Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

DPM Wong: Skim sokongan pemerintah pelbagai, bukan sekadar bantuan kewangan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

DPM Wong: Skim sokongan pemerintah pelbagai, bukan sekadar bantuan kewangan

Jan 03, 2024 | 06:38 PM



Pelbagai skim sokongan yang diperkenalkan pemerintah bukanlah sekadar langkah sokongan kewangan untuk rakyat Singapura tetapi mencerminkan keutamaan dan nilai Singapura, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 3 Januari.

Berucap di pelancaran Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) di Kelab Masyarakat Jalan Besar, Encik Wong menerangkan, Skim Baucar CDC adalah sebahagian daripada pakej menyeluruh yang dilaksanakan pemerintah untuk mengurangkan kesan inflasi.

Bantuan dan sokongan lain termasuklah Pakej Jaminan sehingga $800 yang telah diagihkan pada Disember 2023, dan bayaran tunai untuk warga emas yang layak dan tokokan MediSave pada Februari.

“Sepanjang tahun ini, akan ada keseluruhan jadual bantuan dan pembayaran, termasuk rebat U-Save tambahan – iaitu rebat utiliti untuk membantu isi rumah HDB dengan bil elektrik dan air mereka, serta rebat tambahan untuk mengimbangi caj perkhidmatan dan pemuliharaan mereka.

“Jadi kami semua (Pemerintah) bersedia untuk membantu rakyat Singapura menghadapi harga yang lebih tinggi,” katanya.

Meski keadaan luar telah mengakibatkan pertumbuhan lebih rendah bagi Singapura dan isi rumah kian merasakan tekanan kos sara hidup lebih tinggi, Encik Wong berkata terdapat beberapa tanda bahawa 2024 akan menjadi lebih baik.

Kadar inflasi dianggar akan berterusan dalam aliran sederhana, manakala ekonomi pula dijangka bertambah baik secara beransur-ansur, terutamanya dalam sektor pembuatan, tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran terdapat “risiko buruk” dan “awan gelap yang akan berlalu”, antaranya termasuk konflik bersenjata yang sedang berlaku dan ketegangan geopolitik yang berterusan ketika kuasa besar bersaing mendapatkan pengaruh.

Semua ini boleh memberi kesan kepada ekonomi sejagat katanya sambil menambah bahawa pemerintah akan memantau keadaan ini dengan teliti.

“Akhirnya, skim pemerintah bukan sekadar sokongan kewangan. Ia mencerminkan keutamaan dan nilai kita di Singapura.

“Nilai-nilai kita bahawa mereka yang lebih berkemampuan... harus melakukan bahagian mereka untuk menyumbang dan memberi kembali kepada masyarakat, dan pemerintah boleh menggunakan hasil yang dikumpul itu untuk membantu mereka yang lebih memerlukan.

“Itulah cara kami menyokong satu sama lain, dan membantu antara satu sama lain melalui masa sukar,” kata Encik Wong.

Sementara itu, Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia) dan Mayor CDC South West, Cik Low Yen Ling, berkata sejak pengagihan pertama pada 2021, lebih $406 juta baucar CDC telah digunakan di kedai-kedai dan gerai penjaja sekitar kawasan kejiranan. 

Daripada sejumlah $360 juta bagi baucar CDC 2023 yang telah ditebus dan dibelanjakan, $179 juta telah digunakan di tempat tersebut.

Daripada jumlah ini, 59 peratus atau sekitar $106 juta telah dibelanjakan untuk membeli makanan dan minuman manakala 27 peratus, atau $48 juta, dibelanjakan untuk produk dan perkhidmatan lain.

Baki 14 peratus atau $24 juta dibelanjakan di pasar raya mini kejiranan, manakala $181 juta yang lain digunakan di pasar raya utama yang mengambil bahagian.

“Ini bermakna Skim Baucar CDC 2023 mencapai hasrat dan matlamat untuk menyokong isi rumah Singapura dalam membiayai perbelanjaan isi rumah dan sara hidup mereka,” ujar Cik Low.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >