Rakyat Singapura yang menganggur tanpa pilihan, seperti mereka yang diberhentikan kerja, boleh mendapatkan sokongan kewangan tatkala mereka berusaha mencari kerja di bawah satu skim SkillsFuture baru, umum Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Namun, pekerja juga perlu memainkan peranan dengan menjalani latihan, menyertai sesi bimbingan kerjaya dan khidmat pemadanan kerja demi memastikan mereka dapat mencari peluang pekerjaan lebih baik.
Sementara itu, elaun latihan yang diberi kepada pekerja yang mengambil kursus sepenuh masa di bawah Program Peningkatan SkillsFuture akan dilanjutkan kepada mereka yang menyertai kursus sambilan.
Encik Wong mengumumkan sokongan kewangan untuk pekerja yang hilang pekerjaan semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR) di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 18 Ogos.
Menurut Encik Wong, Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture baru itu akan memberi tumpuan pada usaha membantu pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan yang hilang pekerjaan.
Mereka yang menganggur tanpa pilihan, seperti diberhentikan kerja atau kehilangan pekerjaan kerana syarikat gulung tikar, boleh mendapat sokongan sehingga $6,000 secara keseluruhan selama tempoh sehingga enam bulan.
“Kami akan membantu anda mengharungi cabaran dan bangkit kembali dengan lebih kuat. Namun, anda juga mesti memainkan peranan!
“Apa yang anda harus lakukan? Hadiri latihan, sesi bimbingan kerjaya, dan khidmat pemadanan pekerjaan. Ini adalah pelaburan penting yang anda perlu lakukan untuk diri sendiri demi mencari pekerjaan lebih baik.
“Inilah inti pati kompak sosial kita yang diperbaharui. Kami akan menyokong anda dan berdiri di sisi anda; tetapi anda juga mesti bertanggungjawab atas tindakan anda, dan berusaha mempertingkatkan diri,” kata beliau.
Butiran lanjut mengenai skim itu akan dikongsi Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, kelak.
Skim baru itu dibentuk menyusuli kajian dan juga perbincangan bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Gerakan Pekerja yang telah lama memperjuangkan daya usaha itu, ujar Encik Wong.
Sementara negara lain menawarkan insurans pengangguran kepada pekerja yang hilang pekerjaan, Encik Wong berkata pengalamannya tidak selalu positif.
Ini kerana seseorang itu mungkin mendapati adalah lebih menarik untuk kekal tanpa pekerjaan daripada kembali bekerja setelah mendapat faedah dan bantuan yang murah hati.
Justeru, pemerintah selalu berhati-hati tentang skim sedemikian, kata Encik Wong.
Bagaimanapun, beliau menambah bahawa pemerintah juga memahami apabila seseorang kehilangan pekerjaan, ia adalah satu masalah yang boleh menjejas pekerja dan keluarga mereka, lantas, usaha perlu dilakukan bagi mengurangkan tekanan mereka yang terjejas.
“Itu sebabnya kami mencari alternatif. Seperti mana kami mewujudkan skim Daya Kerja berbanding Kebajikan, apakah alternatif yang lebih baik berbanding insurans pengangguran?
“Bagaimanakah boleh kami membantu dengan cara yang mengurangkan kesan negatif yang kami lihat di tempat lain?
“Kami membincangkan isu ini dengan NTUC dan Gerakan Pekerja yang telah lama memperjuangkan inisiatif ini. Kini, kami bersedia memperkenalkan skim baru, Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture,” kata beliau.
Sementara itu, pekerja pertengahan kerjaya berusia 40 tahun dan ke atas yang menyertai kursus latihan sambilan tidak lama lagi, boleh menikmati elaun latihan yang disediakan di bawah Program Peningkatan SkillsFuture.
Mulai tahun depan (2025), satu elaun latihan sehingga $3,000 sebulan di bawah Program Peningkatan SkillsFuture – kali pertama diumumkan semasa Belanjawan 2024 pada Februari – akan disediakan kepada pekerja pertengahan kerjaya yang menghadiri kursus latihan sepenuh masa.
Setiap individu boleh menerima sehingga 24 bulan elaun latihan sepanjang hayat mereka, yang berjumlah sehingga $72,000 secara keseluruhan.
Namun, Encik Wong berkata sebahagian elaun latihan itu juga akan dilanjutkan kepada pekerja yang mengambil kursus latihan sambilan kerana tidak mudah untuk bekerja dan kemudian menghadiri kelas selepas selesai waktu bekerja.
Meskipun pekerja ini terus mendapat gaji, terdapat perbelanjaan lain yang perlu ditanggung seperti yuran latihan dan buku.
“Oleh itu, kami akan melanjutkan sebahagian elaun latihan ini kepada mereka yang menyertai kursus sambilan juga. Kementerian Pendidikan (MOE) sedang mengusahakannya dan akan berkongsi butiran lanjut apabila sudah bersedia,” kata beliau.
Encik Wong berkata sedang transformasi ekonomi berterusan, pemerintah akan melakukan lebih banyak lagi untuk mempertingkat perniagaan Singapura dan melengkapi serta menyokong setiap rakyat termasuk apabila mereka menghadapi cabaran.
“Ekonomi yang berkembang akan mewujudkan lebih banyak peluang dan pekerjaan untuk semua.
“Kami akan memastikan manfaat dikongsi secara meluas dan setiap orang meraih manfaat daripada kemajuan negara kita,” kata beliau.
“
Hadiri latihan, sesi bimbingan kerjaya, dan khidmat pemadanan pekerjaan. Ini adalah pelaburan penting yang anda perlu lakukan untuk diri sendiri demi mencari pekerjaan lebih baik. Inilah inti pati kompak sosial kita yang diperbaharui. Kami akan menyokong anda dan berdiri di sisi anda; tetapi anda juga mesti bertanggungjawab atas tindakan anda, dan berusaha mempertingkatkan diri.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg