Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kos sara hidup, kadar kesuburan antara isu utama hari pertama bahas Belanjawan

AP harap lebih banyak usaha di luar sokongan kewangan diberi dorong rakyat S’pura punyai anak
Feb 26, 2025 | 9:03 PM
Pada hari pertama perbahasan Belanjawan 2025, para Anggota Parlimen (AP), mengalu-alukan pelbagai langkah sokongan yang disediakan Belanjawan untuk lapisan masyarakat berbeza, tetapi mereka menjelaskan lebih banyak lagi usaha boleh dilakukan untuk membantu rakyat Singapura.
Pada hari pertama perbahasan Belanjawan 2025, para Anggota Parlimen (AP), mengalu-alukan pelbagai langkah sokongan yang disediakan Belanjawan untuk lapisan masyarakat berbeza, tetapi mereka menjelaskan lebih banyak lagi usaha boleh dilakukan untuk membantu rakyat Singapura. - Foto BT

Cara menggalak rakyat Singapura mempunyai anak dan cabaran kos sara hidup merupakan antara isu utama yang diketengahkan para Anggota Parlimen (AP) pada hari pertama perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 26 Februari.

Para AP mengalu-alukan pelbagai langkah sokongan yang disediakan Belanjawan 2025 untuk lapisan masyarakat yang berbeza, namun mengharapkan lebih banyak lagi usaha boleh dilakukan untuk membantu rakyat Singapura.

Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan sulungnya sebagai Perdana Menteri, pada 18 Februari lalu, telah mengumumkan langkah-langkah sokongan untuk menangani keprihatinan kos sara hidup dan pelaburan jangka lebih panjang untuk membawa Singapura ke fasa pembangunan seterusnya.

Belanjawan 2025 bernilai $143.1 bilion itu turut membentangkan pelbagai sokongan untuk keluarga, termasuk keluarga yang mempunyai tiga anak atau lebih.

Contohnya, Skim Keluarga Besar baru yang diperkenalkan, merangkumi sokongan seperti Kredit LifeSG Keluarga Besar (LFLC) $1,000 setahun bagi setiap anak ketiga dan seterusnya pada tahun-tahun anak-anak itu berumur satu hingga enam tahun.

Namun begitu, sesetengah AP menggesa agar lebih banyak usaha di luar sokongan kewangan dilakukan untuk mendorong rakyat Singapura mempunyai dan membesarkan anak-anak, seperti menjadikan tempat kerja lebih mesra keluarga dan mewujudkan keseimbangan kerja-hidup yang lebih baik.

Misalnya, Encik Lim Biow Chuan (Mountbatten) telah mengetengahkan sentimen bahawa tekanan merupakan faktor utama yang menghalang rakyat Singapura daripada membentuk keluarga, dan perlu adanya usaha untuk memikirkan semula definisi kejayaan dalam kehidupan.

“Ramai di antara kita bekerja berjam-jam lamanya dengan masa keluarga yang berkurangan. Malah di Parlimen, kerani kami dan kakitangan lain bekerja begitu lama kerana AP bekerja berjam-jam lamanya, membahaskan rang undang-undang hingga lewat petang, kadangkala lewat malam,” kata beliau.

“Saya juga pernah menerima e-mel dari menteri pada larut malam. Jika seluruh perkhidmatan awam mengikut jejak langkah menteri mereka, maka kita semua akan mengalami kehidupan yang tertekan dan kita tahu sebab mengapa ramai pasangan rasa terlalu penat.

“Saya menggesa pemerintah untuk menyemak budaya bekerja lama dan tertekan ini,” tambahnya.

Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP), Cik Hazel Poa, pula telah mengusulkan dua saranan dalam mempertingkat keseimbangan kerja-hidup – menambahkan hari cuti awam daripada 11 kepada 14 hari, dan pelaksanaan hak pekerja untuk tidak menjawab panggilan, mesej atau e-mel berkaitan kerja apabila sedang bercuti atau di luar waktu kerja.

Sementara itu, meskipun inflasi telah menunjukkan trend yang semakin turun, para AP menggesa agar lebih banyak sokongan disediakan, terutamanya untuk golongan berpendapatan pertengahan yang ‘tersepit’, di tengah-tengah cabaran kos sara hidup.

“Kami meraikan jumlah sokongan yang diberi, tetapi kita mesti menyedari bahawa sesetengah keluarga terus mengalami tekanan kewangan besar, sedang mereka mengharungi kos sara hidup lebih tinggi, dan pasaran pekerjaan yang mencabar di peringkat sejagat,” kata Cik Joan Pereira (GRC Tanjong Pagar).

Beliau, antaranya, memberikan saranan bagi sebuah skim subsidi pengangkutan disediakan, terutamanya untuk menampung sebahagian tambang bas sekolah anak-anak.

Dalam pada itu, Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, turut tampil dalam perbahasan pada hari pertama untuk bercakap tentang langkah-langkah yang harus diambil demi memastikan warga emas dapat meniti usia senja dengan baik.

“Sedang kita berusaha untuk menjadi Zon Biru 3.0 (kawasan geografi dengan kadar penyakit kronik yang lebih rendah dan jangka hayat yang lebih panjang), matlamat kita bukan sahaja untuk hidup lebih lama tetapi untuk hidup dengan baik,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg