Singapura dan Brunei telah lama menjalin persahabatan erat, berasas kepercayaan, nilai bersama serta kerjasama yang kukuh.
Demikian dikongsi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu hantaran Facebook pada 26 November selepas lawatan beliau ke Brunei yang berlangsung hingga 25 November.
Semasa lawatannya, Dr Faishal bertemu Sultan Brunei, Sultan Haji Hassanal Bolkiah, dan Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah.
“Pertemuan ini sangat bermakna. Ia bukan sahaja peluang memperkenalkan diri serta delegasi saya secara rasmi, tetapi juga memperkukuh hubungan akrab yang telah terjalin antara kededua negara sejak sekian lama,” kata Dr Faishal.
Di samping itu, beliau turut bertemu Mufti Negara Pehin Dr Haji Awang Abdul Aziz, di mana kededua mereka berkongsi pandangan mengenai penggubalan fatwa serta bagaimana kededua negara dapat saling mempelajari pendekatan masing-masing dalam membimbing dan mendampingi masyarakat.
Dr Faishal ditemani oleh Timbalan Mufti, Ustaz Mohd Murat Md Aris, yang berkongsi pendekatan proaktif dan prinsip Singapura dalam merumuskan fatwa daging kultur, termasuk syarat di mana ia boleh dianggap halal.
Lawatan kerja itu adalah yang pertama bagi Dr Faishal selepas menggalas jawatan tersebut dan bertujuan memperkukuh hubungan serta memupuk kemesraan dengan para menteri dan pemimpin agama di Brunei.
Merakamkan penghargaan atas ikatan dua hala antara kededua negara itu, Dr Faishal berkata:
“Kededua negara kita sudah lama menikmati ikatan kukuh yang melangkaui hubungan rasmi. Persahabatan kita berasaskan hubungan yang jujur, saling menghormati dan ikhlas.”
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan harapannya agar Singapura dan Brunei dapat terus memperkukuh hubungan agar terus maju bersama.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg