Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, bertemu dengan para pemimpin Kongres Amerika Syarikat yang mengendalikan isu perdagangan semasa hari pertama lawatan beliau ke Washington DC pada 22 Julai.
Mereka yang ditemui termasuk Pengerusi Jawatankuasa Cara dan Matlamat Dewan, Encik Jason Smith; anggota kanan Jawatankuasa Cara dan Matlamat Dewan, Encik Richard Neal; anggota kanan Jawatankuasa Kewangan Senat, Encik Ron Wyden; dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Perdagangan Jawatankuasa Cara dan Matlamat Dewan, Encik Adrian Smith.
Menulis di Facebook pada 24 Julai, Encik Gan berkata mereka saling bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala Singapura-Amerika, termasuk bidang potensi bagi memperdalam kerjasama ekonomi.
“Di samping hubungan yang lama dengan Singapura dalam perdagangan dan pelaburan, Amerika juga merupakan rakan penting bagi Singapura dalam pelbagai bidang seperti pertahanan, tenaga dan teknologi.
“Kita juga telah bekerjasama rapat selama bertahun-tahun lamanya di platform pelbagai hala, termasuk mengenai kerjasama Asean-Amerika.
“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan kita di Kongres kerana berkongsi perspektif mereka tentang bagaimana Singapura dan Amerika boleh meningkatkan usaha sama demi manfaat negara dan rakyat kita,” kata beliau.
Encik Gan sedang melakukan lawatan ke Amerika dari 20 hingga 26 Julai untuk mendalami kerjasama ekonomi dan memperkukuh hubungan dua hala antara Singapura dengan Amerika.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg