Selepas satu lawatan kerja ke Korea Selatan, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, menyifatkan negara itu sebagai mempunyai “ekosistem korporat bertenaga” yang menjanjikan peluang besar.
Encik Heng, yang berada di Korea Selatan dari 17 hingga 21 November, berkata dalam catatan Facebook pada 21 November bahawa beliau telah bertemu dengan syarikat pemula dan pelabur dan mendapat pandangan tentang ekonomi baru Korea Selatan yang dipacu penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.
“Institusi tempatan kita seperti Universiti Teknologi Nanyang (NTU) sedang giat memacu kerjasama di Republik Korea dalam bidang ini, dan saya menantikan banyak pencapaian baru pada masa depan,” kata Encik Heng, yang juga pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).
Menurut beliau, kira-kira 10 peratus siswazah Korea Selatan mempelajari kursus berkaitan seni, yang membina saluran bakat yang kukuh untuk sektor kreatif, seperti K-pop dan rancangan televisyen, lapor The Straits Times.
“Di Singapura, Universiti Seni Singapura (UAS) akan mendaftarkan pelajar tahun ini, dan saya harapkan kejayaan mereka dalam membangunkan bakat untuk perusahaan kreatif,” tambah Encik Heng.
Semasa lawatannya, Encik Heng turut bertemu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Korea Selatan, Encik Lee Ju-ho; Setiausaha Kanan Presiden bagi Sains dan Teknologi, Encik Park Sang-wook; dan Gabenor Bank Korea, Encik Rhee Chang-yong.
Satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 21 November berkata mesyuarat itu mengesahkan “perkongsian teguh dan lama” antara Singapura dengan Korea Selatan dan komitmen ke arah meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik pada 2025.
Peningkatan itu bertepatan dengan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Singapura dengan Korea Selatan, kata kenyataan itu.
Encik Heng dan pemimpin korporat Korea Selatan, syarikat baru dan ahli akademik telah bincangkan bagaimana kedua-dua negara boleh tingkatkan kerjasama dalam bidang memperdalam integrasi ekonomi serantau dan memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi, kata kenyataan itu.
Mereka juga meneroka pembangunan dasar dan program untuk menyokong orang ramai dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial, seperti penduduk yang semakin menua.
Menjelang 2030, sekitar satu daripada empat warga Singapura akan berumur 65 tahun ke atas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg