Perubahan iklim merupakan antara isu utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm), dengan Singapura berminat menjalin kerjasama dua hala atau dalam kumpulan kecil dengan negara anggota lain untuk menangani cabaran bersama, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, pada 5 November.

Walaupun sukar mencapai kata sepakat kerana perbezaan kepentingan nasional, 56 negara anggota tidak perlu bersetuju dalam semua perkara untuk mempererat kerjasama, tambahnya.

Bercakap kepada media selepas Chogm di Antigua dan Barbuda, Encik Gan berkata perubahan iklim menjadi kebimbangan utama banyak negara Caribbean dan Afrika yang semakin terasa kesannya yang kian memburuk.

Sidang puncak dwitahunan itu menghimpunkan pemimpin 56 negara Komanwel, termasuk banyak negara pulau kecil yang amat terdedah kepada kenaikan paras laut dan cuaca melampau.

Mesyuarat yang berlangsung dari 1 hingga 4 November itu turut membincangkan pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan peningkatan kos sara hidup.

Encik Gan mengakui perbezaan latar belakang, keadaan dan kepentingan nasional merumitkan usaha mencapai persetujuan dalam semua isu.

“Namun, kita sedar bahawa tidak semua perkara perlu dipersetujui untuk membolehkan sesetengah negara terus maju.

“Kita juga sedang meneroka kerjasama dalam kumpulan kecil atau secara dua hala antara negara Komanwel,” ujar Encik Gan.

Beliau memberi contoh kerjasama kredit karbon Singapura dengan Kenya, Ghana dan Sri Lanka sebagai usaha mencapai kepentingan bersama.

Di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris, negara boleh bekerjasama mengurangkan atau melupuskan pelepasan gas rumah hijau dan memindahkan kredit karbon bagi mencapai sasaran iklim.

Singapura menandatangani perjanjian pelaksanaan dengan Ghana pada Mei 2024, serta Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Kenya dan Sri Lanka bagi menjalin kerjasama serupa.

Encik Gan berkata pelaburan itu membolehkan Singapura menjana kredit karbon sambil mewujudkan pekerjaan dan peluang ekonomi di negara tuan rumah.

Negara Komanwel turut membincangkan usaha merangsang ekonomi dan mencari sumber pertumbuhan baharu sedang kos sara hidup meningkat.

Anggota Komanwel juga meneroka cara memudahkan perdagangan serta mengurangkan kosnya bagi meringankan beban rakyat.

Mereka turut membincangkan perihal pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), termasuk perkongsian pengalaman dan pembinaan keupayaan untuk membantu rakyat serta perniagaan menyesuaikan diri.

Kerjasama itu dapat membantu perniagaan memanfaatkan AI untuk kekal berdaya saing, katanya.

Mengenai kepentingan berterusan Komanwel, Encik Gan berkata pertubuhan itu menyediakan wadah bagi negara kecil dan terbuka seperti Singapura untuk menjalin hubungan dengan negara di Afrika, Caribbean dan Asia Pasifik yang masing-masing memainkan peranan penting dalam ekonomi dunia.

Hubungan itu membantu Singapura memahami cabaran anggota lain dan mengenal pasti peluang kerjasama yang saling menguntungkan.

Mengenai sumbangan Singapura, Encik Gan berkata Program Kerjasama Singapura telah melatih sekitar 30,000 pegawai Komanwel sejak program itu diperkenalkan.

Walaupun sumbernya terhad, Singapura tetap menghulurkan bantuan kerana percaya bahawa kerjasama penting untuk kemajuan bersama.

“Jika kita membantu negara Komanwel maju, semua pihak mendapat manfaat, termasuk Singapura,” katanya.