Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Gan, tiga Menteri Penyelaras bentuk pasukan teras Kabinet

Shanmugam, Chun Sing, Ye Kung dilantik sebagai Menteri Penyelaras
May 21, 2025 | 8:54 PM
lawrence wong, gan kim yong, chan chun sing, ong ye kung, menteri penyelaras
Kabinet baru Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tiga dari kiri), akan merangkumi (dari kiri) Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing; Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong; Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Encik Ong Ye Kung. - Foto ST

Kabinet baru Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan menampilkan Encik Gan Kim Yong sebagai Timbalan Perdana Menteri dan tiga Menteri Penyelaras baru, yang akan membentuk pasukan teras bagi membantu dan memberi nasihat kepada beliau, serta memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada menteri lebih muda.

Encik K. Shanmugam akan dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara; Encik Chan Chun Sing akan menjadi Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam; manakala Encik Ong Ye Kung akan menjadi Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial.

Encik Gan akan meneruskan peranan beliau sebagai Menteri Perdagangan dan Perusahaan dan mempengerusikan Pasukan Petugas Daya Tahan Ekonomi Singapura (Sert).

Beliau juga akan menggalas peranan sebagai Pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan Encik Wong.

Sekiranya kedua-dua mereka tiada, salah seorang daripada tiga menteri penyelaras akan dilantik, kata Encik Wong pada 21 Mei semasa sidang media untuk mengumumkan barisan Kabinet barunya.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak melantik salah seorang pemimpin generasi keempat sebagai timbalan perdana menteri, Encik Wong berkata mempunyai empat pemimpin kanan itu dalam pasukannya adalah “suatu susunan yang baik buat masa ini”.

“Mereka merupakan menteri utama yang akan membantu saya, menyokong saya dalam kerja saya dan mereka juga akan menasihati serta membimbing menteri yang lebih muda.

“Sepanjang perjalanan, mungkin terdapat perubahan, tetapi apabila kita memulakan penggal baru ini, saya gembira dengan konfigurasi ini,” kata Encik Wong.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong melantik (dari kiri) Encik Ong Ye Kung sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial; Encik K. Shanmugam sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara; dan Encik Chan Chun Sing sebagai Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong melantik (dari kiri) Encik Ong Ye Kung sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial; Encik K. Shanmugam sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara; dan Encik Chan Chun Sing sebagai Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam. - Foto fail

Selain menjadi Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan akan dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan.

Beliau akan meneruskan peranannya sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, peranan yang dipegangnya sejak 2018.

Encik Shanmugam akan kekal sebagai Menteri Ehwal Dalam Negeri, manakala Encik Edwin Tong akan mengambil alih peranannya sebagai Menteri Undang-Undang.

Encik Ong pula akan kekal sebagai Menteri Kesihatan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Isu Penuaan.

Daripada tiga peranan menteri penyelaras itu, portfolio Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam yang akan digalas Encik Chan adalah baru.

Ditanya apakah peranan baru Encik Chan sebagai Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, Encik Wong berkata peranan itu dinamakan semula daripada portfolio Menteri Penyelaras bagi Prasarana.

Peranan tersebut sebelum ini digalas oleh mantan Menteri Pengangkutan, Encik Khaw Boon Wan, untuk memberikannya “tumpuan dan keutamaan baru”, kata Encik Wong.

Beliau berkata peranan tersebut memerlukan pengukuhan penyelarasan dalam pemerintah untuk perancangan bandar dan projek prasarana utama, seperti perumahan dan landasan kereta api.

Encik Wong berkata beliau memutuskan peranan baru itu kerana beliau melihat dua bidang yang memerlukan penambahbaikan yang “lebih kepada perkhidmatan awam berbanding perancangan prasarana berskala besar”.

Yang pertama berkaitan dengan perkhidmatan awam peringkat akhir, atau “cara mengumpulkan pelbagai perkhidmatan pemerintah yang berbeza untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk dan rakyat Singapura”.

Encik Wong berkata pengenalan platform sehenti ServiceSG untuk rakyat mengakses perkhidmatan pemerintah merupakan satu penambahbaikan yang dibuat di bawah skop itu, tetapi lebih banyak lagi boleh dilakukan.

Bidang kedua adalah menyelaras dan melaksanakan kemudahan, prasarana dan perkhidmatan untuk estet kediaman yang lebih baru.

“Ia tidak mudah, kerana mungkin kita sudah menyediakan bangunan dan perumahan, tetapi kadangkala perkhidmatan bas tidak ada, kemudahannya belum sedia, jadi bagaimana kita boleh meletakkan semua itu dan melancarkannya dengan cara yang lebih teratur dan tepat pada masanya?” jelas Encik Wong.

Encik Chan berkata tumpuan baru di bawah peranannya turut merangkumi pelaksanaan dan perancangan perkhidmatan digital melangkaui perkhidmatan fizikal.

Ini memerlukan pengumpulan proses baru untuk mengubah cara perkhidmatan awam boleh disampaikan, katanya.

Terdapat juga elemen perancangan ke hadapan untuk merancang awal cara pemerintah membina prasarana perkhidmatan digitalnya, untuk “mengurangkan pemulihan hiliran yang mungkin perlu kami lakukan”, katanya.

“Semakin baik kita lakukan dengan perancangan awal, semakin kurang kita perlu lakukan pada tahap hiliran,” tambah Encik Chan.

“Mereka merupakan menteri utama yang akan membantu saya, menyokong saya dalam kerja saya dan mereka juga akan menasihati serta membimbing menteri yang lebih muda. Sepanjang perjalanan, mungkin terdapat perubahan, tetapi apabila kita memulakan penggal baru ini, saya gembira dengan konfigurasi ini.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg