Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan melawat China pada 15 Disember untuk memimpin beberapa mesyuarat peringkat tinggi mengenai kerjasama dua hala bersama rakan sejawatnya, Timbalan Perdana Menteri China, Encik Ding Xuexiang.
Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, membuat lawatan rasmi ke Chongqing atas jemputan Encik Ding, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) Singapura pada 12 Disember.
Kedua-dua pemimpin itu akan bersama-sama mempengerusikan Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-21, “platform dua hala tertinggi” antara Singapura dengan China, yang diadakan setiap tahun untuk menilai kerjasama kedua-dua negara.
Singapura dan China bergilir-gilir menjadi tuan rumah mesyuarat JCBC setiap tahun. Edisi 2025 menandakan tahun kedua Encik Gan dan Encik Ding mengetuai perbincangan tersebut, lapor The Business Times (BT).
Encik Gan mengambil alih peranan sebagai Pengerusi Bersama JCBC daripada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 2024, selepas Encik Wong menjadi Perdana Menteri pada Mei 2024.
Encik Gan dan Encik Ding akan turut mempengerusikan Jawatankuasa Pemandu Bersama (JSC) bagi Taman Perindustrian Suzhou (SIP) yang ke-26, JSC Bandar Eko Tianjin yang ke-17, dan JSC Inisiatif Ketersambungan Chongqing (CCI) yang kesembilan, pada 15 Disember.
“JSC menilai kemajuan yang dicapai dalam tiga projek utama pemerintah-ke-pemerintah dan membincangkan cara untuk terus memperkukuh pembangunan projek-projek ini,” kata PMO.
Encik Gan juga dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Encik Ding semasa beliau berada di Chongqing.
Memandangkan 2025 menandakan ulang tahun ke-10 CCI, kedua-dua pemimpin itu akan melawat tapak projek di bawah inisiatif tersebut dan mengambil bahagian dalam kegiatan peringatan.
CCI memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan antara Singapura dengan China dalam bidang seperti perkhidmatan kewangan dan digital, selain memudahkan kerjasama lebih luas antara wilayah barat China dengan rantau ini.
Encik Gan juga dijangka bertemu Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China bagi Perbandaran Chongqing, Encik Yuan Jiajun.
SIP, projek pemerintah-ke-pemerintah pertama antara Singapura dengan China, mencatat pertumbuhan Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) sebanyak 7 peratus pada 2024, melebihi purata nasional.
Ia membantu syarikat dari kedua-dua negara meluaskan perniagaan ke luar negara dan menguatkan kerjasama dalam bidang inovasi.
Bandar Eko Tianjin, yang menempatkan hampir 200,000 penduduk dan lebih 30,000 syarikat, menyediakan model pembangunan bandar mampan yang boleh dicontohi oleh bandar-bandar lain.
Ia melaporkan pertumbuhan GDP melebihi 11 peratus pada separuh pertama 2025, dan Singapura merancang memperkukuh kerjasama ekonominya dengan Tianjin.
Bagi lawatan itu, Encik Gan akan diiringi oleh lapan pemegang jawatan politik, termasuk Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee; dan Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng.
Turut serta dalam delegasi ini ialah Menteri-Menteri Negara Kanan, Encik Zaqy Mohamad, Encik Tan Kiat How, Cik Low Yen Ling dan Cik Sun Xueling.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg