Timbalan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF), Encik Heng Swee Keat, bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, yang juga Setiausaha Negara bagi Perumahan, Masyarakat, dan Kerajaan Tempatan Britain, Cik Angela Rayner, di London pada 30 September (waktu Britain).
Dalam pertemuan tersebut, Encik Heng dan Cik Rayner menegaskan semula perkongsian strategik antara Singapura dengan Britain.
Ia memberi tumpuan kepada usaha transformasi ekonomi kededua negara, khususnya dalam bidang penyepaduan teknologi dan pembangunan tenaga kerja bagi mencapai pertumbuhan menyeluruh.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 1 Oktober, Encik Heng mengucapkan tahniah kepada Cik Rayner atas pelantikan barunya sambil berkata:
“Negara kita berkongsi hubungan erat di peringkat rakyat, dan saya gembira dapat berbincang mengenai cara memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti sains dan teknologi, bagi memanfaatkan peluang untuk masa depan.”
Mereka juga membincangkan peranan penting kesatuan sekerja dan perkongsian tiga pihak dalam menyokong peningkatan kemahiran untuk memperbaiki daya pengeluaran, menaikkan gaji, dan memperbaiki kehidupan rakyat kededua negara.
Selain itu, mereka turut bertukar pandangan mengenai kepentingan menyediakan perumahan yang bermutu dan mampu milik.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 29 September, selain bertemu pemimpin kanan politik dan perniagaan, Encik Heng akan ke institusi penyelidikan terkemuka dan institusi kewangan, serta bertemu pembina usaha niaga di Britain bagi mengukuhkan hubungan ekosistem penyelidikan dan inovasi antara Singapura dengan negara itu.
Beliau juga akan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara agensi Singapura dengan institut penyelidikan yang berpangkalan di Britain.
Ini termasuk perjanjian antara Enterprise Singapore dengan InnovateUK untuk memacu inovasi bersama dan menyokong akses pasaran dua hala.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg