Pandangan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Merangka perkongsian S’pura-UK dalam era geopolitik baru

Sempena ulang tahun hubungan diplomatik ke-60, kededua negara beralih ke strategi kerjasama lebih bermakna, dinamik dan berorientasi masa hadapan
Sep 9, 2025 | 5:30 AM
hubungan S’pura-UK, era geopolitik baru, ulang tahun hubungan ke-60 diplomatik 
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, di majlis jamuan untuk mantan Setiausaha Luar Britain, Encik David Lammy, semasa Encik Lammy berada di Singapura pada Julai 2025 bagi satu lawatan rasmi. Kededua pemimpin itu menekankan hubungan rapat antara Singapura dengan Britain semasa pertemuan pada 12 Julai itu. Encik Lammy kini merupakan Timbalan Perdana Menteri Britain. - Foto fail

Ketika United Kingdom (UK) dan Singapura menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-60 kededua negara, naratif yang sering diulang mengenai sejarah bersama dan hubungan kekeluargaan dalam Komanwel pasti akan kembali bergema.

Meskipun latar sejarah ini menyumbang kepada niat baik yang hangat, ia tidak lagi memadai sebagai landasan untuk sebuah perkongsian yang ingin menghadapi cabaran kompleks abad ke-21.

Dalam era yang ditandai dengan ketidaktentuan geopolitik, gangguan teknologi dan krisis iklim, London dan Singapura perlu beralih secara sedar daripada nostalgia kepada strategi, dengan membentuk kerjasama lebih bermakna, dinamik dan berorientasi masa hadapan menjelang 2030-an.

Ini bukanlah pakatan antara dua kuasa yang setara.

Britain, sebuah kuasa pertengahan yang masih mencari semula arah tuju global pasca-Brexit, berinteraksi dengan Singapura – sebuah negara kota kecil tetapi amat berpengaruh dalam mengemudi dinamik serantau di Indo-Pasifik yang semakin menjadi tumpuan strategik dunia.

Namun, ketidakseimbangan inilah yang mewujudkan nilai tambah strategik yang unik.

UK membawa kekuatan diplomatik sejagat, kerusi tetap di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta kedudukan kukuh sebagai pusat kewangan antarabangsa.

Sementara itu, Singapura menyumbang dengan keupayaan ketersambungan serantau yang luar biasa, tadbir urus yang tangkas dan pemahaman mendalam tentang landskap Asia sebagai hab neutral yang dipercayai.

Apabila digabung, kedua-dua negara mempunyai potensi untuk menghasilkan kesan yang jauh melangkaui skop dua hala – berperanan sebagai pengganda kuasa (force multiplier) dalam memperkukuh kestabilan, mempercepat inovasi dan membentuk norma sejagat baharu.

Hubungan ekonomi sedia ada – yang diperkukuh melalui perjanjian seperti Perjanjian Ekonomi Digital UK-Singapura (UKSDEA) – perlu berkembang daripada sekadar mekanisme kestabilan kepada platform inovasi transformatif.

Perdagangan dua hala yang stabil menyediakan asas kukuh, namun nilai sebenar terletak pada usaha membentuk semula seni bina ekonomi masa depan.

Kepimpinan UK dalam kewangan mampan boleh digandingkan dengan kedudukan Singapura sebagai hab hijau Asia untuk membangun piawaian bersama yang boleh disahkan bagi kredit karbon – satu langkah penting dalam menangani fragmentasi pasaran karbon sukarela yang kini menghalang kemajuan.

Kedua-dua negara juga boleh menjadi peneraju dalam membentuk model kewangan teradun bagi mempercepat peralihan tenaga di Asia Tenggara, sebuah rantau yang memerlukan trilion dolar dalam pelaburan hijau.

Dalam sektor teknologi perkapalan, kerjasama dalam pembangunan penyelesaian tenaga alternatif seperti ammonia dan metanol akan menyumbang secara langsung kepada usaha peralihan hijau, terutama bagi pelabuhan tersibuk dunia dan industri kejuruteraan maritim yang maju.

Dalam bidang digital, penyelarasan antara rangkaian perjanjian digital perintis Singapura dengan kerangka kawal selia fintech (teknologi kewangan) UK boleh membuka jalan kepada pembangunan identiti digital yang saling boleh diguna, sekali gus memudahkan urus niaga perniagaan merentas sempadan.

Daya usaha bersama untuk membangunkan sistem dokumentasi perdagangan berasaskan blockchain boleh mengurangkan geseran dalam rantaian bekalan sejagat, menjimatkan kos pentadbiran berbilion dolar dan menetapkan piawaian kecekapan baru di peringkat antarabangsa.

Kerjasama keselamatan, yang sekian lama terjalin melalui Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA), kini perlu diperluas untuk menangani ancaman bukan tradisional yang semakin ketara.

Walaupun FPDA kekal sebagai mekanisme pembinaan keyakinan yang penting, landskap keselamatan hari ini menuntut tumpuan terhadap ancaman digital dan kognitif.

Keselamatan siber merupakan keutamaan bagi dua pusat kewangan sejagat ini.

Penubuhan pusat simulasi siber UK-Singapura yang membolehkan ujian tekanan terhadap prasarana kewangan dan utiliti penting adalah langkah strategik.

Tambahan pula, pasukan petugas bersama untuk memantau serta menangkis kempen maklumat salah yang disokong oleh negara merupakan keperluan mendesak dalam menangani ancaman hibrid yang boleh menggugat perpaduan sosial serantau.

Dalam aspek keselamatan maritim, condongan strategik UK ke Indo-Pasifik perlu diterjemahkan kepada kehadiran yang tekal dan berimpak tinggi.

Daripada sekadar penempatan kapal pengangkut bersifat simbolik, UK boleh memainkan peranan lebih praktikal melalui penugasan bergilir pesawat rondaan maritim.

Perkongsian data kesedaran domain maritim bersama negara Asean juga akan membantu memerangi penangkapan ikan secara haram – salah satu pencetus utama ketegangan serantau – sekali gus memperkukuh ketertiban serantau berasaskan peraturan secara konkrit dan tidak bersifat konfrontasi.

Dari sudut geopolitik, keselarasan antara komitmen Singapura terhadap pemusatan Asean dengan penegasan UK terhadap sistem antarabangsa berasaskan peraturan membuka ruang penjajaran strategik yang semula jadi.

Kedua-dua negara boleh memanfaatkan keserasian itu untuk membentuk norma secara proaktif dan bukan sekadar bertindak balas terhadap perubahan.

Pelancaran Inisiatif Piawaian Digital Asean-UK boleh menjadi wadah strategik untuk menyelaras pendekatan terhadap tadbir urus data dan etika kecerdasan buatan (AI), serta menyediakan sumber neutral yang bermanfaat untuk negara anggota Asean.

Tambahan pula, pembentukan Gabungan Kewangan Hijau Asia Tenggara yang menghimpunkan kepakaran UK dan Singapura boleh membantu negara membangun dalam merangka projek penyesuaian iklim yang boleh dibiayai.

Dalam bidang kesihatan, pengajaran daripada nasionalisme vaksin sewaktu pandemik Covid-19 tidak boleh diabaikan.

Penubuhan hab serantau untuk penyelidikan dan pengeluaran vaksin di Singapura – dengan sokongan kepakaran UK – akan mewujudkan kapasiti tindak balas serantau yang kukuh dan berdaya tahan, serta mewariskan satu legasi yang bermakna jauh melangkaui pandemik lalu.

Untuk memastikan hubungan itu melangkaui simbolisme semata-mata, kedua-dua pemerintah perlu menunjukkan keberanian politik.

Pelancaran Koridor Teknologi Hijau UK-Singapura misalnya boleh menyediakan platform fizikal bagi inovator UK menguji penyelesaian yang menjawab cabaran peralihan hijau di Asia Tenggara.

Penubuhan Unit Peramalan Strategik Bersama pula boleh menggabungkan keupayaan analitik UK dengan kefahaman mikro serantau Singapura dalam menjangka kejutan masa hadapan.

Hubungan UK-Singapura kini berada di titik perubahan yang signifikan.

Bagi konsep ‘Global Britain’, ini merupakan ujian sebenar terhadap kesesuaian dan nilai tambahnya di rantau Asia.

Bagi Singapura pula, ia menambah satu lagi rakan kongsi yang teguh, dipercayai dan canggih dalam dunia yang semakin terpolarisasi.

Dekad akan datang tidak akan dinilai melalui jabat tangan berprotokol, tetapi melalui pencapaian konkrit: pasaran karbon yang direka bentuk bersama, norma keselamatan siber yang ditetapkan, dan rantaian bekalan yang diamankan.

Itulah jenis perkongsian yang bukan sahaja menghormati sejarahnya, bahkan yang lebih penting, bersedia sepenuhnya untuk masa hadapan.

Pelan induknya jelas; kini ia hanya memerlukan kemahuan politik untuk membinanya.

Dr Mustafa Izzuddin adalah Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa Kanan dengan Solaris Strategies Singapore.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg