecil yang maju, dan daya penghasilan buruh tumbuh sebanyak 2.1 peratus merentasi ekonomi,” ujar beliau.

Encik Heng menjelaskan kededua pendekatan itu perlu sedang dunia bergelut dengan ketidaktentuan dan cabaran ekonomi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg