Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPPMS lancar sijil Perusahaan Milik Muslim diperbaharui, perkenal kriteria baru

Nov 22, 2024 | 9:00 PM
(dari kiri) Timbalan Presiden DPPMS, Encik Azhar Othman; Anggota Jawatankuasa Penasihat Perusahaan Milik Muslim, Encik Farid Khan; Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor; dan Naib Presiden DPPMS, Dr Abdul Malik Hassan, melancarkan logo baru Perusahaan Milik Muslim dalam satu majlis di Wisma Geylang Serai pada 22 November.
(dari kiri) Timbalan Presiden DPPMS, Encik Azhar Othman; Anggota Jawatankuasa Penasihat Perusahaan Milik Muslim, Encik Farid Khan; Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor; dan Naib Presiden DPPMS, Dr Abdul Malik Hassan, melancarkan logo baru Perusahaan Milik Muslim dalam satu majlis di Wisma Geylang Serai pada 22 November. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) telah melancarkan pensijilan Perusahaan Milik Muslim yang diperbaharui pada 22 November, yang kini diperluas untuk merangkumi perniagaan di luar sektor makanan dan minuman (F&B) serta memperkenalkan kriteria baru.

Dikenali sebagai pensijilan Perniagaan Milik Muslim sebelum ini, pensijilan diperbaharui itu kini mempunyai kriteria yang memerlukan usahawan Muslim mempunyai sekurang-kurangnya 51 peratus pemilikan dalam perniagaan yang didaftarkan di bawah Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) untuk layak mendapatkan sijil tersebut.

Selain itu, skim itu diperluaskan untuk membolehkan perniagaan bukan dalam sektor F&B mendapatkan pensijilan, seperti perniagaan dalam khidmat korporat, rekaan dalaman dan sebagainya.

Logo baru bagi sijil Perusahaan Milik Muslim itu turut dilancarkan sebagai sebahagian daripada pembaharuan skim pensijilan itu.

Terdapat lebih 80 perniagaan yang diberikan pensijilan Perniagaan Milik Muslim sejak ia dilancarkan pada 2015.

Pensijilan Perusahaan Milik Muslim diperbaharui itu dilancarkan dalam satu majlis yang diadakan di Persada Budaya, Wisma Geylang Serai, pada 22 November.

Berucap dalam majlis itu, Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkata pelancaran pensijilan diperbaharui itu menunjukkan komitmen mereka membantu mempertingkat penampilan, kredibiliti dan potensi pertumbuhan perusahaan milik Muslim di sini, kedua-dua di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Pensijilan diperbaharui ini memainkan peranan penting dalam meraih kepercayaan pengguna, terutama bagi syarikat pemula dan syarikat kecil dan sederhana (SME), dengan memberikan jaminan mutu yang sejajar dengan nilai budaya dan etika.

“Diilhamkan oleh pencapaian sedemikian, kami mahu melanjutkan usaha membantu perusahaan lain mencapai pertumbuhan dan kejayaan serupa, dan memupuk potensi serta memacu pembangunan mampan untuk ekosistem perniagaan,” kata beliau.

Naib Presiden DPPMS, Dr Abdul Malik Hassan, yang juga pengerusi Perusahaan Milik Muslim, berkata:

“Pemegang sijil Perusahaan Milik Muslim boleh menjangkakan bantuan dalam meneroka pasaran luar negara dengan pensijilan ini. Ini mewujudkan laluan bagi perniagaan berkembang dan mendapatkan pensijilan halal oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).”

Anggota Jawatankuasa Penasihat Perusahaan Milik Muslim, Encik Farid Khan, pula berkata pensijilan Perusahaan Milik Muslim diperbaharui itu akan membantu perusahaan bukan hanya untuk menonjolkan diri dalam pasaran yang kompetitif dan memberi jaminan kepada pengguna bahawa perusahaan itu dimiliki orang Islam, malah memperkukuh ekosistem perniagaan Muslim.

“Pensijilan ini adalah sebahagian daripada usaha lebih luas memperkasa masyarakat Islam dari segi ekonomi dengan mempromosi dan menyokong perniagaan milik Muslim.

“Ia juga membantu membina masyarakat perniagaan Muslim yang lebih kukuh, lebih terhubung, di mana perniagaan menyokong satu sama lain dan secara kolektif menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi masyarakat,” kata beliau, yang juga mantan Presiden DPPMS.

Permohonan bagi sijil diperbaharui kini dibuka dan boleh dilakukan melalui laman web https://www.muslimownedsg.com/#/muslim-owned-establishment-singapore.

Majlis pelancaran itu turut menandakan selesainya edisi keenam daya usaha ‘Protege Kita’ - program yang melengkapi skim pensijilan Perusahaan Milik Muslim dengan menyediakan alat dan pementoran kepada perniagaan untuk memenuhi syarat pensijilan.

Melalui daya usaha itu, usahawan dan SME dibimbing dalam bidang seperti pematuhan, penjenamaan dan kecekapan operasi.

Dr Abdul Malik berkata ‘Protege Kita’ menyediakan latihan dan sumber kepada perniagaan supaya mereka dapat mempertingkatkan operasi, membangunkan strategi penjenamaan dan pemasaran yang kukuh, dan memupuk peluang jalinan rangkaian.

“Daya usaha ini memupuk pertumbuhan dan kemampanan, yang memperkasa perusahaan milik Muslim untuk berkembang maju di peringkat tempatan dan global sementara menggalak kesediaan dan kerjasama pasaran,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg