Pemerintah akan terus membantu rakyat Singapura mempertingkatkan diri dan kekal berdaya saing.
Namun, mereka juga perlu memainkan peranan dan proaktif dalam mendakap semangat pembelajaran sepanjang hayat, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Berucap di Rapat Hari Kebangsaan (NDR) di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 18 Ogos, Encik Wong berkata pemerintah akan menyokong sesiapa sahaja yang mahu mempertingkat kemahiran mereka, tidak kira usia, melalui gerakan SkillsFuture.
Meskipun menjalani latihan bukan satu perkara mudah, terutamanya bagi golongan pekerja lebih berusia, Encik Wong memberi jaminan pekerja tidak bersendirian dalam perjalanan mereka.
“Pemerintah akan menyokong dan membantu anda, dalam setiap langkah.
“Sesiapa sahaja yang mahu mempertingkat kemahiran mereka – pada bila-bila masa sepanjang hayat mereka, tidak kira usia – akan diberi peluang melakukan demikian di Singapura.
“Ini komitmen saya kepada setiap daripada anda. Oleh itu, saya berharap kita semua mendakap semangat pembelajaran, dan menjadi sebuah bangsa yang belajar!” kata beliau.
SkillsFuture, yang diperkenalkan hampir sedekad lalu, baru-baru ini diperkukuh, dengan semua rakyat Singapura berusia 40 tahun dan ke atas menerima tokokan kredit sebanyak $4,000 pada Mei.
Semasa ucapan NDR beliau, Encik Wong turut mengumumkan beberapa peningkatan baru pada SkillsFuture untuk menyediakan lebih banyak sokongan kepada pekerja.
Ini termasuk Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture baru yang menyediakan sokongan kewangan sementara sehingga $6,000 selama tempoh sehingga enam bulan kepada pekerja yang menganggur tanpa pilihan, seperti mereka yang diberhentikan kerja.
Sementara itu, elaun latihan yang diberikan kepada peserta kursus latihan sepenuh masa di bawah Program Peningkatan SkillsFuture akan dilanjutkan kepada mereka yang menyertai kursus latihan sambilan.
Meskipun Singapura mempunyai tenaga kerja cemerlang, Encik Wong berkata kadar perubahan dalam industri dan di tempat kerja akan bertambah pantas.
Sesetengah pekerjaan akan pupus dan pekerjaan baru dengan gaji lebih baik akan diwujudkan.
Oleh itu, penting bagi rakyat mengubah pemikiran mereka dan mendakap semangat pembelajaran dalam kehidupan mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan, tambah beliau.
“Ramai antara kita membesar dengan pemikiran bahawa belajar bererti lulus peperiksaan dan mendapatkan kelayakan untuk pekerjaan. Pemikiran itu benar-benar perlu diubah.
“Kita belajar bukan untuk peperiksaan, atau kelayakan kertas (sijil kelulusan). Kita belajar untuk mempertingkat kemahiran dan untuk terus melakukan dengan lebih baik.
“Dan proses pembelajaran dan mencapai penguasaan kemahiran itu mesti berterusan sepanjang hayat,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg