DPM Gan: S’pura perlu sedia hadapi perubahan kerja, niaga dipacu AI

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: S’pura perlu sedia hadapi perubahan kerja, niaga dipacu AI

Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) bentang 7 saranan utama dalam kemas kini pertengahannya sejak dilancar Ogos 2025
Jan 30, 2026 | 4:14 PM

DPM Gan: S’pura perlu sedia hadapi perubahan kerja, niaga dipacu AI

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi, ESR, AI, ekonomi, perniagaan, pekerjaan
(Dari kiri) Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, dalam satu wawancara media pada 29 Januari. Mereka telah membentangkan tujuh saranan utama oleh lima jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) yang bertujuan menetapkan strategi bagi hala tuju jangka panjang ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat. - Foto ST

Kemajuan pesat dalam teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) telah mencetuskan cabaran baru bagi syarikat dan pekerja untuk menyesuaikan diri, namun ia juga menawarkan peluang besar bagi pertumbuhan dan kemajuan dalam perniagaan, pekerjaan dan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, menekankan bahawa AI bakal mengubah ekonomi secara asasnya, di mana cara perniagaan dijalankan serta sifat pekerjaan akan berubah dengan masa.

Sehubungan itu, adalah penting bagi perniagaan dan pekerja untuk bersedia mendakap AI bagi mengekalkan daya saing.

“Kemajuan dalam teknologi seperti AI telah mewujudkan cabaran bagi syarikat yang perlu menyesuaikan diri dengan teknologi baru dan belajar cara menggunakan teknologi ini.

“Namun, pada masa yang sama, terdapat juga peluang yang diwujudkan, dengan perniagaan akan dilakukan dalam cara yang berbeza.

“Bahkan, pekerjaan juga mungkin berubah dengan masa disebabkan AI, produktiviti, inovasi dan automasi,” kata beliau.

Encik Gan berkata demikian dalam satu wawancara pada 29 Januari semasa membentangkan tujuh saranan utama oleh lima jawatankuasa Semakan Strategi Ekonomi (ESR) dalam kemas kini pertengahannya, sejak ESR dilancarkan pada Ogos 2025.

Saranan tersebut bertujuan menetapkan strategi bagi hala tuju jangka panjang ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan yang baik untuk rakyat.

Turut hadir semasa wawancara itu ialah Pemangku Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Negara Kanan (Kewangan), Encik Jeffrey Siow; dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo – masing-masing pengerusi bagi jawatankuasa ESR mengenai daya saing sejagat dan modal insan.

Bagi mencapai matlamat ini, jawatankuasa ESR dalam kemas kini pertengahannya telah mengusulkan saranan untuk menetapkan Singapura sebagai peneraju AI melalui ekonomi yang diperkasakan oleh teknologi tersebut.

Ini akan mewujudkan peranan kerja baru, kedua-dua peranan teknikal seperti penyelidikan AI dan kejuruteraan, juga bukan teknikal seperti dalam pengurusan projek, kepercayaan dan keselamatan.

Jawatankuasa tersebut menekankan keperluan untuk meningkatkan dan mengubah pekerjaan dalam sektor yang mungkin lebih berdaya tahan terhadap perubahan global dan menawarkan peluang bagi pekerjaan yang bermutu.

Bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif, mereka turut menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, dengan model latihan dan kemahiran perlu berubah supaya latihan dapat menjadi lebih tangkas dan responsif terhadap keperluan industri dan pekerja.

Ini selain membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) mendakap dan memanfaatkan AI untuk meningkatkan produktiviti dan transformasi perniagaan.

Encik Gan berkata pemerintah mahu membantu perusahaan, termasuk SME, untuk bersedia mendakap AI – bukan hanya untuk menerapkan penggunaan alat AI asas, tetapi juga memanfaatkan teknologi itu untuk mengubah perniagaan mereka supaya dapat menjadi lebih berdaya saing di peringkat global.

“Ini akan menjadi topik utama dalam perbincangan kita mengenai ekonomi yang didayakan AI.

“Semua ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk mengembangkan perusahaan di peringkat tempatan,” kata beliau.

Encik Siow turut menyokong aspirasi itu sambil berkata Singapura berhasrat untuk membina ekosistem di mana syarikat boleh membangunkan aplikasi industri dan keupayaan mencari huraian.

“Matlamat kami adalah apabila seseorang memikirkan tentang kepimpinan AI di dunia, mereka akan memikirkan Singapura,” ujar beliau.

Dari sudut tenaga kerja, Encik Neo menekankan keperluan untuk mempunyai sebuah Strategi Tenaga Kerja AI nasional.

Langkah ini bertujuan membantu setiap rakyat Singapura menjadi lebih selesa dan yakin dalam menggunakan AI, memandangkan impak teknologi ini akan menjejas semua sektor.

“Tiada sektor yang boleh mendakwa bahawa AI tidak akan mengubah cara kerja mereka,” kata Encik Neo.

“Bagi pelajar, kami menyarankan agar kurikulum teras yang dipelajari di sekolah dikemas kini, supaya pelajar dapat belajar tentang AI, belajar dengan AI, belajar menggunakan AI dan yang lebih penting, belajar melampaui AI.

“Bagi pekerja, kami mahu menyokong mereka agar dapat menggunakan AI dan bereksperimen dengannya melalui cara yang bermakna di tempat kerja, supaya mereka dapat menjadi jauh lebih produktif.

“Bagi perniagaan, ia adalah mengenai usaha menyokong mereka untuk melihat bagaimana mereka boleh menggunakan AI bagi mengubah proses perniagaan serta mencapai hasil perniagaan yang jauh lebih baik,” tambah beliau.

“Kemajuan dalam teknologi seperti AI telah mewujudkan cabaran bagi syarikat yang perlu menyesuaikan diri dengan teknologi baru... Namun, pada masa yang sama, terdapat juga peluang yang diwujudkan, dengan perniagaan akan dilakukan dalam cara yang berbeza. Bahkan, pekerjaan juga mungkin berubah dengan masa disebabkan AI, produktiviti, inovasi dan automasi.”
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

“Bagi pelajar, kami menyarankan agar kurikulum teras yang dipelajari di sekolah dikemas kini, supaya pelajar dapat belajar tentang AI... Bagi pekerja, kami mahu menyokong mereka agar dapat menggunakan AI dan bereksperimen dengannya melalui cara yang bermakna di tempat kerja... Bagi perniagaan, ia adalah mengenai usaha menyokong mereka untuk melihat bagaimana mereka boleh menggunakan AI bagi mengubah proses perniagaan...”.
Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg