Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Heng Swee Keat bertemu Naib Presiden China, Encik Han Zheng, di Beijing pada 26 Mac, di mana mereka membincangkan perkembangan projek dua hala sempena ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara kededua negara.
DPM Heng turut menekankan bahawa 2025 menandakan ulang tahun ke-10 bagi salah satu daripada tiga inisiatif antara pemerintah, iaitu Inisiatif Demonstrasi China-Singapura (Chongqing) mengenai Kesalinghubungan Strategik.
“Kami juga telah memperingati ulang tahun ke-15 Tianjin Eco-City pada tahun sebelumnya (2023), dan ulang tahun ke-30 Taman Perindustrian Suzhou tahun lalu (2024),” kata DPM Heng pada pertemuan mereka di Diaoyutai State Guesthouse.
Mengulas kerjasama antara kededua negara, Encik Han berkata: “Kami telah mencapai hasil yang ketara dalam hubungan dua hala dan memberikan sumbangan yang sewajarnya kepada pembangunan negara kami serta dunia,”
Encik Han menyatakan bahawa Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baru, yang dilancarkan pada 2017 untuk memajukan pembangunan ekonomi kawasan pedalaman China, telah menunjukkan prestasi yang “sangat baik”.
Koridor ini digunakan untuk mengangkut barangan melalui gabungan laluan darat, udara, kereta api, dan laut, dari Chongqing ke pelabuhan di Guangxi dan seterusnya ke Singapura, serta sebaliknya.
Ia merupakan sebahagian Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) Beijing untuk menghubungkan China dengan dunia, lapor The Straits Times (ST).
Kali terakhir kededua pemimpin ini bertemu adalah semasa lawatan rasmi DPM Heng ke China pada April 2024.
Sebagai rakan sejawat, kededua DPM Heng dan Encik Han telah menerajui empat edisi mesyuarat tertinggi bagi kerjasama dua hala, Majlis Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) tahunan dari 2019 hingga 2022.
Dalam pertemuan terbaru mereka, kededua pemimpin saling berbalas kata-kata penghargaan.
“Anda telah memberikan sumbangan yang besar dalam memperkukuh hubungan antara China dan Singapura,” kata DPM Heng, sambil memanggil Encik Han dengan gelaran “sahabat lama”.
Encik Han pula membalas: “Setiap kali saya berbincang dengan anda, anda sentiasa bercakap dengan penuh keikhlasan mengenai idea dan cadangan untuk memajukan hubungan dua hala.”
Dalam hantaran di Facebook pada 26 Mac, DPM Heng berkata beliau dan Encik Han bersetuju sistem antarabangsa yang terbuka dan berasaskan undang-undang memberi manfaat kepada pertumbuhan dan pembangunan global, termasuk di Asean.
“Selain itu, terdapat potensi memperkukuh lagi kerjasama kita dalam menangani cabaran bersama yang dihadapi manusia, termasuk perubahan demografi dan penduduk yang semakin menua,” tulisnya.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata kededua pemimpin menilai semula kerjasama dua hala mereka, bertukar pandangan mengenai dasar sosioekonomi kededua negara, dan membincangkan perkembangan di peringkat global serta serantau.
DPM Heng berada di Beijing sempena lawatan kerja empat hari ke China, bermula 24 Mac.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg