Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesin layan diri bantu kembang niaga dari rumah

Suami isteri kini beroperasi dari dapur pusat, perolehi pendapatan antara $1,000 hingga $2,000 sebulan
Mar 13, 2025 | 4:27 PM
Sejak 2024, (dari kiri) Cik Eka Rohmini Suli Rojis, bersama suaminya, Encik Muhammad Rauf Razali, kededuanya berusia 39 tahun, mernyiapkan hidangan pencuci mulut Panna Cotta di dapur pusat di Jalan Pelikat.
Sejak 2024, (dari kiri) Cik Eka Rohmini Suli Rojis, bersama suaminya, Encik Muhammad Rauf Razali, kededuanya berusia 39 tahun, mernyiapkan hidangan pencuci mulut Panna Cotta di dapur pusat di Jalan Pelikat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dari awalnya mengidam untuk merasa manisan kastard Italy, ‘Panna Cotta’, Cik Eka Rohmini Suli Rojis, berusaha mempelajari cara menyiapkannya menerusi resipi di Internet, bahkan mula menjual pencuci mulut ini dari rumahnya pada 2022.

Dalam tempoh dua tahun, Cik Eka, 39 tahun, dan suaminya, Encik Muhammad Rauf Razali, juga 39 tahun, melihat permintaan yang kian berkembang, lantas menggagahkan semangat beroperasi dari dapur pusat di Jalan Pelikat.

Ini membolehkan mereka menjual ‘Panna Cotta’ menerusi dua mesin layan diri di pusat beli-belah Sengkang Grand Mall pada 2024.

Kata Cik Eka: “Awalnya, saya macam mengidam nak makan ‘Panna Cotta’ yang biasanya dijual di restoran hotel yang menyajikan bufet. Tapi biasanya, untuk sering berkunjung ke restoran sebegini, mahal pula.

“Lantaran itu, saya belajar menyiapkan sendiri manisan kastard ini dengan merujuk pada resipi di Internet.

“Lama-kelamaan, tergerak hati nak buka bisnes dari rumah dengan sokongan keluarga.”

Pengalaman Encik Muhammad Rauf, yang pernah mengetuai bahagian perancangan di syarikat katering Singapore Airport Terminal Services (Sats), banyak membantu mengembangkan perniagaan mereka.

“Dengan pengetahuan saya di Sats, saya tahu apa yang perlu dilakukan untuk perniagaan makanan,” kongsi Encik Rauf, yang meletakkan jawatan pada Disember 2022, untuk fokus pada perniagaannya.

Perniagaan Panna Cotta by Rohmini memperolehi lesen Agensi Makanan Singapura (SFA) pada 2024, yang membuka ruang dan peluang bagi mereka menebar sayap niaga mereka.

Ini termasuk membuka reruai acara pasar lambak seperti Halal Expo dan penjualan manisan melalui mesin layan diri.

Sungguhpun begitu, Cik Eka akui terdapat beberapa cabaran yang dihadapi apabila meniaga manisan melalui mesin layan diri yang disewa daripada syarikat pengedaran mesin layan diri, Hypha Vending Retail, dengan harga $600 sebulan.

Antara kesulitan yang mereka hadapi adalah tanggapan pelanggan tentang sejauh mana manisan seperti ‘Panna Cotta’ ini dapat tahan lama dalam mesin layan diri.

Disebabkan bahan-bahan yang digunakan, terutamanya susu, terdapat keraguan dalam kalangan orang ramai bahawa hidangan tersebut akan cepat rosak.

“Kami berusaha menghantar manisan kami ke makmal sains untuk memberi jaminan kepada pelanggan bahawa ia selamat dimakan meskipun dibekalkan menerusi mesin layan diri,” kata Encik Rauf.

Selain itu, menetapkan harga yang berpatutan juga menjadi satu lagi cabaran lain bagi pasangan ini.

“Pada mulanya, kami tetapkan harga $8 bagi sekotak ‘Panna Cotta’. Namun, disebabkan kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada golongan pelajar yang ke pusat beli-belah untuk kelas pengayaan dan tuisyen, kami menurunkan harga kepada $6.50,” tambahnya.

Dengan penyesuaian harga ini, jualan meningkat sebanyak 20 peratus.

Ditanya mengenai hasil pendapatan berjualan dalam mesin layan diri, Cik Eka menjelaskan mereka memperolehi antara $1,000 hingga $2,000 sebulan.

Mereka kini ingin mengembangkan perniagaan mereka ke pusat beli-belah Tanglin.

“Disebabkan sambutan yang baik daripada jualan ‘Panna Cotta’ di Sengkang Grand Mall, kami ingin mengembangkan perniagaan ini dengan harapan dapat memperkenalkan hidangan ini kepada lebih ramai orang,” ujar Cik Eka.

Dengan semangat dan komitmen yang tinggi, pasangan ini terus berusaha untuk memperkenalkan rasa dan keseronokan menikmati panna cotta kepada lebih ramai pelanggan, sambil berharap untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka ke lokasi-lokasi baru.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg