Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan: S’pura sedang bincang sifar tarif ke atas eksport farmaseutikal dengan AS

S’pura juga sedang giat perkukuh hubungan dengan rakan dagang yang sealiran seperti negara anggota Asean lain
May 16, 2025 | 6:40 PM
Pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkongsi Singapura sedang berunding dengan Amerika Syarikat untuk mendapatkan tarif keutamaan malah sehingga sifar tarif untuk eksport farmaseutikal, ketika ditemui media pada 16 Mei.
Pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, berkongsi Singapura sedang berunding dengan Amerika Syarikat untuk mendapatkan tarif keutamaan malah sehingga sifar tarif untuk eksport farmaseutikal, ketika ditemui media pada 16 Mei. - Foto ST

Singapura sedang dalam perbincangan dengan Amerika Syarikat untuk merunding tarif keutamaan, malah sehingga sifar tarif untuk eksport farmaseutikal, kata pengerusi Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert), Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Eksport farmaseutikal merupakan salah satu komponen utama dalam eksport Singapura ke Amerika, dan pemerintah berhasrat untuk berbincang bagaimana syarat-syarat yang tertakluk kepada tarif sektor dapat dipenuhi, kata Encik Gan yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Beliau berkongsi demikian ketika ditemui media pada 16 Mei di Pusat Akhbar Nasional (NPC) di bangunan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Penubuhan Sert pertama kali diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 8 April, berikutan tarif asas 10 peratus yang dikenakan oleh Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 2 April ke atas semua barangan Singapura yang memasuki Amerika.

Pasukan petugas baru yang dipengerusikan oleh Encik Gan itu turut dianggotai Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; dan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat.

Mengulas mengenai tarif ke atas eksport farmaseutikal yang juga dikenali sebagai tarif sektor, Encik Gan berkata bahawa Amerika telah menyatakan kesediaan untuk berbincang tentang langkah yang boleh diambil oleh Singapura bagi mendapatkan pengecualian tarif ke atas produk-produk itu.

“Mereka mahu memastikan bahawa dengan pelaksanaan tarif ini, mereka dapat menjamin rantaian bekalan bagi produk farmaseutikal,” kata Encik Gan.

Namun, beliau menekankan bahawa proses tersebut adalah sesuatu proses yang akan memakan masa kerana butiran tertentu perlu dibincangkan.

Di samping itu, beliau juga berkongsi bahawa Amerika sedia untuk berbincang bagaimana Singapura boleh memastikan bekalan semikonduktor kepada Amerika akan dapat diteruskan, serta bagaimana Amerika boleh terus membekalkan teknologi tersebut kepada Singapura.

“Amerika berminat untuk melihat bagaimana ia boleh terus membekalkan teknologi semikonduktor kepada Singapura bagi menyokong ekonomi digital Republik ini, industri semikonduktor serta pelbagai industri kritikal di sini,” ujar Encik Gan.

Amerika belum mengumumkan butiran mengenai tarif ke atas produk farmaseutikal atau semikonduktor, namun sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Singapura sedang memperkukuhkan hubungan dengan rakan dagang yang sealiran seperti negara anggota Asean lain.

Salah satu usahanya adalah melalui penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga).

“Kami menyasarkan untuk menyelesaikan rundingan menjelang akhir bulan ini, dan ini merupakan satu penambahbaikan kepada perjanjian perdagangan barangan, yang pada asasnya adalah perjanjian perdagangan bebas, untuk menurunkan lagi tarif dan menghapuskan halangan bukan tarif supaya kita dapat memudahkan perdagangan dalam kalangan anggota Asean.

“Saya rasa ini menandakan komitmen anggota Asean untuk memperdalam integrasi kita dan mengukuhkan kerjasama antara anggota,” katanya.

Beliau menambah bahawa di bawah Atiga, tarif adalah sangat rendah, malah sehingga tarif sifar bagi kebanyakan negara.

Namun, masih terdapat ruang untuk mengurangkan halangan bukan tarif dengan memperbaiki sistem sedia ada seperti proses pelepasan kastam dan dokumentasi yang tidak seragam.

Encik Gan menekankan kepentingan untuk mengingatkan perniagaan dan para pekerja akan ketidaktentuan situasi dan prospek, serta cabaran yang bakal dihadapi pada masa hadapan.

“Adalah berita baik apabila negara-negara mula berbincang antara satu sama lain.

“Ini sesuatu yang menggalakkan, tetapi ia tidak bermakna segala masalah telah selesai kerana selagi kami belum mencapai penyelesaian yang dipersetujui bersama dengan negara terlibat, saya rasa prospeknya masih sangat tidak menentu,” kata beliau.

Oleh itu, beliau mengesyorkan bahawa pemerintah kekal komited untuk memberi sokongan kepada perniagaan, pekerja, pelajar dan isi rumah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg