Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan terajui usaha perkemas proses kawal selia niaga

Aug 18, 2024 | 8:48 PM
Hanya satu permit untuk sebuah pertunjukan tanpa mengira berapa banyak dron yang digunakan dan tiada pelekat diperlukan lagi.
Hanya satu permit untuk sebuah pertunjukan tanpa mengira berapa banyak dron yang digunakan dan tiada pelekat diperlukan lagi. - Foto ST

Proses kawal selia yang memerlukan syarikat mematuhi syarat dan peraturan tertentu dalam menjalankan operasi dan perniagaan akan diperkemas demi memastikan “persekitaran mesra perniagaan” dan “mengekalkan beban kawal selia pada tahap minimum”, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong berkata meskipun agensi kawal selia memahami kepentingan memastikan peraturan minimum dan hanya mengenakan peraturan apabila perlu, “tetapi dari masa ke masa, peraturan telah berkembang dan kadangkala terlalu banyak”.

Berucap di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 18 Ogos, beliau memberi contoh bagaimana proses bagi syarikat yang ingin mengadakan pertunjukan dron telah disemak dan diperhalusi supaya proses permohonan dan kelulusan menjadi lebih mudah untuk syarikat.

Sebelum ini, syarikat yang ingin mengadakan pertunjukan dron bukan hanya perlu mendapatkan permit bagi pertunjukan, malah memastikan setiap dron sudah didaftarkan dan mempunyai pelekat yang ditampal padanya.

Ini bermakna, jika satu pertunjukan itu menggunakan 1,000 dron, setiap dron itu akan mempunyai pelekat atau 1,000 pelekat.

Encik Wong berkata terdapat sebab sah bagi memerlukan dron didaftarkan atas sebab keselamatan penerbangan, tetapi apabila dron digunakan bagi tujuan tertentu, seperti pertunjukan, dan ia kekal dalam kawasan yang telah diluluskan, risikonya lebih mudah diurus.

“Oleh itu, selepas menerima maklum balas ini, kami memperkemas prosesnya. Sekarang, anda hanya perlu satu permit untuk sebuah pertunjukan, tidak kira berapa banyak dron yang digunakan! Dan tiada lagi pelekat!

“Dan anda juga menjimatkan wang. Sebelum ini, sebuah pertunjukan dron menggunakan 1,000 dron akan menelan belanja lebih $25,000 dalam kos pematuhan. Sekarang, ia hanya berharga $500,” kata beliau.

Encik Wong berkata Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Gan Kim Yong, akan menerajui usaha menyemak dan memperkemas proses kawal selia dan peraturan itu.

Encik Wong menambah beliau mahu bersikap adil kepada agensi kawal selia kerana setiap agensi mempunyai kebimbangan yang perlu ditangani.

Tambahan pula, setiap kali kejadian itu berlaku, sama ada kecederaan di tempat kerja, atau keracunan makanan, agensi kawal selia mendapat tekanan hebat untuk mengetatkan lagi peraturan.

Setiap peraturan baru yang dibuat mungkin kelihatan kecil, namun perubahan kecil itu secara keseluruhannya berkesan, ujar Encik Wong.

Justeru, agensi-agensi perlu melakukan semakan peraturan dan proses menyeluruh dan proaktif setiap beberapa tahun dan mengurangkannya jika boleh.

“Kami mempunyai perkhidmatan awam yang cemerlang yang boleh melakukan tugas ini. Namun, kadangkala terdapat keseimbangan sukar yang perlu dibuat.

“Langkah melonggarkan beberapa peraturan juga bermakna menerima lebih banyak risiko dan rakyat Singapura perlu memahami dan menyokong perubahan ini,” kata Encik Wong.

“Saya pasti usaha ini akan memperbaiki keadaan dan saya berharap ia akan membantu perniagaan, terutamanya syarikat kecil dan sederhana (SME) kita,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg