Kemahiran yang membawa kejayaan untuk Singapura semalam mungkin tidak lagi mencukupi untuk menjamin masa depan, dan oleh itu, perlu bagi kedua-dua individu dan negara mendakap budaya inovasi, pembelajaran dan meningkatkan kemahiran secara berterusan di tengah-tengah landskap yang pesat berubah, kata Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan.
Kepentingan meningkatkan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat merupakan antara isu utama yang ditekankan para Anggota Parlimen (AP), termasuk AP pekerja, pada hari kedua perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 27 Februari.
Ramai antara mereka memohon agar skim sokongan sedia ada diperluaskan atau dipertingkatkan untuk menyokong lebih ramai pekerja mempertingkat dan meraih ilmu dan kemahiran baru supaya mereka dapat kekal relevan dan berdaya saing.
“Melangkah ke hadapan, perpecahan geoekonomi, ketidakstabilan, peralihan demografi dan kemajuan teknologi serta kemampanan, akan membentuk semula pasaran pekerja global, memacu perubahan dalam mewujudkan pekerjaan, permintaan kemahiran dan corak pekerjaan.
“Dalam landskap yang pesat berubah ini, satu perkara adalah jelas: kemahiran yang membawa kita kejayaan semalam mungkin tidak mencukupi untuk menjamin masa depan kita.
“Untuk kekal berdaya saing, sebagai kedua-dua individu dan negara, kita mesti mendakap budaya inovasi, pembelajaran dan meningkatkan kemahiran secara berterusan,” kata Encik Tan, yang merupakan Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Dalam usaha membantu pekerja, NTUC telah melaksanakan beberapa inisiatif, seperti Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC), Dana Kolaborasi Pendidikan dan Latihan NTUC (NCF) dan Program Bantuan Latihan Kesatuan (Utap).
Misalnya, di bawah inisiatif CTC, lebih 7,000 pekerja telah menerima purata kenaikan gaji 5 peratus di atas kenaikan gaji tahunan, atau meraih manfaat daripada pelan pembangunan kerjaya atau elaun kemahiran.
Inisiatif itu bertujuan membantu syarikat menjalani transformasi dan mempertingkat kemahiran pekerja.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Belanjawan 2025, telah mengumumkan peruntukan tambahan $200 juta untuk menyokong geran CTC sebagai sebahagian usaha membantu lebih banyak syarikat menjalani transformasi dan menyokong latihan pekerja.
Encik Tan berkata beliau percaya sokongan NTUC bagi peluang latihan yang lebih luas telah membuahkan hasil positif, sambil menggesa lebih ramai majikan mengutamakan inisiatif latihan.
“Majikan tidak perlu takut kehilangan pekerja kerana pekerja itu lebih terlatih. Adalah penting untuk melihat melangkaui keuntungan jangka pendek dan melabur dalam pertumbuhan dan pembangunan jangka panjang pekerja, yang akhirnya memberi manfaat kepada sektor dan ekonomi secara keseluruhan,” kata beliau.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How, yang juga Timbalan Setiausaha Agung NTUC, berkata NTUC bersedia bekerjasama dengan perniagaan dan pemerintah dalam soal peningkatan kemahiran pekerja dan kerjaya.
“Mengenai lakaran hala tuju perniagaan dan latihan tenaga kerja di peringkat syarikat, CTC NTUC terus mempertingkat, meluaskan dan memperdalam keberkesanannya dalam syarikat dan sektor untuk memberi manfaat kepada pekerja daripada semua peringkat dan usia.
“NTUC juga sedang membayangkan semula Majlis Jaminan Pekerjaan (JSC) untuk mencapai hasil yang lebih pantas, lebih luas dan lebih baik dalam tenaga kerja industri, kemahiran, reka bentuk kerja dan hasil padanan, dengan kerjasama rapat bersama pemerintah dan industri,” kata beliau.
Antara idea yang dibentangkan semasa perbahasan Belanjawan 2025 itu termasuk memperluaskan Program Penukaran Kerjaya (CCP) yang disesuaikan khusus untuk karyawan berpengalaman yang beralih ke industri baru, seperti yang disarankan Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Patrick Tay (Pioneer).
Beliau menambah, pekerja juga boleh diberi pilihan menggunakan Kredit SkillsFuture bagi bimbingan dan pementoran kerjaya, yang akan memberi manfaat kepada individu pertengahan kerjaya dalam peningkatan kemahiran atau peralihan kerjaya.
Sementara itu, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, Encik Desmond Choo (Tampines), yang juga Penolong Setiausaha Agung NTUC, pula memberi cadangan agar Elaun Latihan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture diperluaskan kepada pekerja di bawah usia 40 tahun.
Elaun itu merupakan antara komponen di bawah Program Peningkatan SkillsFuture yang pada masa ini memberikan sokongan kepada rakyat Singapura pertengahan kerjaya berusia 40 tahun dan ke atas.
AP Dilantik (NMP), Cik Jean See, pula bertanya apakah pemerintah akan mempertimbangkan untuk mengamalkan pendekatan CTC bagi program geran yang dikendalikan agensi sektor.
“Melalui pendekatan itu, kami boleh menggalak lebih banyak firma mengamalkan pengambilan pekerja yang adil dan bertanggungjawab, mereka semula pekerjaan untuk meningkatkan nilai kerja, melatih pekerja berkemahiran rendah, termasuk pekerja agensi dalam firma, serta memulakan program untuk menarik dan membangunkan bakat rakyat Singapura,” kata beliau, yang juga setiausaha eksekutif Kesatuan Gabungan Pekerja Makanan dan Minuman (FDAWU).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg