Presiden Tharman Shanmugaratnam tiba di Mexico untuk lawatan negara selama empat hari dari 30 November hingga 3 Disember, bersama isterinya, Puan Jane Ittogi – lawatan negara pertamanya ke Amerika Latin.
Lawatan beliau ke Mexico adalah atas undangan Presiden Mexico, Cik Claudia Sheinbaum, dan diadakan ketika Singapura dan Mexico memperingati 50 tahun hubungan diplomatik.
Ketibaan Tuan Presiden dan Puan Ittogi disambut oleh Setiausaha Rendah Amerika Utara merangkap Pemangku Setiausaha Ehwal Luar Mexico, Encik Roberto Velasco Álvarez.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 29 November berkata Tuan Presiden akan diberikan sambutan negara di Istana Negara di Bandar Raya Mexico dan bertemu Cik Sheinbaum.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan ketua pemerintah Bandar Raya Mexico, Cik Clara Brugada; Presiden Senat, Cik Laura Itzel Castillo Juarez; serta senator dan gabenor pelbagai negeri Mexico dan pemimpin perniagaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg