Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong hadiri Rahat Pemimpin M’sia-S’pura ke-11

Ini merupakan Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura pertama bagi Encik Lawrence Wong sebagai Perdana Menteri.
Jan 5, 2025 | 6:00 PM
Perdana Menteri Lawrence Wong (kiri) bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa lawatan Encik Wong ke Malaysia pada Jun 2024.
Perdana Menteri Lawrence Wong (kiri) bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa lawatan Encik Wong ke Malaysia pada Jun 2024. - Foto ST

Perdana Menteri Lawrence Wong akan membuat lawatan rasmi ke Putrajaya, Malaysia dari 6 hingga 7 Januari bagi menghadiri Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 yang akan dihoskan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rahat Pemimpin tahunan itu, yang merupakan yang pertama bagi Encik Wong sebagai Perdana Menteri, akan membolehkan dua pemimpin itu menetapkan hala tuju dan kerjasama dua hala bagi Singapura dan Malaysia, menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 5 Januari.

“Rahat Pemimpin tahunan ini adalah wadah penting bagi kedua-dua Perdana Menteri menetapkan hala tuju keseluruhan bagi kerjasama dua hala, dan mengenal pasti cara baru meningkatkan lagi ketersambungan bagi memberi manfaat ketara kepada rakyat Singapura dan Malaysia.

“Kedua-dua pihak juga akan meneruskan usaha yang membina ke arah mengurus isu dua hala tertunggak, dengan mengambil kira ciri kebergantungan kededua negara yang berterusan dan komitmen bersama terhadap hubungan berpandangan ke hadapan,” kata PMO.

Encik Wong, yang ditemani isterinya, Cik Loo Tze Lui, akan menghadiri jamuan malam pada 6 Januari yang dihoskan oleh Datuk Anwar, manakala para menteri Singapura akan mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatan mereka dari Malaysia.

Pada 7 Januari, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan menghadiri majlis sambutan rasmi, yang akan diikuti dengan mesyuarat pemimpin dan delegasi dari kedua-dua negara. Selepas mesyuarat itu, Encik Wong dan Datuk Anwar akan menyaksikan acara bertukar-tukar dokumen beberapa perjanjian dua hala dan memorandum persefahaman (MOU).

Delegasi dari Singapura termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong; Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam; dan Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.

Turut serta dalam delegasi Singapura ialah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat; dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann.

Rahat ini seharusnya diadakan pada Disember 2024, tetapi ditunda kerana Encik Wong dijangkiti Covid-19. Rahat Pemimpin terakhir dihoskan Singapura pada Oktober 2023. Semasa ketiadaan Encik Wong, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg