Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPM Wong: Pelantikan Gan pastikan kestabilan

May 13, 2024 | 8:40 PM
Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah), yang bakal mengangkat sumpah pada 15 Mei, menekankan pentingnya kestabilan dan kesinambungan tatkala para pemimpinnya menjalani pembaharuan. Encik Wong diapit dua Timbalan Perdana Menteri; Encik Gan Kim Yong (kiri) dan Encik Heng Swee Keat (kanan).
Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (tengah), yang bakal mengangkat sumpah pada 15 Mei, menekankan pentingnya kestabilan dan kesinambungan tatkala para pemimpinnya menjalani pembaharuan. Encik Wong diapit dua Timbalan Perdana Menteri; Encik Gan Kim Yong (kiri) dan Encik Heng Swee Keat (kanan). - Foto ST

Pada usia 65 tahun, Encik Gan Kim Yong, mungkin tidak tergolong dalam kumpulan pemimpin Generasi Keempat (4G) Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Namun pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM) di bawah barisan Kabinet baru DPM Lawrence Wong merupakan langkah penting dalam memastikan peralihan kepimpinan yang lancar.

Menerangkan keputusannya semasa sidang media di Istana pada 13 Mei, DPM Wong, menekankan ia adalah langkah mengimbangi keperluan demi kesinambungan dan kestabilan dalam proses pembaharuan kepimpinan selain menyumbang kepada usaha membentuk generasi pemimpin baru.

Menjelang upacara angkat sumpah Perdana Menteri yang bakal berlangsung pada 15 Mei, DPM Wong mengumumkan bahawa Encik Gan dinaikkan pangkat kepada Timbalan Perdana Menteri dan akan berkhidmat di samping Encik Heng Swee Keat, 63 tahun.

Semasa sidang media tersebut, DPM Wong, yang diiringi Encik Gan dan Encik Heng menekankan bahawa “kesinambungan dan kestabilan semasa pembaharuan” perlu diutamakan.

“Beliau mungkin bukan sebahagian daripada (pemimpin 4G), tapi tak mengapa.

“Bagi saya, semasa tempoh awal peralihan ini, memang berguna jika saya mempunyai dua menteri yang lebih berpengalaman sebagai Timbalan (Perdana Menteri).

“Ini dapat membantu kita semasa peringkat awal peralihan dan dapat memberi kesinambungan dan kestabilan. Saya boleh bergantung kepada mereka dan dapatkan nasihat daripada mereka,” katanya.

Beliau menambah, kedua-duanya boleh memainkan peranan sebagai “mentor kepada pemegang jawatan politik yang lebih muda”.

Encik Gan yang akan mengekalkan jawatannya sekarang, juga akan menjadi Pemangku Perdana Menteri semasa ketiadaan PM.

Semasa Encik Lee Hsien Loong dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2004, Timbalan Perdana Menteri beliau pada masa itu ialah Dr Tony Tan dan Profesor S. Jayakumar, masing-masing berusia 64 dan 65 tahun.

“Meskipun saya bukanlah (daripada golongan menteri) 4G seperti yang anda ketahui, ia tetap satu penghormatan bagi saya untuk diberi peluang ini dan saya akan melakukan yang terbaik untuk menyokong PM baru dan pasukannya,” kata Encik Gan.

Encik Gan turut berkongsi pengalamannya bekerja di samping Encik Wong sebelum ini sebagai Anggota Parlimen (AP) dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) berhampiran – Encik Gan merupakan AP GRC Chua Chu Kang sementara Encik Wong merupakan AP GRC Marsiling-Yew Tee; sebagai menteri dalam Kabinet dan kemudian sebagai pengerusi bersama dalam Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19.

Sebagai AP, Encik Gan berkata, beliau dan Encik Wong melakukan banyak projek setempat bersama demi manfaat penduduk di kawasan masing-masing.

“Saya telah menyaksikan kepimpinan teguh beliau terutama di tengah-tengah krisis,” ujar Encik Gan.

Encik Wong berkata pasukan barunya itu mempunyai “gabungan yang baik” dan terdiri daripada menteri berpengalaman dan pemegang jawatan politik yang lebih muda.

Beliau merancang mendedahkan pemimpin 4G PAP kepada portfolio berbeza pada masa akan datang untuk memberi “pendedahan dan pengalaman yang lebih luas” jika parti tersebut diberi mandat memerintah selepas Pilihan Raya Umum akan datang.

Dalam kalangan golongan pemimpin tersebut, “pasti akan ada yang mampu mengambil alih daripada rakan sekerja mereka yang lebih berpengalaman”, kata Encik Wong.

“Kita masih perlukan lebih ramai ‘darah muda’ kerana sebahagian daripada menteri yang lebih tua akan bersara pada akhir tempoh ini atau tidak lama selepas itu.

“Saya kini mencari calon baru yang menunjukkan potensi untuk menjadi pemegang jawatan politik,” tambah Encik Wong.

Membentangkan rancangannya untuk terus mendekati warga sebagai Perdana Menteri, Encik Wong berkata, beliau ingin berkongsi pemikirannya mengenai isu yang menjadi keprihatinan segmen masyarakat berbeza.

Salah satu wadah yang akan terus dimanfaatkan adalah melalui sidang media, terutama sekali untuk berkongsi perkembangan terkini.

“Pastinya saya tidak akan mengadakannya sekerap semasa tempoh Covid-19,” selorohnya.

Namun, wadah tersebut akan digunakan untuk menyampaikan sebarang perkembangan terkini atau dalam menjelaskan pertimbangan di sebalik sebarang keputusan yang diambil pemerintah, ujar Encik Wong.

“Saya juga akan mempertimbangkan wadah lain yang yang boleh digunakan untuk mendekati masyarakat secara langsung.

“Ini kerana memandang ke hadapan, kita ingin memikirkan cara terbaik menghimpunkan tenaga kolektif setiap warga Singapura untuk membawa Singapura maju ke hadapan dalam persekitaran yang lebih mencabar,” katanya.

Antara pengumuman lain semasa sidang media itu termasuk kenaikan pangkat Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam, yang akan menggalas tanggungjawab baru dalam Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).

Cik Rahayu akan terus berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan (MOH) tetapi akan melepaskan jawatannya dalam Kementerian Undang-Undang (MinLaw).

Cik Low Yen Ling pun akan dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara Kanan, begitu juga Encik Desmond Tan.

Sementara itu, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, sebagaimana yang telah diumumkan, akan dilantik sebagai Menteri Kanan menyusuli peletakan jawatannya sebagai PM pada 15 Mei nanti.

Perlukan ‘darah muda’ dalam politik

Kita masih perlukan lebih ramai ‘darah muda’ kerana sebahagian daripada menteri yang lebih tua akan bersara pada akhir tempoh ini atau tidak lama selepas itu. Saya kini mencari calon baru yang menunjukkan potensi untuk menjadi pemegang jawatan politik.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bukan pemimpin 4G

Meskipun saya bukanlah (daripada golongan menteri) 4G seperti yang anda ketahui, ia tetap satu penghormatan bagi saya untuk diberi peluang ini dan saya akan melakukan yang terbaik untuk menyokong PM baru dan pasukannya.
Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.
Terus berusaha ke arah menyatupadukan Singapura

Banyak lagi tugas yang perlu kita jalankan. Kedua-dua Kim Yong dan saya akan berikan sokongan kepada Perdana Menteri Lawrence Wong... untuk sama-sama menyatupadukan Singapura dan mengusahakan isu-isu kritikal yang kita hadapi sekarang.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg