Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Heng: S’pura perlu pemimpin berwibawa, cekap, dan bersemangat berkhidmat

Tekankan GE2025 bukan mengenai parti yang bertanding tetapi parti yang dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat S’pura
Apr 8, 2025 | 5:35 PM
(Dari kiri) Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; dan seorang wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Hazlina Abdul Halim, beramah-tamah bersama  penduduk Yarrow Gardens di Joo Chiat, Cik Bernie Liu, pada 5 April.
(Dari kiri) Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; dan seorang wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Hazlina Abdul Halim, beramah-tamah bersama penduduk Yarrow Gardens di Joo Chiat, Cik Bernie Liu, pada 5 April. - Foto ST

Singapura memerlukan pemimpin yang mempunyai kewibawaan, kecekapan, dan semangat ingin berkhidmat, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.

Beliau menambah bahawa mereka yang memasuki politik mesti berbuat demikian dengan tujuan yang betul.

“Bukannya kerana ‘saya mahu menang pilihan raya’, bukan kerana ‘saya mahu kuasa untuk melakukan sesuatu’,” katanya.

“Tetapi ‘saya melakukan ini demi kebaikan jangka panjang semua rakyat Singapura’.”

Encik Heng, yang merupakan menteri utama di GRC East Coast, berkata demikian dalam satu temu bual bersama The Straits Times (ST) pada 3 April.

Dalam perbincangan itu, beliau berkongsi pandangannya mengenai kawasannya bagi pilihan raya akan datang, partinya, dan minat yang semakin meningkat dalam pluralisme politik.

Beliau menegaskan bahawa pilihan raya umum akan datang bukan hanya tentang parti yang berada di kertas undi, tetapi tentang parti yang dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat Singapura.

Beliau turut mengatakan bahawa yang penting bagi masa depan Singapura ialah kepimpinan baik dan sistem tadbir urus mantap.

Encik Heng berkata Parti Tindakan Rakyat (PAP) masih parti terbaik untuk memimpin dan membawa Singapura ke arah baru.

Jika ia tidak memerintah, Singapura akan ditadbir dengan cara berbeza, ujar beliau. 

Encik Heng juga berharap rakyat menghargai peranan pemimpin PAP dalam setiap kawasan perwakilan kumpulan.

‘Saya tidak dapat menyokong rakyat dan perniagaan melalui lima Belanjawan jika saya kalah dalam pilihan raya lalu,’ tambah Encik Heng, yang merupakan Menteri Kewangan semasa pandemik Covid-19 bermula pada 2020.

Beliau berkata rakyat Singapura tidak sepatutnya menganggap semua Anggota Parlimen (AP) PAP mempunyai pandangan yang sama hanya kerana parti itu memegang lebih banyak kerusi. 

Setiap AP membawa perspektif berbeza, dan PAP mesti kekal sebagai kumpulan yang dapat mencerminkan kepentingan rakyat. 

Beliau juga menyatakan apa yang dikongsi oleh semua AP PAP ialah keyakinan mendalam dalam membina masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya.

Encik Heng berkongsi mengenai seorang wanita yang memberitahunya bahawa beliau bimbang bagi Singapura kerana minat yang semakin bertambah untuk mempunyai lebih banyak parti politik di Parlimen. 

Pandangan wanita itu ialah rakyat harus mengundi orang yang boleh membawa negara ini ke hadapan, kerana ia bukan sekadar mempunyai lebih ramai ahli politik pembangkang.

“Saya berkata, ‘Saya setuju dengan anda, tetapi ini adalah pilihan rakyat, dan saya harap rakyat kita memilih dengan bijak, memilih untuk masa depan jangka panjang mereka.’,” kata Encik Heng.

Ada agenda nasional yang Singapura perlu urus dengan teliti, katanya.

“Dan jika anda mempunyai AP yang bagus, cekap, rajin di lapangan, yang boleh mengembelingkan penduduk di kejiranan, kejiranan anda akan menjadi sebuah kejiranan yang lebih baik,” tambah Encik Heng.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg