Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

DPPMS lantik mantan pengurus besar WGS sebagai ketua eksekutif

Oct 2, 2024 | 4:35 PM
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) telah melantik mantan Pengurus Besar Wisma Geylang Serai (WGS), Encik Muhammad Saripi, sebagai Ketua Eksekutifnya yang baru, mulai 1 Oktober.
Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) telah melantik mantan Pengurus Besar Wisma Geylang Serai (WGS), Encik Muhammad Saripi, sebagai Ketua Eksekutifnya yang baru, mulai 1 Oktober. - Foto DPPMS

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) telah melantik mantan Pengurus Besar Wisma Geylang Serai (WGS), Encik Muhammad Saripi, sebagai Ketua Eksekutif berkuat kuasa 1 Oktober.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 2 Oktober, Presiden DPPMS, Encik Abu Bakar Mohd Nor, berkata pelantikan Encik Muhammad mengukuhkan komitmen dewan perniagaan tersebut terhadap pertumbuhan dan inovasi sedang ia memperluaskan keupayaan dan jangkauannya.

“Di bawah kepimpinan Muhammad dan sekretariat yang dipertingkatkan, kami yakin dengan keupayaan kami untuk menambahkan nilai yang lebih besar kepada ahli, rakan kongsi dan masyarakat.

“Dengan pengalamannya yang luas, perspektif segar dan rangkaian yang mantap dengan pertubuhan Melayu/Islam dan agensi awam, kami boleh memainkan peranan yang lebih besar dan menyeluruh dalam ekosistem perniagaan, khususnya bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Khas Kewangan (SFZ) di Forest City,” kata Encik Abu Bakar.

Sebelum pelantikannya sebagai Ketua Eksekutif, Encik Muhammad telah berkhidmat selama 13 tahun bersama Persatuan Rakyat (PA) dan sembilan tahun bersama Pasukan Polis Singapura (SPF).

Semasa di PA, beliau pernah menggalas peranan sebagai pengarah kawasan undi Tampines West dari Februari 2016 hingga Ogos 2022 dan Pengurus Besar WGS dari Ogos 2022 hingga September 2024.

“Saya teruja untuk menyertai DPPMS dan bekerjasama dengan pasukan berbakat ini. Saya berharap dapat menyumbang kepada kejayaannya dengan memacu inovasi dan pertumbuhan sambil menyokong ahli kami dan masyarakat pada tahun-tahun akan datang,” kata Encik Muhammad.

Cik Nadiah Hassan, yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif DPPMS sejak September 2022, akan meneruskan peranannya dan lapor kepada Encik Muhammad, tambah kenyataan itu.

Beliau memulakan kerjayanya bersama DPPMS sebagai eksekutif kanan bahagian Acara dan Projek Khas pada 2017. Pada 2019, beliau mengetuai Jabatan Pembangunan Keupayaan DPPMS sebagai Penolong Pengurus.

Pada 2021, Cik Nadiah melancarkan Akademi DPPMS sebelum beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Eksekutif DPPMS pada September 2022.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), Cik Nadiah berkata: “Di samping kita memasuki fasa baru pertumbuhan progresif di DPPMS, saya teruja dengan kedatangan Muhammad sebagai Ketua Eksekutif baru kami.

“Memandangkan DPPMS kini berada pada asas yang stabil, kepimpinannya akan memacu kami ke tahap baru, memperkasakan masyarakat perniagaan dan mengembangkan impak kami kepada masyarakat,” kata Cik Nadiah.

Dalam kenyataan pada 2 Oktober, Encik Abu Bakar berkata dengan pelantikan baru, struktur sekretariat yang dipertingkatkan dan kestabilan operasinya, DPPMS kini berada pada kedudukan yang baik untuk kemajuan yang lebih dinamik.

Semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-65 DPPMS pada 5 Jun di Hotel Landmark Village, Encik Abu Bakar berkata DPPMS akan berkembang dan meningkatkan peranannya bagi memastikan ia boleh menjadi kapal induk atau mothership bagi perniagaan dan mendorong lebih banyak perniagaan untuk memandang ke luar.

Beliau menambah bahawa DPPMS, sebagai sebuah badan perniagaan yang berteraskan Islam dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang nuansa budaya Melayu tempatan, boleh memainkan peranan lebih besar untuk menyokong perniagaan yang tidak tahu bagaimana berkembang ke luar negara.

DPPMS ialah badan bukan untung yang menumpukan usaha mewakili dan menyokong perniagaan Melayu/Islam Singapura.

Sehingga 2023, ia mempunyai 360 anggota daripada pelbagai industri termasuk makanan dan minuman (F&B), pembinaan dan kemudahan serta perundingan dan perkhidmatan kewangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg